| |

TUDUHAN ATAS SYEIKH AL-ALBANI & DAKWAH SALAF

Ada orang terdekat meminta supaya saya menjawab sebuah tulisan yang melemparkan beberapa tuduhan ke atas Syeikh al-Albani rahimahullah dan dakwah Salaf.

https://www.facebook.com/abdel.rahmanov.1

Berikut ialah jawapan ringkas yang dapat diberikan.

TUDUHAN 1:

Prinsip Asas Fahaman Salafiah Tidak Berpegang Kepada Mazhab &
Mengajak Mencari Dalil Langsung daripada Al-Quran dan Hadis

JAWAPAN:

Ya, demikian mafhum firman Allah ﷻ:

فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ

“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.”

[Al-Quran, al-Nisa, 4:59]

Tinggal lagi, semestinya kewajipan ini dilakukan mengikut kemampuan individu berkenaan, dan bagi orang awam yang tidak tahu selok-belok hukum maka hendaklah mereka bertanya kepada orang berilmu, guru atau ulama sebagaimana firman Allah ﷻ:

فَسۡئلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

“Bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak tahu.”

[Al-Quran, al-Nahl, 16:43]

TUDUHAN 2:

Kedudukan Syeikh Al-Albani Cukup Tinggi & Jika Suatu Hadis Tiada Komentar daripada Beliau Maka Seolah-olahlah Hadisnya Tiada Nilai

JAWAPAN:

Menuduh Salafi tidak memberi nilai kepada hadis sangat melampau.

Dalam masa yang sama, Salafi berhati-hati dalam menerima riwayat-riwayat yang dinisbahkan kepada Nabi ﷺ kerana takut berdusta atas nama baginda ﷺ, sebagaimana hadis:

اتَّقُوا الحَدِيثَ عَنِّي إلَّا مَا عَلِمْتُمْ، فَمَنْ كَذَبَ عَلّيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأُ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.

“Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada menisbahkan sesebuah hadis kepadaku melainkan dalam apa yang kamu pasti. Sesungguhnya barang siapa berdusta atas namaku maka hendaklah dia bersiap-sedia akan tempatnya dalam api neraka.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

TUDUHAN 3:

Syeikh Al-Albani Mendaifkan Hadis Riwayat Imam-imam Hadis

JAWAPAN:

Syeikh al-Albani tidak bersendirian dalam hal ini dan ramai sahaja ulama lain turut berbuat demikian seperti al-Hafiz al-Iraqi, al-Haithami, al-Sakhawi, al-Mubarakfuri, al-Sindi, al-Qasimi, al-Syawkani, Syeikh Ahmad Syakir, Syeikh Bin Baz dan Syeikh Muqbil.

TUDUHAN 4:

Ulama Pertikai Komentar Syeikh Al-Albani Kerana Periwayatan Hadis Mempunyai Banyak Jalan (Turuq) & Ulama Rijal Khilaf Tentang Sesetengah Perawi Hadis;
Jika Satu Jalan Hadis Daif Maka Perlu Lihat Jalan Riwayat Lain

JAWAPAN:

Menilai hadis dengan melihat kedudukan perawi dan sanad di samping jalan-jalan riwayat lain adalah makruf di sisi ulama, dan ini dijelaskan sendiri oleh Syeikh al-Albani dan dipraktikkan oleh beliau dalam buku-buku takhrij besar beliau seperti Silsilah Sahihah, Silsilah Daifah dan Irwa al-Ghalil.

Masyarakat tidak wajar dikelirukan dengan tuduhan seperti ini melainkan penuduh sendiri tidak tahu tentang metodologi takhrij hadis Syeikh al-Albani maka itu satu musibah.
 

TUDUHAN 5:

Ustaz Juga Ada Yang Terbelit Sama Sebab Komentar Hadis Syeikh Al-Albani Lalu Komentar Beliau Diterima Tanpa Soal

JAWAPAN:

Ketokohan Syeikh al-Albani dalam hadis turut diakui oleh mereka yang tidak sealiran dengan beliau termasuklah Syeikh Ali al-Tantawi, Syeikh Mustafa al-Zarqa, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Yousuf al-Qaradawi, Syeikh Abdul Karim Zidan dan lain.

Ini tidak bermaksud Salafi taasub kepada ketokohan beliau. Ruang untuk berbahas dan menilai hujah dalil yang beliau kemukakan sentiasa terbuka. Mengandaikan sebaliknya adalah fitnah.

TUDUHAN 6:

Adakala Syeikh Al-Albani Melakukan Kesilapan dalam Menilai Hadis

JAWAPAN:

Tiada siapa mendakwa Syeikh al-Albani maksum, tidak melakukan salah silap.

Ramai sahaja ilmuan Salafi berbahas dan berbeza pendapat dengan beliau dalam penilaian hadis. Tetapi membuat tuduhan tanpa bukti bukan cara berbahas secara ilmiah.

TUDUHAN 7:

Kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim Merupakan Kitab Hadis Hebat Tetapi Syeikh Al-Albani Mendaifkan Beberapa Hadisnya

JAWAPAN:

Syeikh al-Albani membahaskannya secara ilmiah dengan mengemukakan sebab dan dalilnya. Imam al-Daraqutni turut berbuat demikian.

Menutup pintu perbahasan dan mengajak kepada jumud dan taklid buta bukan sesuatu untuk dibanggakan.

TUDUHAN 8:

Golongan Salafiah Melarang Taklid Mazhab Tetapi Mereka Sendiri Taklid Ibnu Taimiah, Ibnu Qayyim, Ibnu Baz dan Ibnu Uthaimin! Aneh Bukan?

JAWAPAN:

Ini jelas fitnah.

Dakwah Salafiah mengajak masyarakat kepada ittiba’ ikut dalil Al-Quran dan al-Sunah di samping melarang ibtida’ mengada-adakan amalan baharu dalam agama.

Pada waktu yang sama, memang diakui bahawa tahap penguasaan ilmu masyarakat bukan semua sama. Maka taklid kepada mazhab atau mana-mana tokoh muktabar memang dibolehkan jika terpaksa sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Syeikh al-Albani dan ulama lain.

Justeru apa yang aneh ialah kekeliruan penuduh dalam hal ini sampai memfitnah.

TUDUHAN 9:

Ulama Silam Bersusah Payah Membentuk Mazhab Bagi Memudahkan Orang Awam Beribadat & Berhukum

JAWAPAN:

Ini tidak benar dan keliru.

Keempat-empat ulama mazhab fikah; Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad masing-masing berguru dengan yang sebelumnya dan tidak pernah membentuk mazhab. Pembentukan mazhab empat hanya berlaku selepas kewafatan mereka.

Tambah menarik setiap seorang daripada ulama mazhab empat menekankan kepentingan kembali kepada dalil Al-Quran dan hadis, sebagaimana kata Imam al-Syafie:

وَيَجِبُ أنْ يُقْبَلَ الخَبَرُ فِي الوَقْتِ الَّذِي ثَبَتَ فِيهِ وَإنْ لمَ يَمْضَ عَمَلٌ مِنْ الأئِمَّةِ بِمِثْلِ الخَبَرِ.

“Hendaklah hadis itu diterima pada waktu sabit kesahihannya sekali pun belum diketahui sesiapa daripada kalangan ulama yang beramal dengan hadis tersebut.”

[al-Risalah, hlm. 463]

Tambah beliau:

وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah Rasulnya ﷺ, dan bahawasanya apa yang selain daripada kedua-duanya kembali kepada kedua-duanya.”

[Jima’ al-‘Ilm, hlm. 3]

TUDUHAN 10:

 
Masyarakat Perlu Berhati-hati Dalam Mencari Ilmu Agama & Memilih Guru

JAWAPAN:

Benar.

Perlu dijauhi guru-guru yang jumud, taasub kepada mazhab, tidak bersikap terbuka kepada perbahasan ilmiah, cetak pemahaman agama dan menjauhkan masyarakat daripada menghayati dalil-dalil Al-Quran dan al-Sunah.

TUDUHAN 11:

Jangan Semakin Banyak Belajar Semakin Berani Pertikai Ulama & Khilaf Mazhab Sebab Rasa Diri Mujtahid Mutlak

JAWAPAN:

Para ulama pewaris Nabi ﷺ wajib dihormati manakala Al-Quran dan al-Sunah perlu sentiasa dijunjung dan didahulukan.

Jangan sekali-kali kalam Allah dan Rasul dipalingkan atau dipaksa mengikut kalam mazhab atau ulama. Sebaliknya pendirian mazhab dan ulama perlu disaring dan dinilai mengikut dalil Al-Quran dan al-Sunah selari dengan fahaman Salaf al-Ummah.

Justeru tidak boleh mengadakan pendapat baharu dalam mana-mana permasalahan sehingga keluar daripada pemahaman Salaf. Sebaliknya perlu dipastikan benar-benar ada daripada kalangan generasi Salaf yang menyatakan pendapat yang sama, sebagaimana kata Imam Ahmad:

إيَّاكَ أنْ تَتَكَلَّمَ فِي مَسْأَلَةٍ لَيْسَ لَكَ فِيهَا إمَامٌ.

“Jangan sesekali engkau berbicara dalam sesuatu permasalahan tanpa engkau mempunyai sandaran pendapat daripada kalangan ulama.”

[al-Manaqib oleh Ibnu al-Jauzi, hlm. 245]

Daripada Allah jua kita memohon taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Jamadilawal 1445H
03 Disember 2023
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • | | | |

    DOA ARAFAH: IKUT WAKTU MEKAH / MALAYSIA?

    Doa hari Arafah pada tanggal 09 Zulhijah ada kelebihan dan fadilatnya. Sabda Nabi ﷺ: خَيْرُ ‌الدُّعَاءِ ‌دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ “Sebaik-baik doa ialah doa hari Arafah.” [Hasan. Riwayat Tirmizi] أَفْضَلُ ‌الدُّعَاءِ ‌دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ “Doa paling afdal ialah doa hari Arafah.” [Hasan. Riwayat Imam Malik] Ulama ada beberapa pandangan sama ada…

  • IKUT HADIS ATAU TAKLID MAZHAB?

    – Pendapat ulama – Bila boleh taklid Muslim wajib berpegang kepada nas Al-Quran dan hadis berbanding mengikat dirinya pada mana-mana mazhab fiqah. Ini kerana kedua-dua Al-Quran dan hadis menjadi rujukan utama agama. Adapun pendapat ulama dan mazhab, sejauh mana penerimaannya bergantung pada sejauh mana kesesuaiannya dengan nas Al-Quran dan hadis….

  • | |

    DOA QUNUT WITIR

    DOA QUNUT WITIR • Bacaan DOA QUNUT WITIR jika SOLAT BERSENDIRIAN: اللَّهُمَّ أهْدِني فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِني فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لي فِيما أَعْطَيْتَ، وَقِني شَرَّ ما قَضَيْتَ، إنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ، إنَّهُ لا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلا يَعِزُّ مَنْ عادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ، لا مَنْجَى مِنْكَ إلا…

  • |

    BUKIT AMAN

    BUKIT AMAN Seperti baru hendak menarik nafas lega selesai peperiksaan lisan (viva) ijazah kedoktoran apabila sepasukan polis Bukit Aman datang ke rumah tengah hari semalam untuk bertemu berkaitan isu cuci kuil yang tular baru-baru ini. Esok Jumaat perlu ke sana untuk diambil keterangan. Semoga Allah permudahkan. Daripada Allah ﷻ jua…