|

SYAHWAT TAKFIR

Takfir bererti menghukum kafir seseorang Muslim.

‘Wahai kafir!’… ‘wahai musyrik!’

Ini adalah antara ucapan takfir yang jelas jika diucapkan kepada Muslim.

Implikasi takfir adalah besar kerana orangnya akan hilang hak-haknya sebagai Muslim dengan tidak diberi salam, tidak boleh jadi wali pernikahan anaknya, isteri Muslimnya tercerai, jenazahnya tidak wajib dimandikan, tidak disolatkan, tidak didoakan keampunan dan rahmat serta tidak dikuburkan dalam perkuburan Islam manakala harta pusakanya tidak boleh diwarisi oleh saudara Muslimnya.

Kerana itu syariat memandang berat perkara ini dan menegaskan bahawa hukum takfir tidak boleh dilemparkan sewenang-wenangnya ke atas individu Muslim secara membuta tuli tanpa soal periksa apatah lagi jika dilemparkan secara pukal ke atas sekumpulan manusia, ramai atau sedikit.

Sabda Nabi ﷺ:

أَيَّمَا رَجُلٍ قَالَ لأخِيهِ: يا كَافِر، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أحَدَهُمَا إنْ كَانَ كَمَا قَالَ، وَإلا رَجَعَتْ عَلَيْه

“Barang siapa berkata kepada saudaranya ‘wahai kafir’ maka pengkafiran itu akan pergi kepada salah seorang daripada mereka; sama ada ucapannya itu benar atau ia akan kembali kepadanya.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Terdapat beberapa garis panduan yang harus dipenuhi sebelum hukuman takfir dapat dijatuhkan ke atas seseorang individu secara benar iaitu:

  1. Adanya petunjuk dalil daripada Al-Quran atau al-Sunah yang menunjukkan bahawa perbuatan individu berkenaan benar-benar kufur;
  2. Hukuman takfir benar-benar telah jatuh ke atas individu berkenaan dengan semua syarat dipatuhi dan tiada sebarang halangan untuk hukum takfir itu dijatuhkan ke atasnya.

Antara syarat-syarat yang perlu diambil kira ialah:

  1. Individu berkenaan tahu, bukan jahil tentang larangan syariat ke atas perbuatan kufur yang dilakukannya.

Contohnya dalam peristiwa beberapa orang sahabat Nabi ﷺ meminta agar baginda ﷺ memilih pokok untuk mereka jadikan sebagai tempat mengambil ‘tuah’ sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang kafir (Sunan al-Tirmizi, no. 2180) dan perbuatan Muaz bin Jabal sujud kepada Rasulullah ﷺ sejurus beliau pulang dari negeri Syam (Sunan Ibnu Majah, no. 1853).

Sekalipun permintaan dan perbuatan mereka itu adalah kufur tetapi mereka tidak dikafirkan oleh Rasulullah ﷺ kerana kejahilan mereka mengenai perbuatan mereka itu.

  1. Hendaklah individu berkenaan sedar, bukan tidak sedar akan perbuatannya.

Adapun jika orangnya melakukan sesuatu perbuatan kufur secara tidak sedar contohnya kerana terlalu gembira atau sedih maka dia dimaafkan.

Sebagaimana dalam peristiwa si lelaki yang menemui semula haiwan kenderaannya yang hilang bersama segala bekalan makanannya di tengah padang pasir yang kering kontang lalu dia berkata “Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu!” “Dia tersalah cakap kerana terlalu gembira” kata Nabi ﷺ.

[Sahih Muslim, no. 2744]

  1. Hendaklah orangnya dalam keadaan rela, bukan dipaksa.

Adapun sekiranya seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan kufur kerana diancam bunuh maka dia dimaafkan.

Firman Allah ﷻ “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab Allah) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman.”

[Al-Quran, al-Nahl, 16:106]

  1. Tiada syubhah atau takwilan;

Perlu dipastikan orangnya tiada syubhah atau takwilan tertentu yang menurutnya ialah dalil yang benar.

Seperti mana jika dia tidak memahami hujah syarak mengikut fahaman yang benar kerana syubhah-syubhah tertentu yang didukungnya.

[Majmuk Fatawa Ibnu Uthaimin, 2/134]

Kata Ibnu Taimiyah:

“Imam Ahmad mendoakan kerahmatan buat mereka (para khalifah yang terpengaruh dengan fahaman sesat Jahmiah yang mengatakan Al-Quran makhluk) di samping mendoakan keampunan untuk mereka kerana beliau tahu bahawa mereka tidak sedar akan pendustaan mereka terhadap Rasulullah ﷺ. Tambah pula mereka tidak mengingkari risalah yang dibawa oleh baginda ﷺ dan mereka tersalah dalam takwilan mereka itu gara-gara bertaklid kepada orang-orang yang berfahaman sedemikian.”

[Majmuk Fatawa Ibnu Taimiyah, 23/349]

Inilah pendirian para ulama Salafi zaman berzaman termasuklah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Baz, al-Albani, Ibnu Uthaimin, Saleh al-Fauzan dan yang lain.

Adapun golongan yang melakukan takfir menurut hawa nafsu syahwat mereka maka perbuatan mereka itu salah, menyimpang daripada jalan agama yang benar, jalan Salaf al-Soleh.

CATATAN

Manhaj Salaf ialah pertengahan antara golongan takfiri pelampau seperti Syiah Rafidah, Khawarij, Muktazilah, Ikhwani, Sururi, al-Qaeda, ISIS dan DAESH yang memilih jalan mengkafirkan para Sahabat Nabi ﷺ, pemerintah Islam dan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka, di samping golongan yang bersikap sambil lewa mengambil mudah soal agama sehingga terjebak dalam perkara-perkara kufur yang jelas seperti menafikan kewajipan solat fardu lima waktu, puasa, zakat dan menafikan perkara halal haram kerana pengaruh fahaman Murjiah, Liberal, Modernis, Pluralis, pelampau sufi tarekat kuburi dan lain-lain.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
29 Muharam 1445H
16 Ogos 2023

Similar Posts

  • |

    MENCARI KEBENARAN ATAU BERSILAT LIDAH

    Dalam setiap permasalahan, sekiranya penjelasan yang mencukupi sudah diberikan maka bicara selebihnya akan membawa kepada perbalahan. Perbalahan di mana kebiasaannya lawan rasa kagum dengan pendapatnya sendiri, kebenaran yang dibawa jadi lemah, hati bertukar keras manakala kekeliruan dan kesulitan semakin bertambah. Muslim yang bijak akan menjauhi situasi-situasi seperti ini. Oleh itu…

  • |

    MENJAUHI FITNAH AKHIR ZAMAN

    Fitnah dengan erti cubaan dan ujian serta keburukan dan bencana. Sabda Nabi ﷺ: سَتَكُونُ ‌فِتَنٌ، ‌الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ، وَالْقَائِمُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْمَاشِي، وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنَ السَّاعِي، مَنْ تَشَرَّفَ لَهَا تَسْتَشْرِفْهُ، فَمَنْ وَجَدَ فِيهَا مَلْجَأً أَوْ مَعَاذًا فَلْيَعُذْ بِهِ. “Akan berlaku fitnah, orang yang duduk lebih baik…

  • Takkan majoriti orang semua salah

    Kebenaran tidak diukur dengan mana-mana individu. Sebaliknya seseorang itu diukur dengan kebenaran. Kebenaran ialah apa yang menepati dalil Al-Quran dan hadis sahih tanpa mengira berapa ramai yang menerimanya atau menolaknya. Hanya kerana sesuatu pendapat itu diterima atau ditolak oleh orang-orang tertentu; sedikit atau ramai maka ia bukan dalil yang menunjukkan…

  • BERGURAU MELEMPAR KULIT TEMBIKAI

    – Anjuran Bergurau Senda – Perbuatan Sahabat Nabi ﷺ Daripada Bakr bin Abdullah RA, katanya: كَانَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَتَبَادَحُونَ بالبَّطِيخ، فإِذا كَانَت الحَقَائِقُ كَانُوا هُمُ الرِّجَالُ. “Dahulu para Sahabat Nabi ﷺ saling melempar menggunakan (kulit) tembikai (untuk bergurau) sedangkan dalam situasi serius merekalah lelaki sejati.” [Sahih….

  • |

    LIBERAL / FEMINISME

    Fahaman sesat yang memperdebatkan isu-isu kaum wanita sehingga menimbulkan perbalahan dan kekeliruan dalam masyarakat. Matlamatnya ialah untuk merosakkan kaum wanita melalui jalan melepaskannya daripada norma-norma agama, adat dan budaya. Ini kerana kaum wanita yang rosak akan mengakibatkan institusi keluarga runtuh manakala masyarakat jadi lemah dan lumpuh sehingga mudah dijajah dan…

  • Kaedah-Kaedah Ilmiah (12) – BERHUJAH DENGAN DALIL YANG DIPERSETUJUI

    # Mencari titik temu dalam perselisihan # Kaedah-Kaedah Ilmiah # Kaedah 12 Dalam suatu perselisihan sama ada kedua-dua belah pihak mempunyai titik temu antara mereka atau tidak. Titik temu di sini ialah asas atau prinsip yang dapat jadikan sebagai pegangan. Sekiranya tidak ada titik temu antara kedua-dua belah pihak maka…