Two ways, choose the road, close-up of the forest fork

IKUT HADIS ATAU TAKLID MAZHAB?

– Pendapat ulama
– Bila boleh taklid

Muslim wajib berpegang kepada nas Al-Quran dan hadis berbanding mengikat dirinya pada mana-mana mazhab fiqah.

Ini kerana kedua-dua Al-Quran dan hadis menjadi rujukan utama agama.

Adapun pendapat ulama dan mazhab, sejauh mana penerimaannya bergantung pada sejauh mana kesesuaiannya dengan nas Al-Quran dan hadis.

Mana-mana pendapat ulama dan mazhab yang sesuai dengan nas diterima manakala yang bertentangan dengannya ditolak.

Ini sebagaimana kata Imam Malik:

لَيْسَ ‌أَحَدٌ ‌بَعْدَ ‌النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا‌‌ يُؤْخَذُ مِنْ قَوْلِهِ وَيُتْرَكُ إِلَّا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Tiada sesiapapun sesudah Nabi ﷺ melainkan kata-katanya boleh diterima dan ditolak melainkan Nabi ﷺ.”

Kerana itu beliau menegaskan:

“Sesungguhnya aku manusia biasa, boleh jadi kata-kataku benar dan boleh jadi salah. Lihatlah pendapatku dan ambillah mana yang menepati Al-Quran dan hadis manakala yang menyalahinya tinggalkan.”

[Ibnu Abdul Bar, Jamie Bayan al-Ilm]

Kata Imam al-Syafie:

وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah RasulNya ﷺ dan bahawasanya apa yang selainnya kembali kepada kedua-duanya.”

Kata beliau:

“Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas kepadanya
Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain.”

[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]

Imam Abu Hanifah pula menjelaskan:

إِذا صَحَّ الحَدِيث ‌فَهُوَ ‌مَذْهَبِي.

“Sekiranya sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhabku.”

Tegas beliau lagi:

“Tidak boleh bagi seseorang itu berpegang kepada kata-kataku selagi mana dia tidak tahu daripada mana aku mengambilnya.”

[Ibnu Abidin, Rad al-Muhtar]

Atas dasar ini Imam Ahmad bin Hanbal berkata:

“Jangan kamu bertaklid kepadaku dan jangan bertaklid kepada Malik, Syafie, al-Awza’i dan al-Thauri. Sebaliknya ambillah dari mana mereka ambil.”

[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]

KESIMPULAN

Muslim wajib berpegang kepada Al-Quran dan hadis serta mendahulukannya atas pendapat ulama dan mazhab. Taklid tidak salah malah dibolehkan atas dasar darurat dan terpaksa. Apa yang salah ialah menjadikan taklid sebagai satu tuntutan yang wajib dalam agama. Sedangkan pendapat ulama dan mazhab ialah perantara dan bukan matlamat. Perantara untuk sampai kepada Al-Quran dan hadis. Matlamat setiap Muslim perlulah untuk beramal dengan Al-Quran dan hadis. Justeru tidak boleh berhujah dengan kata-kata ulama dan mazhab kecuali dalam apa yang menepati nas kerana pendapat ulama dan mazhab perlu dinilai ikut dalil, bukan dalil Al-Quran dan hadis dipaksa ikut pendapat ulama atau mazhab. Benar, ulama wajib dihormati tetapi jangan sampai taasub lalu menolak dan mengetepikan nas Al-Quran dan hadis.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
06 Jamadilawal 1444H
01 Disember 2022

Similar Posts

  • JALAN DAKWAH

    Dakwah menyeru manusia kepada agama Allah perlulah berdasarkan kepada keterangan dan bukti jelas nyata. Bukan atas kejahilan dan kesesatan. Kerana asas agama Islam ialah Al-Quran dan al-Sunah. Demikian hendaklah Al-Quran dan al-Sunah itu difahami mengikut fahaman generasi pendahulu Islam yang mulia, golongan Salaf al-Soleh, para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin….

  • TIDUR SEBELAH KANAN ATAU KIRI? BEZA TIDUR NYENYAK ATAU TIDAK

    – Tidur mengiring sebelah kanan lebih mudah terjaga Ulama menjelaskan bahawa tidur mengiring sebelah kanan tidak nyenyak berbanding sebelah kiri. Ini kerana hati (jantung) manusia tergantung di sebelah kiri dan sekiranya seseorang itu tidur mengiring sebelah kirinya nescaya tidurnya akan nyenyak kerana merasa senang dan enak. Berbeza jika tidur mengiring…

  • JALAN NABI & SAHABAT: SEBAIK-BAIK IBADAH

    Sebaik-baik ibadah ialah apa yang menepati cara Nabi ﷺ dan cara para Sahabat. Kerana merekalah pendahulu umat Islam yang terpuji. Sabda Nabi ﷺ: فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهِ، ‌وَخَيْرُ ‌الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ، وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ. “Sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad manakala…

  • | |

    TUDUHAN ATAS SYEIKH AL-ALBANI & DAKWAH SALAF

    Ada orang terdekat meminta supaya saya menjawab sebuah tulisan yang melemparkan beberapa tuduhan ke atas Syeikh al-Albani rahimahullah dan dakwah Salaf. https://www.facebook.com/abdel.rahmanov.1 Berikut ialah jawapan ringkas yang dapat diberikan. TUDUHAN 1: Prinsip Asas Fahaman Salafiah Tidak Berpegang Kepada Mazhab &Mengajak Mencari Dalil Langsung daripada Al-Quran dan Hadis JAWAPAN: Ya, demikian…

  • MENERIMA SUNAH NABI ﷺ SEPENUHNYA

    – Kedudukan akal – Tegar Ikut Ajaran Guru Firman Allah ﷻ: وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ. “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan…

  • JADILAH ORANG ASING

    – al-Ghuraba’ Agama Islam bermula dalam keadaan asing dan ia akan kembali seperti mana ketika ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (al-Ghuraba’). [Sahih. Riwayat Muslim] Orang-orang yang tetap berbuat baik ketika mana masyarakat menjadi rosak, dan orang-orang yang menyalahi mereka lebih ramai daripada orang-orang yang mengikut mereka. [Sahih. Riwayat…