A man praying hand for blessings When the sun goes down Hope for a happy life
| |

BOLEH MINTA DOA ORANG MATI?

– Minta tolong orang mati
– Penyembahan kubur (Kuburiyyun)

Seorang Ustaz mendakwa bahawa orang mati masih lagi boleh berdoa.

Maka diharuskan meminta tolong daripada orang mati supaya dia mendoakan kebaikan bagi orang yang hidup lebih-lebih lagi sekiranya si mati terdiri daripada kalangan orang-orang soleh dan wali Allah maka doanya mustajab di sisi Allah.

Perkara ini sabit dalam hadis Nabi, menurutnya.

KRITIKAN

Kenyataan ini sangat bahaya.

Ia sama sekali tidak disyariatkan malah ditegah dan dilarang sekeras-kerasnya.

Muslim disarankan supaya mendoakan kebaikan buat saudara seagama yang sudah meninggal dunia, bukan sebaliknya.

Ini kerana segala amalan orang yang sudah mati telah terhenti dan terputus sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ ‌انْقَطَعَ ‌عَمَلُهُ إِلَاّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.

“Jika anak Adam mati maka terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Malah doa orang yang hidup itulah yang bermanfaat bagi orang yang sudah mati sebagaimana ijmak para ulama.

Kerana itu disyariatkan solat jenazah supaya kaum Muslimin mendoakan si mati selepas takbir yang ketiga.

Firman Allah ﷻ:

وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ.

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan iman.”

[Al-Quran, al-Hasyr, 59: 10]

Di samping doa, Muslim dianjurkan beristighfar memohon keampunan dan rahmat bagi si mati.

Ini yang disarankan oleh Nabi ﷺ apabila urusan pengebumian jenazah selesai.

Othman bin Affan r.a. meriwayatkan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: ‌اسْتَغْفِرُوا ‌لِأَخِيكُمْ، وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ، فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ.

“Nabi ﷺ sesudah selesai mengebumikan jenazah, baginda berdiri di sampingnya dan berkata: Mohonlah keampunan buat saudara kalian dan mintalah keteguhan buatnya kerana dia sekarang sedang disoal.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Malah apabila Nabi ﷺ membenarkan umat Islam menziarahi kubur, baginda ﷺ mengingatkan umatnya supaya tidak mengucapkan peraka-perakar yang dilarang.

Sabda Nabi ﷺ:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ ‌زِيَارَةِ ‌الْقُبُورِ أَلَا فَزُورُوهَا، فَإِنَّهُ يُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ، وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا.

“Dahulu aku melarang kalian menziarahi kubur tetapi sekarang ziarahilah ia (kerana) sesungguhnya ia dapat melunakkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan tentang Hari Akhirat. (Akan tetapi) janganlah kalian berkata hal-hal yang buruk.”

[Sahih. Riwayat al-Hakim]

Menurut al-Nawawi ‘al-Hujru’ ialah perkataan-perkataan yang batil.

[al-Majmuk, 5/ 310]

Sedangkan meminta doa daripada orang mati ialah sebesar-besar kebatilan kerana ia membawa kepada kesyirikan.

Masakan tidak sedangkan ia tidak ada bezanya dengan kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh dan orang-orang Arab Jahiliah dahulu.

Patung-patung berhala milik kaum Nabi Nuh a.s. bernama Wadd, Suwaa’, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasr asalnya merujuk kepada nama-nama orang soleh yang sudah mati yang digunakan untuk bertawassul kepada Allah ﷻ.

Demikian sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Abbas r.a.

[Sahih. Riwayat Bukhari, no. 4920]

Demikian orang-orang Arab Jahiliah yang mengada-adakan pelbagai bentuk penyembahan berhala syirik patung, batu, pokok, orang-orang mati dan sebagainya dengan tujuan untuk mereka bertawassul dan meminta syafaat daripadanya bagi mendekatkan diri mereka kepada Allah ﷻ.

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:

مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِیُقَرِّبُونَاۤ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰۤ.

“Kami tidak menyembahnya (dengan meminta pertolongan daripadanya) melainkan supaya mereka (berhala-berhala itu) dapat mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.”

[Al-Quran, al-Zumar, 39: 3]

KESIMPULAN

Pandangan yang mengharuskan meminta tolong daripada orang mati termasuklah daripada kubur-kubur orang soleh supaya si mati mendoakan kebaikan untuk orang yang hidup jelasnya akan membuka pintu penyembahan kubur dengan dilakukan pelbagai hal-hal kesyirikan, nauzubillah.

——————-

Peringkat ke-7 Penyembahan Kubur:
Pasang Lampu & Permaidani

PERINGKAT-PERINGKAT PENYEMBAHAN KUBUR

——————-

CATATAN

Sekalipun mendakwa terdapat hadis tetapi beliau tidak mengemukakannya pula.

Ini kerana beliau berbohong dan hadisnya tidak wujud sama sekali.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan keselamatan.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Safar 1444H
18 September 2022

Similar Posts