| |

PERINGKAT-PERINGKAT PENYEMBAHAN KUBUR

Membuat binaan atas kubur;
⬇️

Iktikaf di kubur orang soleh
sebagai tanda cinta;
⬇️

Doa di kubur mustajab;
⬇️

Doa & tawassul
dengan penghuni kubur;
⬇️

Doa kepada penghuni kubur,
memohon syafaat & pertolongan;
⬇️

Kubur jadi berhala;
⬇️

Pasang lampu-lampu,
bunga-bunga & kain permaidani;
⬇️

Mengusap & mencium kubur,
tawaf sekeliling kubur,
sembelih korban di kubur;
⬇️

Kubur jadi tempat ibadah,
tempat perayaan;
⬇️

Menuduh siapa larang bererti menghina & membenci orang soleh;
⬇️

Memusuhi ahli tauhid,
melemparkan tuduhan-tuduhan berat;
⬇️

Menghasut masyarakat
menjauhi ajaran tauhid
bagi mempertahankan akidah & ajaran nenek moyang.

——————-

Lihat senario di atas.

Awal peringkatnya bermula dengan perbuatan membuat binaan atas kubur sedangkan ini maksiat menyalahi apa yang diperintahkan oleh Nabi ﷺ supaya kubur diratakan, jangan dibuat binaan atasnya.

“Rasulullah ﷺ melarang perbuatan menyimen kubur, duduk dan membuat binaan di atasnya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Kemudian daripada maksiat ia bercambah kepada bidaah apabila disarankan supaya beriktikaf di kubur orang soleh sebagai tanda cinta mereka walhal saranan sebegini tiada sama sekali dalam agama, tidak pernah diajarkan oleh Nabi ﷺ ataupun diamalkan oleh para Sahabatnya.

Nabi ﷺ memerintahkan umatnya supaya ziarah kubur bagi mengingati Hari Akhirat. Jangan dilangkaui saranan ini.

Sesudah itu disarankan pula agar berdoa di kubur dan memanjatkan segala hajat di sana kerana kubur merupakan tempat mustajab doa. Ini khurafat, kepercayaan yang tidak berasas sama sekali.

Kemudian daripada khurafat bertukar kepada syirik apabila dibolehkan berdoa kepada penghuni kubur, memohon syafaat, istighathah meminta pertolongan daripadanya atas alasan si mati orang soleh dan doanya kepada Allah ﷻ lebih mustajab kerana dia lebih hampir dengan Allah ﷻ berbanding orang lain.

Walhal inilah kepercayaan syirik orang-orang arab jahiliah dahulu.

“Tiadalah kami menyembahnya melainkan supaya mereka (berhala-berhala) mendekatkan kita kepada Allah sedekat-dekatnya.”

[Al-Quran, al-Zumar, 39:3]

Ternyata bahawa kubur benar-benar diberhalakan dan dijadikan sebagai sembahan selain Allah ﷻ.

Maka dipasangkan kubur dengan lampu-lampu, bunga-bunga, kain-kain permaidani dan sebagainya sebagai perhiasan.

Kemudian diadakan amalan mengusap dan mencium kubur, tawaf di sekelilingnya serta melakukan sembelihan korban di kubur, semuanya dilakukan dengan rasa gembira dan penuh berharap agar amalan mereka diterima oleh si penghuni kubur.

Inilah syirik menyekutukan Allah ﷻ dengan melakukan amal ibadah untuk selain Allah ﷻ.

Akhirnya kubur mengambil alih tempat masjid.

Masjid jadi sunyi manakala kubur riuh dengan pelbagai acara dan majlis ibadah di samping perayaan-perayaan yang diadakan secara rutin dan berkala dari semasa ke semasa.

Setelah amalan-amalan ini sebati dalam masyarakat, sesiapa yang melarangnya akan dituduh menghina dan membenci penghuni kubur, wali Allah dan orang soleh.

Lalu ahli tauhid dimusuhi manakala tuduhan-tuduhan berat dilemparkan atas mereka seperti mahu memecahbelahkan masyarakat, tidak suka berzikir dan berselawat, benci Nabi ﷺ, mengkafirkan masyarakat, jadi Khawarij, menjadi agen Yahudi Nasrani yang hendak memusnahkan Islam dan sebagainya.

Kesudahannya masyarakat awam jadi keliru, menolak ajaran tauhid dan menganggapnya menyeleweng manakala pendakwah-pendakwah tauhid dianggap musuh agama.

Semua ini dilakukan dengan berlatarkan cinta orang soleh, memuliakan wali Allah, mempertahankan akidah Islam serta ajaran nenek moyang yang diwarisi turun temurun.

Mereka berusaha untuk memadamkan cahaya Allah ﷻ dengan mulut mereka sedangkan Allah ﷻ tetap akan menyempurnakan cahayaNya sekalipun tidak disukai oleh musuh-musuhNya.

Idris bin Sulaiman
Kajang
23 Zulhijah 1443H /
23 Julai 2022

Similar Posts

  • | | |

    ASYAIRAH SUFIYYAH

    Golongan yang memperlihatkan tauhid sebagai syirik manakala syirik dikatakan tauhid. Menetapkan sifat-sifat Allah berdasarkan firman Allah ﷻ dan sabda Nabi ﷺ dikatakan tajsim, menjisimkan Allah ﷻ seperti makhluk yang syirik lagi kufur, kata mereka. Manhaj metodologi mereka ialah takwil dan tafwid, memalingkan zahir makna sifat-sifat Allah ﷻ kepada makna-makna yang…

  • |

    KUBURIYYUN (2) – GOLONGAN PEMUJA KUBUR

    – Menghidupkan amalan jahiliah – Kubur ‘wathan’ Sebahagian kaum Muslimin hari ini keliru tentang erti makna akidah Islam yang benar yang menekankan tauhid serta mengesakan Allah ﷻ dalam segala amalan ibadah. Akibat kekeliruan ini mereka mendatangi kubur guru-guru mereka, wali-wali dan orang-orang soleh untuk mengadakan ritual-ritual tertentu dengan berzikir, berselawat…

  • | |

    KELEBIHAN TAUHID & BAHAYA SYIRIK

    Barang siapa mati dalam keadaan tidak berbuat syirik kepada Allah ﷻ akan masuk syurga dan barang siapa mati dalam keadaan berbuat syirik kepadaNya ﷻ akan masuk neraka walaupun dia daripada kalangan orang yang banyak beribadah. Sabda Nabi ﷺ: مَنْ لَقِيَ اللهَ وَهُوَ لا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا دَخَلَ الجَنَّةَ وَمَنْ لَقِيَهُ…

  • | |

    HARI ASYURA ALA SYIAH AFGHANISTAN

    – Bidaah tanpa sempadan Jika Syiah Iran menyambut Hari Asyura (10 Muharam) dengan memukul belakang mereka dengan tali cemeti maka Syiah Afghanistan tidak mahu ketinggalan untuk turut menyambutnya. Video yang dilampirkan menunjukkan sekumpulan pengikut agama Syiah di Afghanistan mengadakan ritual menyambut Hari Asyura dengan cara meletakkan kaki atas bara api…

  • | | |

    AHLI SUNAH SEJATI

    Pengikut Ahli Sunah berusaha untuk beramal dengan al-Sunah, sedangkan lawan mereka sedaya upaya mahu ketepikan al-Sunah atas alasan pendapat mazhab, tokoh, meraikan khilaf, hujah akal dan sebagainya. Firman Allah: فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ. “Jika kalian berselisih dalam sesuatu perkara, maka…

  • ASWAJA

    Mereka tolak Allah ﷻ di atas langit kerana akal mereka tidak dapat terima, tetapi percaya guru mereka boleh bertemu Rasulullah ﷺ secara Yaqazah (dalam keadaan jaga, bukan mimpi), tidak mustahil menurut akal, kata mereka. Ini bahana mendahulukan akal atas wahyu. Berikut dalil-dalil Al-Quran dan hadis bahawa Allah ﷻ di atas…

One Comment

Comments are closed.