|

MASJIDIL HARAM: EMPAT MIHRAB

– Pengajaran

Gambar-gambar yang disertakan di sini ialah gambar-gambar lama Masjidilharam, Makkah semasa musim haji tahun 1953, kira-kira 70 tahun yang lalu.

Jelas Masjidilharam telah melalui banyak perubahan sejak itu di mana bangunannya telah diluaskan manakala kemudahan asasnya dinaik taraf dan dimodenkan.

Menariknya, kelihatan antara gambar ini di sekeliling Kaabah ada empat buah bangunan kecil (mihrab).

Ramai mungkin tidak tahu sejarahnya malah barangkali pertama kali melihatnya.

Setiap satu bangunan kecil ini mewakili salah satu daripada empat mazhab fiqah yang utama dalam Islam; Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali.

Sedar atau tidak, ini merupakan keadaan sebahagian besar umat Islam sejak sekian lama di mana mereka bukan sahaja melihat diri mereka Muslim tetapi menisbahkan diri kepada salah satu daripada empat mazhab fiqah ini sehingga ke tahap taasub dan fanatik.

Hasilnya antara lain mereka solat secara berasingan di mana setiap pengikut mazhab solat di belakang imam mazhab masing-masing secara bergilir-gilir.

Maka setiap solat fardu lima waktu di Masjidilharam akan dilaksanakan sebanyak empat kali terutamanya apabila tiba musim haji bagi meraikan jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia daripada kalangan penganut keempat-empat mazhab.

Bayangkan, apabila tiba waktu solat lalu iqamat dikumandangkan maka ada daripada kalangan jemaah dalam masjid yang berkata sesama mereka “Iqamat ini bukan untuk (mazhab) kita!” lalu mereka duduk-duduk di bahagian belakang masjid menanti giliran untuk solat.

Semestinya amalan ini bertentangan sama sekali dengan ajaran agama yang menekankan persaudaraan antara sesama Muslim dan mewajibkan Muslim berdiri sama teguh dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara saudara kamu (yang bertelingkah) itu.”

[Al-Quran, al-Hujurat, 49: 10]

Di samping menekankan persaudaraan agama, umat Islam dilarang berpecah belah.

Firman Allah ﷻ:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْ.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.”

[Al-Quran, Aali Imran, 15 Julai 2022]

Malah Allah ﷻ mengingatkan bahawa berpecah-belah merupakan sifat orang-orang musyrikin yang suka berbalah sampai jadi berpuak-puak lalu masing-masing berbangga dengan puak masing-masing.

Firman Allah ﷻ:

وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗاۖ كُلُّ حِزۡبِۢ بِمَا لَدَيۡهِمۡ فَرِحُونَ.

“Dan janganlah kamu tergolong dalam kalangan orang-orang musyrikin. Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing lalu mereka menjadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada pada puaknya.”

[Al-Quran, al-Rum, 30: 31-32]

——————-

Cara Berinteraksi dengan Mazhab:

BERPEGANG KEPADA NAS; CARA BERINTERAKSI DENGAN MAZHAB

——————-

CATATAN

Dahulu buat sekian lama para pengikut mazhab Hanafi tidak membenarkan anak mereka berkahwin dengan pengikut mazhab Syafii kerana orang-orang Syafii mengharuskan ucapan ‘Aku beriman insya-Allah’ sedangkan mazhab Hanafi tidak membenarkannya kerana ia tanda orangnya tidak yakin dengan imannya sedangkan itu kekufuran. Lalu datang seorang ulama besar mazhab Hanafi meleraikan kekusutan ini dengan mengharuskannya atas alasan kias harusnya berkahwin dengan perempuan ahli kitab.

Inilah bahana taasub.

——————-

Syukur alhamdulillah kini keempat-empat mihrab ini sudah tiada lagi dan umat Islam dapat mendirikan solat fardu lima waktu bersama-sama di Masjidilharam dalam satu jemaah, yang barangkali merupakan jemaah paling ramai di dunia.

Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Zulhijah 1443H /
16 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    JANGAN HALAU MALAIKAT DARI RUMAH

    Sabda Nabi ﷺ: لا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَة. “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar.” Sahih. Riwayat al-Nasaie. Larangan memasukkan anjing ke dalam rumah dan menggantung gambar makhluk bernyawa; manusia dan haiwan. Adapun gambar pokok dan pemandangan alam hukumnya harus. Dr. Idris…

  • |

    KAFIR BARAT

    KAFIR BARAT # Mencela Nabi ﷺ # Muslim pemuja Barat Mereka mencela Nabi Muhammad ﷺ kerana berkahwin dengan Aishah pada usia muda sedangkan dalam masa yang sama mereka membiarkan anak-anak gadis mereka mencari pasangan di kelab-kelab malam yang merupakan seburuk-buruk tempat. Kesudahannya pelacuran dan zina berleluasa di sana pada tahap…

  • |

    PERSELISIHAN UMAT ADALAH RAHMAT?

    Sering dalam permasalahan khilaf kedengaran suara yang berkata “Perselisihan umat ialah rahmat” yang mengira bahawa khilaf umat Islam dalam hal-hal agama adalah baik dan elok. Malah barangkali ada yang menganggap bahawa perselisihan-perselisihan tersebut seeloknya dibiarkan dan dikekalkan. Masakan tidak kerana ia adalah rahmat buat umat ini, menurut mereka. Rahmat bermaksud…