|

KELAB KOMEDI YANG HINA

– Mempermainkan agama, menghina Muslim
– Syarat batasan bergurau

Tular dalam media baru-baru ini sebuah kelab komedi yang mengadakan persembahan dengan menjemput pelawak-pelawak yang didapati antara lain menjadikan ajaran Islam dan Muslim sebagai bahan ketawanya.

Ini tidak patut, umat Islam sewajarnya menjauhi tempat-tempat seperti ini manakala pihak berkuasa berhak untuk menutup premisnya.

Sekalipun agama mengharuskan jenaka dan bergurau tetapi terdapat syarat dan batasan tertentu yang harus dipatuhi.

SYARAT & BATASAN BERGURAU DALAM ISLAM

Syarat Pertama:

Hendaklah jangan sampai berbohong semata-mata untuk membuatkan orang lain ketawa.

Sabda Nabi ﷺ:

وَيْلٌ ‌لِلَّذِي ‌يُحَدِّثُ ‌الْقَوْمَ، ثُمَّ يَكْذِبُ لِيُضْحِكَهُمْ وَيْلٌ لَهُ وَوَيْلٌ لَهُ.

“Celakalah orang yang berbicara lalu dia berbohong untuk membuatkan orang-orang ketawa. Celakalah dia, dan celakalah dia.”

[Hasan. Riwayat Abu Daud]

Syarat Kedua:

Tidak boleh menghina orang yang tidak layak untuk dihina.

Firman Allah ﷻ:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٞ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرٗا مِّنۡهُنَّ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِ.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum (lelaki) mencemuh dan menghina satu kaum (lelaki) yang lain (kerana) barangkali pihak yang dicemuh itu lebih baik daripada pihak yang mencemuh; dan janganlah pula ada kaum perempuan mencemuh dan menghina kaum perempuan yang lain, (kerana) barangkali kaum yang dicemuh itu lebih baik daripada yang mencemuh; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain, dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran-gelaran buruk.”

[Al-Quran, al-Hujuraat, 49:11]

Syarat Ketiga:

Tidak boleh meniru bunyi atau perbuatan haiwan.

Ini kerana Allah ﷻ telah memuliakan anak-anak Adam dan memberikannya kelebihan-kelebihan atas makhluk lain termasuklah haiwan.

Malah tiada dibuat perbandingan antara manusia dengan haiwan dalam Al-Quran atau hadis kecuali dalam bentuk celaan.

Contohnya firman Allah ﷻ “Mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi.”

[Al-Quran, al-A’raaf, 7:179]

Dan firmanNya “Bandingan orang-orang yang dipertanggungjawabkan dengan kitab Taurat kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab itu ialah seperti keldai yang memikul kitab-kitab (tanpa mengetahui isi kandungannya).”

[Al-Quran, al-Jumu’ah, 62:5]

Syarat Keempat:

Tidak boleh mempermainkan mana-mana ajaran Islam kerana ia merupakan antara pembatal-pembatal agama.

Firman Allah ﷻ:

وَلَئِن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ لَا تَعۡتَذِرُواْ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ.

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka nescaya mereka menjawab: Sesungguhnya kami hanya berbual-bual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya kamu permainkan? Janganlah kamu berdalih kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9: 65-66]

Ini termasuklah perbuatan mempermainkan azan, solat, janggut, hijab Muslimah dan sebagainya.

Syarat Kelima:

Tidak memakai pakaian menyerupai perempuan atau orang kafir.

Sabda Nabi ﷺ:

“Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan, dan perempuan yang menyerupai lelaki.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dan sabdanya ﷺ:

“Barang siapa menyerupai sesebuah kaum maka dia tergolong dalam kalangan mereka.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Syarat Keenam:

Tidak menyebabkan kewajipan terabai atau berlakunya kemungkaran seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, muzik hingar bingar, hidangan minuman arak dan sebagainya.

CATATAN:

Jelasnya kelab komedi berkenaan telah melakukan pelanggaran-pelanggaran yang berat termasuklah dengan mempermainkan agama Islam dan menghina Muslim, dan selayaknya ia ditutup serta-merta sebagai hukuman dan pengajaran buat semua.

Idris bin Sulaiman
Kajang
14 Zulhijah 1443H /
14 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    LARANGAN TUNDUK RUKUK APABILA BERJABAT TANGAN

    – Cara betul berjabat tangan Dalam sebuah video yang tular kelihatan seorang syeikh Arab menegur murid-murid yang tunduk apabila berjabat tangan dengan beliau. Syeikh itu dengan tegas berkata “Jangan begitu! Tunduk hanya kepada Allah semata-mata.” Beliau kemudian menunjukkan cara yang betul berjabat tangan seraya menambah “Hormat itu satu perkara manakala…

  • |

    LARANGAN BERDIRI HORMAT

    Syariat Islam melarang perbuatan berdiri hormat untuk orang lain. Muslim ditegah daripada meminta orang lain supaya berdiri hormat, sama ada untuk dirinya atau orang lain. Malah terdapat ancaman keras ke atas mereka yang suka jika orang lain berdiri hormat untuk dirinya. Sabda Nabi ﷺ: مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَتَمَثَّلَ لَهُ النَّاسُ…

  • JANGAN MENGHINA

    – B40 – Kemuliaan Muslim Muslim itu mulia dan memiliki hak-hak yang wajib dipelihara dan ditunaikan oleh sesama Muslim. Antaranya menjaga darah nyawanya, hartanya dan juga maruahnya. Justeru syariat melarang perbuatan menghina antara sesama Muslim walau atas apa sebab sekalipun. Sabda Nabi ﷺ: الـمُسلِمُ أَخُو الـمُسلِم، لاَ يَظلِمُهُ، وَلاَ يَـخذُلُهُ،…

  • |

    MASJID SYEIKH ABDUL MUHSIN AL-ABBAD

    Alhamdulillah, semalam berkesempatan mengunjungi Masjid al-Quddus al-Salam di taman perumahan berhampiran Universiti Islam Madinah. Masjid ini terletak tidak berapa jauh dari rumah ulama besar Madinah, Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad al-Badr. Memang hajat di hati hendak bersua dan bersalaman dengannya, jika beliau ada. Itu tujuan utama kami singgah solat Isyak di…

  • |

    ADAB-ADAB MEMBUANG HAJAT MENURUT AL-SUNAH

    Hantaran sebelum ini membidas tatacara kencing tertentu yang didakwa menurut al-Sunah kerana ia lebih kepada menyusahkan apa yang telah sedia dimudahkan oleh agama. TATACARA KENCING? Berikut adalah ringkasan adab-adab membuang hajat yang sabit dalam al-Sunah: 1. Menjauh dan melindungi diri daripada pandangan manusia lain; 2. Tidak membuang hajat di tempat…

  • BERSANGKA BAIK DENGAN ORANG

    – Orang yang hebat & bijaksana – Cara bergaul & berakhlak mulia Kata Omar al-Khattab: أَعْقَلُ ‌النَّاسِ أَعْذَرُهُمْ لَهُمْ. “Orang yang paling bijaksana ialah orang yang paling bersangka baik dengan orang lain.” Bersangka baik dengan orang lain termasuk dalam erti akhlak mulia. Ada kalanya orang lain tersalah kata atau melayan…