| |

AJARAN MARTABAT TUJUH

– Fahaman sesat lagi menyesatkan

Ajaran Martabat Tujuh berkait rapat dengan ajaran tasawuf Wehdatul Wujud yang diasaskan oleh Ibnu Arabi (mati 638H), fahaman Nur Muhammad serta ajaran batiniah Syiah Ismailiyyah.

Ajaran Martabat Tujuh kembali kepada ajaran bahawa hakikat yang wujud itu satu dan ia berlapis tujuh secara ‘tanazzulat’ (penurunan) iaitu Ahadiah, Wahdah, Wahidiah, Alam Arwah, Alam Misal, Alam Ajsam dan Alam Insan.

Martabat Ahadiah, Wahdah, Wahidiah bersifat qadim lagi azali kerana ketika itu tiada yang wujud selain zat Allah ﷻ dengan segala sifatNya.

Terdahulu atau terkemudian daripada tiga susunan ini ialah untuk perhitungan akal semata-mata sedangkan pada hakikatnya ialah serentak seperti mana apabila jari memulas anak kunci, anak kunci dan mangga ibu kunci terbuka secara serentak.

Adapun Alam Arwah melibatkan hal-hal bebas lahir dalam diri atau pemikiran masing-masing dan ia turut dinamakan Nur Muhammad yang mana darinya datang alam semesta.

Alam Misal pula melibatkan benda-benda lemah lembut semesta yang bergabung dan tidak boleh dipecah, dibahagi, dikoyak atau ditampal.

Bagi Alam Ajsam, ia merupakan segala sesuatu dalam alam semesta ini yang disusun dan boleh dibelah bahagi, manakala Alam Insan yang turut disebut martabat tajalli menghimpunkan semua martabat enam di atas.

Tujuh martabat atau lapisan ini hanyalah tafsiran sedangkan Ibnu Arabi menghitungnya tiga sahaja manakala Abdul Karim al-Jili (mati 826H) mengatakan ia tidak terhingga tetapi membilangnya sampai empat puluh sebelum diringkaskan menjadi tujuh.

TUJUAN & MATLAMAT AJARAN

Ajaran Martabat Tujuh kononnya bertujuan supaya manusia dapat mengenal asal usulnya dan juga asal usul alam semesta di mana Ahadiah, Wahdah, Wahidiah merupakan aspek batin manusia manakala Alam Arwah, Alam Misal, Alam Ajsam dan Alam Insan merupakan aspek zahirnya.

Semuanya pada hakikatnya ialah satu iaitu Allah ﷻ yang wujud secara hakiki sedangkan selainNya adalah bayangan bagiNya semata-mata.

Maka Allah ﷻ pada zahirnya ialah alam semesta manakala alam semesta pada batinnya ialah Allah ﷻ.

Ibnu Arabi berpandangan bahawa Allah ﷻ dan alam ini satu yang tidak boleh dipisahkan kerana Allah ﷻ ialah Roh al-Wujud atau rupa zahir alam semesta ini.

Dengan kata lain “Tuhan pada zahirnya ialah manusia dan manusia pada batinnya ialah Tuhan” dan “Wujud segala yang baharu ini ialah zat wujud Allah ﷻ itu sendiri.”

Justeru Allah ﷻ dengan alam ialah ibarat badan dengan anggota badan, ombak dengan laut atau matahari dengan cahayanya di mana semuanya pada hakikatnya ialah Allah ﷻ manakala alam ini wujud dalam bentuk tajalli atau penampakan Allah ﷻ.

Di samping tujuan di atas, ajaran ini dikatakan turut membolehkan manusia mengenali dirinya bertepatan dengan sebuah hadis palsu:

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ.

“Barang siapa mengenali dirinya maka dia telah kenal Allah.”

Ia bermula dengan seseorang itu mengenali dirinya dengan tujuh martabat di mana tiga yang pertama iaitu Ahadiah (al-Lata’yyun), Wahdah (al-Ta’ayyun al-Awwal / al-Haqiqah al-Muhammadiah) dan Wahidiah (al-Ta’ayyun al-Thani / hakikat insan) merupakan tiga martabat qadim (azali) manakala baki empat martabat iaitu Alam Arwah, Alam Misal, Alam Ajsam dan Alam Insan bersifat baharu (hadith)

KEDUDUKAN NABI MUHAMMAD ﷺ

Menurut ajaran Martabat Tujuh, kedudukan Nabi Muhammad ﷺ kembali kepada fahaman Nur Muhammad iaitu penurunan zat Allah ﷻ pada martabat kedua iaitu Wahdah.

Baginda ﷺ zahir daripada segala sifat dan nama secara ijmal, dan merupakan asal segala yang maujud dan hayatnya.

Justeru baginda ﷺ merupakan hakikat alam dan asal segala sesuatu memandangkan segala sesuatu itu dijadikan daripada Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana dalam hadis palsu “Apa yang pertama sekali diciptakan oleh Tuhanmu ialah cahaya Nabimu wahai Jabir lalu diciptakan daripadanya segala sesuatu dan engkau merupakan salah satu daripadanya.”

Nur dikatakan salah satu nama Allah ﷻ lalu diletakkan pada diri Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda datang daripada Allah ﷻ seperti mana matahari dengan cahayanya.

Justeru Nur Muhammad telah wujud sebelum segala sesuatu wujud dan Nabi Muhammad ﷺ itu lahir di Mekah ketika mana segala sesuatu telah pun wujud. Baginda ialah zat Allah ﷻ dan baginda ialah Allah ﷻ jua.

Antara tokoh-tokoh Nusantara yang menyebarkan ajaran sesat Martabat Tujuh ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin Sumatrani, al-Raniri, Muhammad bin Fadhlullah Burhanfuri, Abdul Samad al-Falimbani, Muhammad Nafis al-Banari, Syeikh Daud al-Fatani, Muhammad Taib al-Banraji, Raden Ranggawarsita dan lain-lain.

KESIMPULAN

Daripada penjelasan di atas nyatalah bahawa ajaran Martabat Tujuh sesat lagi kufur. Nauzubillah.

CATATAN

Ada usaha baru-baru ini untuk menghidupkan ajaran sesat ini?

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan keselamatan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
06 Zulhijah 1443H /
06 Julai 2022

——————-

Salurkan sumbangan anda kepada Surau melalui:

BANK ISLAM

No. Akaun: 12092010017971

SURAU AL HIDAYAH

Similar Posts

  • | |

    KELEBIHAN TAUHID & BAHAYA SYIRIK

    Barang siapa mati dalam keadaan tidak berbuat syirik kepada Allah ﷻ akan masuk syurga dan barang siapa mati dalam keadaan berbuat syirik kepadaNya ﷻ akan masuk neraka walaupun dia daripada kalangan orang yang banyak beribadah. Sabda Nabi ﷺ: مَنْ لَقِيَ اللهَ وَهُوَ لا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا دَخَلَ الجَنَّةَ وَمَنْ لَقِيَهُ…

  • |

    HUKUM MENCIUM KAKI ULAMA

    – Perbuatan tunduk sujud kepada manusia – Pengikut Tarekat Naqsyabandiah Memberhalakan Guru Mereka? Dalam tulisan sebelum ini saya sengaja tidak membahaskan permasalahan mencium kaki ulama kerana melihat adanya keluasan dalam perkara ini. JAWAPAN KEPADA PENJELASAN TENTANG TAREKAT NAQSYABANDIAH AL-ALIYYAH Tetapi apabila melihat kecenderungan sebahagian pihak gigih mempertahankan amalan yang dilakukan…

  • | |

    DR. YOUSUF AL-QARADAWI

    – Ulama radikal – Gerakan-gerakan revolusi Beliau sudah meninggal dunia. Ramai orang termasuk para asatizah dan ilmuan mengucapkan takziah malah ada yang sampai mengadakan solat jenazah ghaib. Tidak kurang yang memuji dan mengangkat beliau sebagai seorang sarjana hebat dan ada yang sampai menggelar beliau sebagai al-Allamah (tokoh ulama besar) dan…

  • HADIS JARI-JEMARI ALLAH ﷻ

    Sifat jari-jemari Allah ﷻ sabit dalam hadis sahih. Dalam sebuah hadis, Abdullah bin Masud radiallahuanhu berkata: جَاءَ حَبْرٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ اللَّهَ يَضَعُ السَّمَاءَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالأَرْضَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالجِبَالَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالشَّجَرَ وَالأَنْهَارَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَسَائِرَ الخَلْقِ عَلَى إِصْبَعٍ، ثُمَّ يَقُولُ…

  • | | |

    DI MANA ALLAH?

    Salaf al-Soleh berpendirian bahawa Allah ﷻ di atas, terpisah daripada makhluknya, meninggi di atas Arasy. Sebagaimana antara nama Allah ﷻ ialah al-‘Ali (العلي), al-A’la (الأعلى) dan al-Muta’aal (المتعال), semuanya bermaksud Yang Maha Tinggi. Dalil-dalil Al-Quran: وَهُوَ ٱلۡعَلِيُّ ٱلۡعَظِيمُ “Dan Dia lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” [Al-Quran, al-Baqarah, 2:255]…

  • |

    PENDIRIAN ULAMA ASYAIRAH FAKHRUDDIN AL-RAZI MENGENAI KEDUDUKAN AL-QURAN & AL-SUNAH

    Fakhruddin Muhammad bin Omar al-Razi (wafat 606H) merupakan antara ilmuwan Asyairah besar terkenal yang menjadi rujukan pengikut-pengikut mazhab Asyairah. Berikut ialah sebahagian pendirian beliau mengenai kedudukan Al-Quran dan al-Sunah: Kata al-Razi: الدَّلائِلُ العقليَّةُ إذا دلَّت على صِحَّةِ قولِنا ثمَّ رأينا أنَّ ظواهِرَ القُرآنِ والأخبارِ تؤكِّدُ تلك العَقليَّاتِ قَوِيَ اليقينُ وزالت…