Apples
|

NIAT BAIK TIDAK MENJADIKAN MAKSIAT ELOK

– Kedua-dua niat dan amalan perlu baik

Sering dalam perbahasan mengenai sesuatu amalan yang dilakukan oleh masyarakat kedengaran ada yang berkata:

“Apa yang penting ialah niat!”

“Yang penting niatnya baik!”

Dan seumpamanya.

Perlu ditegaskan bahawa kenyataan seperti di atas salah.

Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara manakala niat yang baik tidak menjadikan sesuatu yang menyalahi syarak elok.

Oleh itu, tidak dinafikan bahawa niat baik itu penting tetapi cara pelaksanaan sesuatu amalan itu juga perlu elok dan menepati syariat.

Seperti mana jika niatnya buruk maka sesuatu amalan itu jadi buruk, begitu juga jika sesuatu amalan itu buruk dan tidak menepati syariat maka amalan itu akan jadi buruk sekalipun ia didasari niat yang baik.

Firman Allah ﷻ:

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا.

“Oleh itu barang siapa berharap akan pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya.”

[Al-Quran, al-Kahfi, 18: 110]

Ayat di atas menunjukkan bahawa keimanan dan keikhlasan untuk bertemu Allah ﷻ tidak memadai sebaliknya hendaklah ia disusuli dengan amalan yang soleh di samping menjauhi perkara-perkara syirik.

Sabda Nabi ﷺ:

وأجْمِلُوا في الطَّلَبِ فإنَّ اللهَ لا يُنالُ ما عِندَه إلا بِطاعتِه .

“Gunakanlah cara yang baik dalam mencari rezeki kerana sesungguhnya (nikmat) yang ada di sisi Allah tidak akan dicapai kecuali dengan mentaatiNya.”

Yakni nikmat syurga Allah ﷻ tidak mungkin dapat dicapai melalui jalan yang buruk dengan bermaksiat kepadaNya.

Antara beberapa peristiwa pada zaman Rasulullah ﷺ yang boleh dikaitkan dengan permasalahan ini ialah:

1. Dalam sebuah peperangan, Usamah bin Zaid radiallahuanhu mengejar seorang lelaki daripada kalangan tentera musuh sehingga apabila menghampirinya lelaki itu mengucapkan “La ilaha illah Allah.”

Walaupun mengucapkan kalimah syahadah tetapi Usamah bin Zaid tetap menusuknya dengan tombak lalu membunuhnya.

Apabila perkara tersebut sampai kepada Nabi ﷺ baginda berkata:

يَا أُسَامَةُ، ‌أَقَتَلْتَهُ ‌بَعْدَ مَا قَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ؟

“Wahai Usamah, adakah engkau membunuhnya setelah dia mengucapkan La ialaha illah Allah?”

Usamah membalas “Tetapi lelaki itu sekadar mahu menyelamatkan dirinya.”

Nabi ﷺ terus mengulangi perkataannya sehingga Usamah merasa sangat menyesal dengan perbuatannya membunuh lelaki itu.

[Sahi. Riwayat Bukhari,no. 4296 dan Muslim no. 96]

2. Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ membicarakan tentang sesuatu perkara kemudian dia berkata:

مَا شَاءَ اللهُ وَشِئتَ.

“Apa yang diinginkan oleh Allah dan engkau!”

Mendengar perkataan lelaki itu Rasulullah ﷺ bersabda “Adakah engkau menjadikan aku sekutu dengan Allah? Katakanlah: Apa yang diinginkan oleh Allah semata-mata.”

[Sahih. Riwayat al-Nasai dalam Amal al-Yawm Wa al-Lailah, no. 988]

Dalam kedua-dua peristiwa di atas, jelasnya dua orang Sahabat Nabi ﷺ ini melakukan kesalahan tanpa sengaja dan kedua-dua mereka memang berniat baik.

Sekalipun demikian Nabi ﷺ tetap mengkritik mereka dan memperbetulkan kesalahan yang mereka telah lakukan.

Niat baik mereka itu tidak mengubah hakikat bahawa apa yang mereka telah lakukan itu salah.

Contoh lain yang mungkin lebih mudah ialah membaca Al-Quran dalam tandas.

Umat Islam semua sedia maklum bahawa ia tetap salah dan berdosa sekalipun orangnya mendakwa bahawa niatnya membacanya dalam tandas baik dan ikhlas kerana Allah ﷻ.

Justeru apa yang dihukum salah dan maksiat di sisi syariat adalah haram buat semua manusia tanpa kecuali, dan alasan pelakunya berniat baik tidak akan mengubah hukum haram itu jadi harus.

Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Zulkaedah 1443H /
11 Jun 2022

Similar Posts

  • |

    BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH

    Musuh-musuh Islam tidak akan pernah berdiam diri membiarkan agama terus berkembang dan masyarakat Islam hidup aman damai (Al-Quran, al-Baqarah, 2:120). Kerana itu umat Islam diperintahkan supaya menjaga kesatuan agar mereka dapat bersatu padu menghadapi musuh-musuh mereka. Sejarah menjadi bukti. Pelbagai tipu daya dan muslihat digunakan untuk melemahkan umat Islam serta…

  • |

    Apa yang sudah lalu sudah pun berlalu

    Kata Syeikh Saleh al-Fauzan hafizahullah: “Hari datang silih berganti manakala umur hayat terus berkurang. Apa yang sudah lalu sudah pun berlalu sedangkan apa yang akan datang tidak diketahui. Sebaliknya apa yang ada ialah waktu yang engkau berada padanya.” Justeru jangan dilepaskan peluang yang ada di tangan. Dr. Idris bin SulaimanKajang05…

  • |

    AL JAZEERA – QATAR

    AL JAZEERA – QATAR Saluran berita AL JAZEERA yang berpangkalan di QATAR baru-baru ini membuat laporan memburuk-burukkan Malaysia kononnya tidak berperi kemanusiaan terhadap pendatang asing. https://www.facebook.com/115795798453909/posts/3333853379981452/?vh=e&d=n Tuduhan ini berat dan boleh mencemarkan nama baik negara. Mengapa saluran berita ini bertindak sedemikian? Jika dilihat QATAR, negara ini memang banyak melakukan onar…

  • |

    TABARUK DENGAN RAMBUT, JUBAH, CAPAL NABI ﷺ

    – Tabaruk bermaksud mencari berkat. Tidak dinafikan bahawa mengambil berkat (bertabaruk) daripada barang-barang peninggalan Nabi ﷺ merupakan suatu perkara yang disyariatkan berdasarkan banyak riwayat yang menceritakan tentang perbuatan para Sahabat Nabi ﷺ bertabaruk dengan peninggalan-peninggalan baginda ﷺ. Sekalipun demikian, TIDAK SABIT bahawa terdapat barang-barang peninggalan Nabi ﷺ yang wujud pada…

  • |

    ULAMA TAK BERSUARA?

    Antara fitnah akhir zaman serta kekacauan dan kecelaruan yang menimpa atas umat Islam ialah ketika mana timbulnya golongan awam dan jahil yang mengedepankan diri mereka dengan pandangan dan saranan buat seantero masyarakat. Golongan ini memberi pendapat dan komen malah mungkin sampai berfatwa secara melulu dan membuta sedangkan mereka tidak pernah…

  • |

    BANK ISLAM

    BANK ISLAM Lampiran gambar mesej yang diterima melalui telefon bimbit hari ini tentang tawaran pembiayaan (baca PINJAMAN) peribadi sehingga RM300K dengan kadar terapung (floating rate) bermula daripada 4.42%. Berbeza dengan kadar tetap (fixed rate), kadar terapung merujuk kepada kadar faedah (baca RIBA) yang boleh berubah dari semasa ke semasa mengikut…