|

NIKMAT SYURGA

NIKMAT SYURGA
ISTERI BERSAMA SUAMINYA
ATAU BOLEH MEMILIH SUAMI LAIN?

Syurga merupakan tempat nikmat yang sempurna yang Allah ﷻ sediakan buat para hambaNya yang soleh dan bertakwa.

Nikmat-nikmat yang Allah sediakan dalam syurga tidak terkata dan melangkaui khayalan manusia berdasarkan firman Allah ﷻ:

“Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang teramat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”

[as-Sajdah, 32:17]

Dalam hadis kudsi Allah ﷻ berfirman:

“Aku telah sediakan buat para hambaKu yang soleh apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga mahupun terlintas dalam hati manusia.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Nikmat yang kekal ini dikongsi sama antara mereka yang beriman, lelaki dan perempuan. Sebagaimana firman Allah ﷻ:

“Sesiapa yang beramal soleh, daripada kalangan lelaki atau perempuan, dalam keadaan dia beriman maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

[an-Nahl, 16:97]

Allah ﷻ telah menyebutkan dalam Al-Quran dan Rasulullah ﷺ dalam hadis pelbagai macam nikmat syurga serta jenis-jenisnya dalam bentuk makanan, minuman, pernikahan, pakaian dan sebagainya sedangkan apa yang telah disebutkan hanyalah sekelumit daripada apa yang Allah ﷻ telah sediakan manakala akal manusia tidak dapat menaakul hakikat maknanya ataupun keadaannya.

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Sahabat juru tafsir Al-Quran iaitu Ibnu Abbas “Tiadalah di dunia daripada apa yang ada di syurga melainkan nama sahaja.”

Justeru tidak sesuai untuk manusia membahaskan perincian apa yang ada di syurga yang disebut dalam nas secara umum mahupun berusaha untuk menyingkap hakikat apa yang Allah ﷻ telah sembunyikan ketika mana akal mereka tidak dapat menjangkau bagaimana keadaan nikmat-nikmat di akhirat.

Ini kerana nikmat-nikmat di syurga tidak boleh dikiaskan dengan nikmat-nikmat yang ada di dunia.

Sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

“Tempat letak cemeti seseorang kamu di syurga lebih baik daripada dunia dengan segala apa yang ada di atasya.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Dalam sebuah hadis Rasulullah ﷺ menjelaskan:

“Kumpulan pertama yang memasuki syurga adalah bak bulan pada malam bulan purnama manakala kumpulan yang menelusuri mereka adalah seperti bintang yang paling bersinar cahayanya. Mereka bersatu hati. Tidak ada perselisihan atau kebencian antara mereka. Setiap mereka memiliki dua orang isteri yang sumsum tulangnya kelihatan daripada betis-betis mereka dari balik daging kerana teramat cantiknya. Mereka senantiasa bertasbih pada waktu pagi dan petang. Mereka tidak meludah, mengeluarkan kahak ataupun membuang air. Pinggan mangkuk dan sikat mereka diperbuat daripada emas dan perak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Berkenaan para suami isteri di dunia, sekiranya mereka berdua masuk syurga maka hubungan mereka akan berubah dan mereka akan merasakan kebahagiaan yang paling sempurna, tanpa sebarang kekurangan.

Dan ini merupakan antara makna dalam doa solat jenazah yang dibaca oleh Nabi ﷺ:

“Dan gantilah tempat tinggalnya dengan tempat tinggal yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan isteri yang lebih baik daripada isterinya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Ini kerana penggantian ada dua makna:

Pertama: Penggantian fizikal seperti mana sekiranya salah seorang daripada mereka terhalang dari syurga maka pasangannya akan berkahwin dengan yang lain.

Kedua: Penggantian sifat iaitu dengan disempurnakan segala sifat yang baik dan dihilangkan segala sifat yang buruk.

Ini penting untuk mengharmonikan antara maksud doa yang Nabi ﷺ ajarkan di atas dengan sabdanya ﷺ:

“Mana-mana perempuan yang kematian suaminya lalu dia berkahwin sesudah itu maka dia akan bersama suaminya yang terakhir.”

[Sahih. Tabarani dalam al-Kabir]

Dalam masa yang sama, tiada halangan untuk mengatakan bahawa si isteri itu boleh meminta pasangan lain yang dia mahu, jika itu pilihannya.

Di samping tiada nas yang menghalang permintaan sedemikian, ia juga menepati keumuman mafhum firman Allah ﷻ:

“Mereka memperoleh apa yang mereka mahu di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan.”

[Qaf, 50:35]

Dan firmanNya:

“Dan di dalam syurga disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata; dan kamu tetap kekal di dalamnya.”

[az-Zukhruf, 43:71]

Maksud di sini ialah bahawa para penghuni syurga, baik lelaki ataupun perempuan akan menikmati segala kesenangan dan kebahagiaan, zahir dan batin.

Adakah di syurga seorang perempuan itu akan mempunyai beberapa orang suami? Tiada nas Al-Quran atau as-Sunah yang menunjukkan sedemikian.

Dan maklum bahawa hakikat nikmat syurga merupakan perkara ghaib yang hanya boleh diketahui melalui petunjuk wahyu, dan bukan sekadar mengikut qias akal.

Sementara itu, sabdanya ﷺ “Mereka bersatu hati. Tidak ada perselisihan atau kebencian antara mereka” menafikan sebarang rasa tidak senang atau cemburu kerana suami mempunyai lebih daripada seorang isteri seperti mana keadaannya di dunia.

Tiada ulama yang mengatakan bahawa seorang perempuan itu akan berkahwin di akhirat dengan lebih daripada seorang suami.

Dan zahir Al-Quran menafikannya kerana hal tersebut menyalahi erti kesempurnaan. Seorang perempuan itu tidak mungkin dikongsi bersama lebih daripada seorang lelaki.

Allah ﷻ memuji bidadari-bidadari syurga dalam firmanNya “Yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia atau jin” (ar-Rahman, 55:56) sedangkan perempuan-perempuan yang masuk syurga lebih layak untuk memiliki segala sifat kemuliaan dan kesempurnaan.

Akhir kata, apa yang utama bagi Muslim dan Muslimat ialah berusaha gigih beramal soleh dan sedaya upaya menolak bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu manusia supaya terjebak dalam apa yang dilarang.

Idris bin Sulaiman
Kajang
22 Jamadilawal 1443H /
27 Disember 2021

——————-

Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.

https://t.me/penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • |

    AGAMA DIJADIKAN BAHAN SENDA GURAU

    Agama tidak boleh dijadikan sebagai bahan senda gurau. Allah ﷻ memberi ancaman ke atas mereka yang menjadikan agamanya sebagai bahan senda gurau dalam firmanNya ﷻ: ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَهُمۡ لَهۡوٗا وَلَعِبٗا “Orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan.” [Al-Quran, al-A’raaf, 07:51] Daripada Allah jua kita memohon petunjuk….

  • | |

    SAHABAT NABI ﷺ

    SAHABAT NABI ﷺ Sesudah Al-Quran dan hadis, para Sahabat Nabi ﷺ merupakan rujukan dalam segala ilmu Islam, kebaikan dan petunjuk. Mereka adalah sebaik-baik umat ini. Generasi yang paling tinggi ilmu agamanya, paling faham Al-Quran serta perkataan, perbuatan serta perakuan Nabi ﷺ. Ini kerana mereka adalah satu-satunya generasi manusia yang telah…

  • |

    PERISTIWA ISRAK MIKRAJ: JAWAPAN KEPADA JAWAPAN USTAZ HAFIZ AL-ZA’FARANI

    Hantaran semalam bertajuk ‘Peristiwa Israk Mikraj: Kemusykilan & Persoalan Buat Asyairah’ telah dibalas oleh Ustaz Hafiz al-Za’farani (HAZA), dan seperti diduga, beliau memberi reaksi skema berdasarkan kepada pegangan Asyairah yang menafikan keberadaan Allah ﷻ di atas langit. https://www.facebook.com/UstazHaza/posts/1169829010692817 Pegangan ini telah membuatkan Asyairah menafikan sekian banyak nas Al-Quran dan hadis…

  • ASYA’IRAH: AKIDAH SEBENAR AHLI SUNNAH WAL JEMAAH?

    Asya’irah adalah nisbah kepada Abu al-Hasan al-Asy’ari, wafat tahun 324H. Jika akidah Asya’irah dikatakan sebagai akidah sebenar Ahli Sunah Wal Jemaah, timbul persoalan tentang status akidah para alim ulama sebelum zaman Abu al-Hasan al-Asy’ari. Bagaimana pula dengan status akidah Imam Ahmad (wafat 241H), murid kepada Imam Asy-Syafie, yang diberi gelaran…

  • |

    COVID-19 PELUANG UNTUK RESET EKONOMI?

    Kata Perdana Menteri Kanada: “Pandemik ini telah membuka satu peluang untuk ‘RESET’. Ini adalah peluang bagi kita mempercepatkan usaha-usaha sebelum ini untuk mengimaginasikan semula sistem-sistem ekonomi bagi menghadapi cabaran-cabaran global seperti kemiskinan melampau, ketaksamaan dan perubahan iklim”. Apa maksud beliau ‘RESET EKONOMI’? Adakah maksudnya negara-negara semua kembali miskin? Kerana nampak…

  • |

    BERTENANG

    BERTENANG Semua pihak harus tampil membantu menenangkan keadaan. Memandangkan bahawa terdapat sebahagian daripada masyarakat yang panik apabila terus menerus membaca berita penularan wabak penyakit. Apatah lagi pihak-pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan. Ingat, di sebalik kegawatan ada sahaja yang mencari keuntungan. Suasana panik hanya akan mengeruhkan keadaan. Barangkali kesan panik akibat…