PESANAN HUKAMA

PESANAN HUKAMA

Seorang lelaki bertanya kepada seorang hukama:

“Sebanyak manakah harusnya aku makan?” Dia menjawab “Sekadar untuk menghilangkan lapar dan jangan sampai rasa kenyang.”

“Sebanyak manakah harusnya aku ketawa?” Dia menjawab “Sehingga wajahmu menjadi ceria tetapi jangan sampai suaramu meninggi.”

“Sebanyak manakah harusnya aku menangis?” Dia menjawab “Jangan engkau pernah rasa jemu menangis kerana takut kepada Allah.”

“Sebanyak manakah harusnya aku sembunyikan amalanku?” Dia menjawab “Sedaya upaya.”

“Sebanyak manakah harusnya aku zahirkan amalanku?” Dia menjawab “Sekadar mana orang lain dapat mencontohimu.”

“Sebanyak manakah harusnya aku bergembira apabila orang lain memujiku?” Dia menjawab “Mengikut sangkaanmu sama ada Allah meredaimu atau Dia murka terhadapmu.”

“Sebanyak manakah harusnya aku bersedih jika orang mencelaku?” Dia menjawab “Mengapa pula engkau peduli dengan orang yang mencelamu jika Allah merestuimu?”

————

Mengakui kelebihan orang lain adalah sifat para Nabi “Dan saudaraku – Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku” [Al-Quran, al-Qasas, 28:34] manakala menafikannya adalah sifat syaitan “Aku lebih hebat daripada Adam” [Al-Quran, al-A’raaf, 7:12].

Nabi Ibrahim meminta izin anaknya untuk menyembelihnya lalu dia mematuhinya [Al-Quran, as-Saffat, 37:102] sedangkan anak Nabi Nuh berdegil apabila bapanya menyuruhnya naik bersamanya dalam kapal [Al-Quran, Hud, 11:42-43]. Maka sebahagian anak sangat berbakti kepada ibu bapa sampai ke tahap yang sangat luar biasa. Demikian dengan anak yang menderhaka.

Mereka berkata kepada Nabi Hud “Sesungguhnya kami melihatmu berada dalam kebodohan” [Al-Quran, al-A’raaf, 7:66] lalu beliau berkata “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan.” Beliau tidak membalas dengan berkata: Bahkan kamulah yang bodoh! Betapa tingginya akhlak para nabi untuk kita contohi.

————

Pergilah ke mana sahaja engkau mahu kerana akhirnya “Kepada Tuhanmu lah tempat kembali” [Al-Quran, al’Alaq, 96:8].

Beramallah dengan apa sahaja kerana terdapat kitab yang ”Tidak meninggalkan yang kecil ataupun yang besar melainkan semua dihitungnya” [Al-Quran, al-Kahfi, 18:49].

Dan ingatlah bahawa pada hari ini akan diterima daripadamu “Walaupun sebesar sebiji sawi” [Al-Quran, al-Zalzalah, 99:7] manakala esok tidak akan diterima daripadamu walaupun “Emas sepenuh bumi” [Al-Quran, Aali Imraan, 3:91].

——————-

Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.

https://t.me/penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • ULAMA & PERAWI SAHABAT

    ULAMA & PERAWI SAHABAT # Ulama papan kekunci Jumlah para Sahabat Rasulullah ﷺ adalah ribuan. Jumlah mereka yang meriwayatkan hadis (yang tercatat nama mereka dalam kitab-kitab hadis) ialah sekitar 750 orang Sahabat. Jumlah mereka yang berijtihad dan memberi fatwa tidak lebih daripada 150 orang Sahabat. 7 daripada mereka banyak berijtihad…

  • MENJERNIHKAN FIKIRAN

    MENJERNIHKAN FIKIRAN Bagaimana cara untuk menjernihkan fikiran dan menghilangkan keserabutan? PERTAMA: Berzikir mengingati Allah ﷻ. Afdalnya dengan ucapan ‘Lailahaillallah’ dan ‘Astaghfirullah’. KEDUA: Solat. “Rasulullah ﷺ apabila berhadapan dengan sesuatu perkara maka baginda akan segera melakukan solat.” [Sahih. Riwayat Abu Daud] KETIGA: Berdoa. Mengadap Allah dan merintih kepadaNya. Sebaik-baiknya semasa sujud….

  • MUSIBAH BANJIR BESAR HUKUMAN ATAU UJIAN?

    MUSIBAH BANJIR BESAR HUKUMAN ATAU UJIAN? Hukuman kerana dosa manakala ujian bagi menghapuskannya. Apa yang pasti segala bentuk musibah seperti gunung berapi, gempa bumi, kemarau, tanah runtuh dan banjir besar berlaku dengan izin Allah ﷻ. Semestinya ia terjadi dengan sebab serta hikmah yang tertentu. Boleh jadi Allah ﷻ mendatangkan musibah…

  • MUSLIM MUNAFIK

    MUSLIM MUNAFIK Seorang lelaki berkata kepada Abdullah bin Mas’ud r.a.: “Aku takut diriku seorang munafik!” Kata Abdullah bin Mas’ud r.a.: “Jika engkau seorang munafik nescaya engkau tidak akan rasa takut daripadanya”. – Hilyat al-Awliya’. Maksudnya, tidaklah yang rasa takut daripada sifat munafik melainkan orang beriman. Adapun orang munafik, mereka merasa…