3 SURAH TANPA HURUF ‘KAF’
3 SURAH TANPA HURUF ‘KAF’
# Amalan rekaan dari meja penceramah
# Berdusta atas nama Nabi ﷺ
Tersebar sebuah video pendek seorang penceramah menganjurkan supaya dibaca tiga surah Al-Quran yang beliau sifatkan sebagai surah yang ‘tiada huruf kaf’ bagi memastikan rezeki yang mencukupi.
Beliau kemudian menyandarkan saranannya itu kepada apa yang beliau sifatkan sebagai “Nabi sebut”.
Perlu ditegaskan bahawa tiada hadis sahih sedemikian.
Bahkan barangkali tiada lafaz sedemikian sekalipun dalam hadis daif ataupun palsu.
Apa yang pasti perceramah itu telah berdusta atas nama Nabi ﷺ.
Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:
اتَّقُوا الحَدِيثَ عَنِّي إلَّا مَا عَلِمْتُمْ، فَمَنْ كَذَبَ عَلّيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأُ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.
“Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada menisbahkan sesebuah hadis kepadaku melainkan dalam apa yang kamu pasti. Sesungguhnya barang siapa berdusta atas namaku maka hendaklah dia bersiap-sedia akan tempatnya dalam api neraka.”
[Sahih. Sunan at-Tirmidhi, no. 2951]
Hadis di atas merupakan ancaman keras terhadap mereka yang berdusta atas Nabi ﷺ.
Dalam masa yang sama, apa jua amalan ibadah rekaan yang tiada asasnya dalam Sunah Nabi ﷺ maka ia adalah tertolak dan terbatal di sisi Syariat.
Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ.
“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (Agama) maka ia adalah tertolak.”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Sabdanya ﷺ:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”
[Sahih. Riwayat Muslim]
Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Safar 1443H /
28 September 2021