TERCELANYA RIBA
TERCELANYA RIBA
RIBA merupakan muamalah Yahudi yang menjadi salah satu sebab mengapa mereka dihukum oleh ALLAH.
Mereka yang berdegil tidak mahu meninggalkan RIBA dikira telah melancarkan PERANG ke atas ALLAH kerana berkeras tidak mahu tunduk kepada peraturanNYA.
Orang yang memakan RIBA pada hakikatnya memakan harta manusia lain secara HARAM dan BATIL.
Ini melayakkan dia DILAKNAT dan dijauhkan daripada rahmat ALLAH.
Demikian kesimpulan nas-nas AL-QURAN.
Dalam HADIS pula, berkata Jabir:
“RASULULLAH ﷺ melaknat orang yang memakan RIBA, orang yang memberi makan RIBA, penulisnya (perjanjian transaksinya) dan kedua-dua saksinya”.
Sahih. Riwayat Muslim.
Kesemua mereka DIANCAM termasuklah orang yang memberi makan RIBA yang menyediakan dana untuk pihak yang menyediakan transaksi RIBA tersebut.
Nabi ﷺ menjelaskan realiti jijiknya keburukan RIBA dalam sabdanya:
“RIBA mempunyai tujuh puluh tiga pintu (dosa) dan pintunya (dosanya) yang paling ringan ialah seperti seseorang yang BERZINA DENGAN IBUNYA”.
Sahih. Riwayat al-Hakim.
RIBA yang paling ringan ialah seperti BERZINA DENGAN IBU SENDIRI!
Nauzubillah.
Zina terdapat bermacam-macam jenis. Tetapi antara ZINA yang paling berat ialah BERZINA DENGAN IBU SENDIRI. Ternyata ia seperti dosa RIBA yang paling ringan!
Ini menunjukkan betapa dosa RIBA jauh lebih berat dan jauh lebih keji daripada ZINA.
Sedangkan kita sedia maklum betapa buruk dan kejinya perbuatan BERZINA DENGAN IBU SENDIRI. Tak terbayang dan tak terkata.
Tetapi bagaimana pula dengan muamalah RIBA pada hari ini? Di pandang keji atau dianggap biasa seperti tiada apa-apa?
Hadis Jabir di atas menunjukkan bahawa kejelikan RIBA telah jauh mengatasi dosa ZINA dengan segala jenisnya.
Sedangkan kita maklum betapa ZINA itu mendatangkan keburukan pada dunia dan agama serta disebut sebagai suatu yang jijik dan seburuk-buruk jalan yang membawa kerosakan.
Buruknya ZINA juga disebabkan oleh pengkhianatan si PENZINA terhadap pasangan suami atau isterinya, kedua-dua orang tuanya dan seluruh ahli keluarganya, di samping menyumbang kepada keruntuhan moral, hilangnya adab, bercampurnya nasab, menimbulkan syak wasangka, si suami berlepas diri daripada nasab anak yang dilahirkan oleh sang PENZINA lalu kedua-dua pasangan saling bersumpah mula’anah antara sesama mereka manakala hukumannya di dunia sama ada rejam atau sebat dengan buang daerah.
Ini merupakan keburukan-keburukan ZINA.
Ternyata bahawa RIBA jauh LEBIH HARAM dan dosanya jauh LEBIH BERAT sekalipun melibatkan nilai harta yang sedikit.
Sabda Nabi:
“Satu dirham RIBA yang diambil oleh seseorang dalam keadaan dia tahu LEBIH BERAT daripada tiga puluh enam kali ZINA”.
Sahih. Riwayat Ahmad.
Satu dirham RIBA lebih berat dosanya daripada 36 kali ZINA.
Bagaimana pula jika dengan harga beratus ribu atau barangkali sampai berjuta ringgit untuk harga kereta dan rumah?
Pada hari ini, mungkin tiada sesiapa yang mempertikaikan haramnya RIBA.
Tetapi apa yang berlaku ialah perubahan pada nama dan bentuk bagi tujuan menghalalkannya.
Ibarat silap mata muslihat yang memperdayakan. Walhal ia tetap RIBA.
Maka dikatakan RIBA haram manakala bunga, interest dan faedah HARUS.
Demikian yang berjenama ARAB dan ISLAM.
MORATORIUM
Jika bebas RIBA maka mengapa berlaku perubahan dan pertambahan pada bayaran ansuran bulanan?
Sedangkan RIBA itu secara istilahnya bererti pertambahan.
Walhal ALLAH bertitah:
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya”.
Surah al-Baqarah, 2:280.
Ayat AL-QURAN di atas menuntut supaya orang berhutang yang mengalami kesempitan hidup diberi tempoh masa sehingga keadaannya pulih. Dan semestinya tanpa sebarang penambahan pada asal jumlah hutang kerana itu jelas bukan meringankan tetapi menambahkan bebanan sedia ada. Tambah pula ia merupakan RIBA yang jelas.
RIBA memang zalim dan menindas. Sudahlah hidup susah, ditambah pula dengan penambahan bebanan hutang.
Kepada ALLAH jua kita memohon petunjuk dan hidayah.
Idris bin Sulaiman
Kajang
Pagi yang mendung…
9 Ramadan 1441H / 2 Mei 2020
Abu Omar Idris Sulaiman