|

SIBUK TANYA “DARI MANA? PERGI MANA?”

  • Adab Salaf al-Soleh

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Mujahid, katanya:

يُكْرَهُ ‌أَنْ ‌يُحِدَّ ‌الرَّجُلُ النَّظَرَ إِلَى أَخِيهِ أَوْ يُتْبِعَهُ بَصَرَهُ إِذَا قَامَ، أَوْ يَسْأَلَهُ مِنْ أَيْنَ جِئْتَ وَأَيْنَ ذَهَبْتَ.

“Makruh jika seseorang itu merenung orang lain, memerhatinya apabila dia bangun, bertanya kepadanya dari mana dan pergi mana?”

[al-Adab al-Mufrad, no. 771]

4 perkara yang dinyatakan di atas ialah:

  1. Tenung tepat-tepat pada orang lain dan memandang lama ke arahnya;
  2. Memerhati orang lain apabila dia bangun sehingga dia pergi;
  3. Bertanya “Dari mana?” dan
  4. “Pergi mana?”

4 perkara ini seharusnya dielakkan kerana ia menimbulkan rasa tidak selesa orang berkenaan.

Sedangkan seorang Muslim “Menyukai buat saudaranya apa yang dia suka buat dirinya sendiri.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Seperti mana tiada sesiapa yang suka orang lain tenung tepat-tepat dan memandang lama ke arahnya maka hendaklah dielakkan daripada berbuat hal sama kepada orang lain.

Begitu juga dengan perbuatan memerhati orang lain apabila dia bangun dan memandang tepat ke arahnya sehingga dia pergi.

Perbuatan seperti ini akan menimbulkan rasa tidak selesa orang berkenaan apabila dia mengetahui bahawa dirinya sedang diperhatikan.

Fikirannya akan jadi kacau dan curiga kerana memikirkan sebab mengapa dia diperhatikan begitu.

Demikian apabila bertemu dengan seseorang maka hendaklah dielakkan daripada bertanya “Dari mana?” “Pergi mana” dan seumpamanya kerana ia termasuk dalam hal-hal peribadi yang orang tidak suka jika ditanya.

Tambahan pula Muslim diperintahkan supaya tidak sibuk dalam urusan orang lain di samping meninggalkan hal-hal yang tiada kaitan dengannya.

Sabda Nabi ﷺ:

مِنْ حُسْنِ إِسْلامِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ.

“Di antara eloknya keislaman seseorang ialah apabila dia meninggalkan apa yang tidak berkait dengannya.”

[Hasan. Riwayat Tirmizi]

CATATAN

Sekalipun athar Mujahid di atas dikritik sanadnya lemah tetapi maknanya benar dan diketahui oleh semua.

‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Anak-anak kecil harus diajar adab-adab ini.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
12 Zulkaedah 1445H
21 Mei 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    KELAB KOMEDI YANG HINA

    – Mempermainkan agama, menghina Muslim – Syarat batasan bergurau Tular dalam media baru-baru ini sebuah kelab komedi yang mengadakan persembahan dengan menjemput pelawak-pelawak yang didapati antara lain menjadikan ajaran Islam dan Muslim sebagai bahan ketawanya. Ini tidak patut, umat Islam sewajarnya menjauhi tempat-tempat seperti ini manakala pihak berkuasa berhak untuk…

  • |

    BULU KUCING BUKAN NAJIS

    Tular di media sosial pandangan sesetengah pihak yang kata bulu kucing najis, justeru kucing seeloknya diletakkan di luar rumah agar bulunya tidak jatuh merata dan dapat solat dengan tenang tanpa waswas. Pertamanya, perlu ditegaskan bahawa pandangan di atas adalah salah dan bersifat ghuluw melampau. Sebetulnya kucing ialah binatang suci, bukan…

  • |

    ISLAM BUKAN AGAMA IKUT PEGANGAN MAJORITI

    Muslim disuruh ikut perintah Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ. Firman Allah ﷻ: وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَٱحۡذَرُواْۚ فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلۡبَلَٰغُ ٱلۡمُبِينُ “Dan taatlah kalian kepada Allah dan taatlah kalian kepada Rasul, dan awaslah, sesungguhnya jika kalian berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan…

  • |

    SEBAIK-BAIK UCAPAN TERIMA KASIH

    Sabda Nabi ﷺ: مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ: جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ ‌أَبْلَغَ ‌فِي ‌الثَّنَاءِ. “Barang siapa dilakukan padanya kebaikan lalu dia berkata kepada orang tersebut ‘Jazakallahu khaira (Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan) maka sesungguhnya dia telah memberikan sebaik-baik pujian.” [Sahih. Riwayat Tirmizi] Nabi ﷺ dalam hadis di atas…