RASIONAL

RASIONAL

Lihat di sekeliling anda, betapa sayupnya suara-suara yang mengajak kepada penyatuan dan perpaduan, suara-suara yang menyeru supaya jangan disemarakkan api kebencian dan perpecahan dalam kalangan masyarakat, kerana ia hanya akan menyebabkan kita menjadi lemah, tidak bermaya untuk terus mengharungi cabaran membangunkan negara dan memperkasakan umat.

Sebaliknya, dukacitanya hatta dalam kalangan Agamawan yang tak kurang ramainya, kita terus mendengar suara bergema-gema yang meniup api kebencian dan menyemarakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat dan umat.

Masing-masing dengan kelompok dan parti masing-masing. Kelompok aku benar, yang lain semua salah.

Apakah ini ajaran Agama??

Wallahi, tidak sama sekali.

Agama sangat menegah perpecahan dan perbalahan. Sebaliknya, Agama menyeru supaya kita sentiasa menjaga kesatuan dan perpaduan.

Justeru, tinggalkanlah penyeru-penyeru perpecahan dan kebencian yang bertopengkan Agama, kononnya untuk melawan kezaliman dan penindasan, amar makruf nahi mungkar. Merekalah yang sewajarnya diingkari.

Sesungguhnya mereka adalah antara dua:

1. Golongan yang jahil tentang hakikat ajaran Agama, yang terpalit dengan syubhat-syubhat;

atau

2. Golongan pengikut hawa nafsu yang terbawa-bawa dengan nafsu amarah, yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.

Kepada Allah jua kita memohon petunjuk dan taufik.