Magical old tree. Autumn forest in fog with sun rays

MINTA TOLONG DENGAN POKOK?

– Istianah (Meminta Pertolongan)
– Minta tolong dengan makhluk

Tular sebuah video di mana seorang ustaz berkata:

“Meminta tolong dengan makhluk itu dibolehkan asalkan kita beriktikad yang memberi ialah Allah (maka) boleh kita ‘istianah’ dengan pokok (dan) minta tolong dengan pokok.”

Tambah beliau:

“Tapi dengan syarat kamu yakin yang memberi ialah Allah, bukan pokok.”

Beliau kemudian menjelaskan bahawa meminta pertolongan dengan pokok perlulah dengan mengikut kesesuaian tabiat pokok itu dan jika seseorang itu mendatanginya dengan berkata “Wahai pokok tolonglah saya” maka ia syirik dan haram jika diyakini pokok itu seperti Allah ﷻ.

KRTIKAN

Ustaz ini jelas keliru manakala perkataannya seperti bercanggahan antara satu sama lain di mana pada mulanya beliau membolehkan ‘istianah’ dengan pokok tetapi beberapa saat kemudian melarangnya pula.

Pertamanya, perlu ditegaskan bahawa ‘istianah’ menjurus kepada makna ‘meminta pertolongan’.

Ia tidak hanya melibatkan kepercayaan malah turut melibatkan perbuatan ‘meminta’.

Maka pendekatan ustaz ini mengkategorikan perbuatan menggunakan kayu pokok untuk membina rumah sebagai ‘istianah’ paling kurangnya mengelirukan.

Keduanya, perbahasan tentang ‘istianah’ menjurus kepada meminta pertolongan dengan apa yang ada di alam ghaib dengan rasa rendah diri, bergantung dan berserah kepadanya.

Muslim diperintahkan supaya ‘istianah’ meminta pertolongan dengan Allah ﷻ semata-mata manakala ‘istianah’ dengan selainNya adalah syirik lagi kufur.

Firman Allah ﷻ:

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ.

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami meminta pertolongan.”

[Al-Quran, al-Fatihah, 1: 5]

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا اسْتَعَنْتَ ‌فَاسْتَعِنْ ‌بِاللَّهِ.

“Jika engkau meminta pertolongan maka mintalah dengan Allah.”

[Sahih. Riwayat Ahmad]

SYIRIK ORANG ARAB JAHILIAH

Alasan diharuskan istianah meminta tolong dengan makhluk dengan syarat yakin bahawa yang memberi ialah Allah ﷻ adalah batil dan tertolak.

Bukan sahaja ia menyalahi nas-nas yang telah dikemukakan di atas malah ia mirip perbuatan orang-orang Arab jahiliah yang menyembah berhala (termasuk pokok) dengan alasan bahawa:

مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِیُقَرِّبُونَاۤ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰۤ.

“Kami tidak menyembahnya (dengan meminta pertolongan daripadanya) melainkan supaya mereka (berhala-berhala itu) dapat mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.”

[Al-Quran, al-Zumar, 39: 3]

Sekalipun tujuan dan niat mereka ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ tetapi alasan dan keyakinan mereka itu tetap tidak diterima oleh Allah ﷻ lalu mereka telah diperangi oleh Rasulullah ﷺ kerana perbuatan syirik mereka itu.

HUKUM MEMINTA TOLONG DENGAN MAKHLUK

Terdapat beberapa keadaan:

1. Meminta pertolongan dengan manusia yang hidup dalam hal-hal yang mampu dilakukannya.

Jika melibatkan perkara-perkara yang harus apatah lagi yang dianjurkan maka ia dibolehkan dan disarankan manakala jika melibatkan perkara-perkara yang haram maka dilarang.

Contohnya memikul barang, membina masjid dan menjual arak.

Yang pertama harus, yang kedua digalakkan manakala yang ketiga haram.

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ.

“Dan hendaklah kamu tolong menolong membuat kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu bersekongkol dalam hal-hal dosa dan penindasan.”

[Al-Quran, al-Maidah, 5: 2]

2. Meminta pertolongan dengan manusia yang hidup dalam hal-hal yang tidak mampu dilakukannya.

Ia adalah sia-sia dan tidak wajar.

Contohnya meminta pertolongan dengan orang yang lemah untuk memikul sesuatu yang berat yang tidak mampu dipikulnya.

Ia adalah perbuatan yang tidak wajar.

3. Meminta pertolongan dengan manusia yang hidup atau yang sudah mati dalam sesuatu yang ghaib yang tidak mampu dicapai.

Ia adalah haram lagi syirik memandangkan ia merupakan perbuatan yang lahir daripada insan yang meyakini bahawa pihak yang diminta daripadanya itu mempunyai kuasa dan kelebihan tertentu di alam ini walhal segala kekuasaan dan kelebihan adalah milik Allah ﷻ jua, dan manusia diperintahkan supaya memintanya secara langsung daripada Allah ﷻ tanpa sebarang perantara.

Contohnya meminta pertolongan dengan manusia lain supaya diberi syafaat, dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan, keberkatan dan zuriat, dijauhkan daripada segala mudarat di samping mendapat keselamatan di akhirat.

Hanya Allah ﷻ yang layak dan berhak untuk diminta daripadaNya hal-hal yang seperti ini.

Ini kerana Allah ﷻ berfirman:

فَلَا تَدۡعُواْ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدٗا

“Maka janganlah kamu seru dan memanggil sesiapapun di samping Allah.”

[Al-Quran, al-Jinn, 72: 18]

Firman Allah ﷻ:

وَلَا تَدۡعُ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَ.

“ Dan janganlah engkau seru selain Allah apa yang tidak dapat mendatangkan manfaat ataupun mudarat kepadamu.”

[Al-Quran, Yunus, 10: 106]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Safar 1444H
16 September 2022

Similar Posts