black metal framed glass lamp
|

‘MAULA’ / ‘MAULANA’ – Sejauh mana kewajarannya

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna.

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya.

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya.

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan.

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah.

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11]

SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan.

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’.

Di bawah hadis:

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan.

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil.

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak.

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي

KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rabiulawal 1444H
16 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    ISU-ISU KHILAFIAH

    Kata seorang penceramah: “Benda khilaf kita diam sahaja, tidak perlu tegur kerana ia belum tentu mungkar.” Kenyataan di atas perlu disemak semula. Sikap toleransi dan berlapang dada dalam isu-isu khilafiah dianjurkan tetapi dalam masa yang sama budaya ilmu dan perbincangan ilmiah perlu disuburkan. Usaha mendekatkan masyarakat kepada Sunah Nabi ﷺ…

  • |

    SEMBAH CAPAL?

    Umat Islam diperintahkan untuk solat menghadap Kaabah di Mekah al-Mukarramah. Ia menjadi kiblat yang menyatukan umat Islam sedunia. Perkembangan semasa di tanah air menyaksikan sebahagian kelompok masyarakat Islam begitu taasub dengan simbol capal sehingga dilihat terlalu mengagung-agungkannya dan yang terbaru dalam sebuah gambar yang tular di media sosial kelihatan sebuah…

  • |

    BIDAAH

    Apa yang bukan ibadah pada zaman Rasulullah tidak mungkin jadi ibadah pada hari ini. Kerana agama sudah sempurna. Apa yang Nabi dan Sahabat tidak buat jangan buat. Dr. Idris bin SulaimanKajang29 Syawal 1445H08 Mei 2024https://idrissulaiman.com

  • BERPEGANG KEPADA NAS; CARA BERINTERAKSI DENGAN MAZHAB

    – Nas Al-Quran & hadis – Keempat-empat mazhab fiqah Setiap Muslim diwajibkan berpegang kepada nas-nas Al-Quran dan hadis serta mengikuti petunjuk kedua-duanya dalam segala urusan kehidupannya. Ini berdasarkan dalil-dalil nas yang begitu banyak sekali. Bagaimanakah pula dengan pendapat keempat-empat mazhab fiqah? Pendapat-pendapat mazhab boleh dibahagikan kepada tiga kategori: i. Apa…

  • MEMBETULKAN PERKATAAN YANG MENGELIRUKAN 2

    Penjarakan antara makmum dalam saf; memakai pelitup muka ketika solat berjemaah; dan membawa sejadah sendiri ke masjid. Norma Baharu ❌ Norma Sementara ✅ Nabi ﷺ bersabda: لا تكلم بكلام تعتذر منه “Jangan engkau berkata dengan perkataan yang engkau terpaksa meminta maaf (kemudian)”. Termasuklah perkataan-perkatan yang engkau terpaksa perbetulkan bagi mengelak…