| |

KUBUR atau MAKAM?

– Penggunaan istilah ‘makam’ bagi kubur
– Kesyirikan di ‘Makam’ Syeikh Ahmad al-Badawi, Mesir

Istilah makam berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kedudukan, martabat, tempat dan seumpamanya.

Dalam bahasa Melayu pula makam antaranya diertikan sebagai kubur orang yang dihormati seperti nabi, para wali, keluarga diraja dan sebagainya.

Menariknya, istilah makam ini turut digunakan dalam tasawuf merujuk kepada kedudukan istimewa yang dinikmati oleh ahli tasawuf melalui jalan-jalan tertentu seperti dengan sifat warak, zuhud, sabar, tawakal, reda dan yang lain.

Perlu ditegaskan di sini bahawa penggunaan istilah makam dengan erti kubur tiada didapati dalam mana-mana nas Al-Quran atau hadis Nabi ﷺ. Sebaliknya perkataan yang digunakan dalam kedua-duanya ialah kubur.

Contohnya sabda Nabi ﷺ:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ ‌زِيَارَةِ ‌الْقُبُورِ أَلَا فَزُورُوهَا، فَإِنَّهُ يُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ، وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا.

“Dahulu aku melarang kalian menziarahi KUBUR tetapi sekarang ziarahilah ia (kerana) sesungguhnya ia dapat melunakkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan tentang Hari Akhirat. (Akan tetapi) janganlah kalian berkata hal-hal yang buruk.”

[Sahih. Riwayat al-Hakim]

ISTILAH MAKAM BAGI KUBUR

Bagaimana pula dengan istilah makam dengan erti ‘kubur orang yang dihormati’?

Jika diamati penggunaan istilah makam di atas ia boleh membawa kepada dua kesimpulan; yang pertama sampingan manakala yang kedua kritikal.

Definisi ‘kubur orang yang dihormati’ bagi makam memberi konotasi bahawa terdapat di antara kubur-kubur orang Islam yang tidak dihormati malah majoriti kubur-kubur orang Islam akan dikategorikan begitu setelah dikecualikan kubur para nabi, wali dan keluarga diraja.

Kesimpulan sebegini jelas batil kerana setiap kubur Muslim wajib dihormati.

Dihormati dengan tidak melangkah ataupun duduk di atasnya di samping melepaskan kedua-dua alas kaki apabila memasuki kawasan perkuburan.

Ini sebagaimana dalam hadis Jabir r.a., katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ ‌يُجَصَّصَ ‌الْقَبْرُ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ.

“Rasulullah ﷺ melarang perbuatan menyimen kubur, membuat binaan ataupun duduk di atasnya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Dalam satu peristiwa Nabi ﷺ melihat seorang lelaki memasuki kawasan perkuburan dengan memakai sandal lalu baginda ﷺ bersabda:

يَا صَاحِبَ السِّبْتِيَّتَيْنِ، أَلْقِ ‌سِبْتِيَّتَيْكَ.

“Wahai orang yang memakai sandal, lepaskan kedua-dua sandalmu.”

[Sahih. Abu Daud]

Ini berkenaan kesimpulan yang pertama.

Kesimpulan yang kedua pula agak kritikal kerana jika dibandingkan antara maksud makam dalam bahasa Melayu dengan maksudnya dalam bahasa Arab maka ia memberi bayangan seolah-olah si mati telah mendapat ‘kedudukan dan martabat yang istimewa’ sesudah dia meninggal dunia khususnya jika kuburnya dibuat binaan, disimen, dicat dan diletakkan hiasan-hiasan seperti lampu-lampu, bunga-bunga, kain-kain permaidani dan sebagainya.

Perlu ditegaskan di sini bahawa amalan-amalan ini bukan sahaja menyalahi syarak dan membuka pintu khurafat malah boleh menjerumuskan orang ramai yang mendatangi kubur-kubur ini kepada kesyirikan.

Ironinya istilah ‘naik makam’ digunakan bagi orang yang hidup apabila dia mempunyai sifat-sifat seperti warak, zuhud, sabar, tawakal dan reda tetapi bagi sesetengah yang lain istilah makam diberi bagi merujuk kepada kubur mereka.

Dengan kata lain, sewaktu hidup orangnya belum ‘naik makam’ tetapi sejurus selepas mati dia mendapat kedudukan istimewa tersebut.

KESIMPULAN

Sebetulnya tidak ada istilah ‘makam’ bagi kubur.

Apatah lagi dengan adanya fahaman sebahagian kelompok yang mendakwa bahawa ada makam-makam kubur tertentu yang penghuninya boleh membantu orang hidup.

Fahaman ini sangat keliru dan menyalahi akidah Islam yang murni.

Apa yang benar ialah sebaliknya bahawa orang-orang yang mati itulah yang memerlukan bantuan orang-orang yang hidup bagi mendoakan kesejahteraan mereka.

Malah ini yang diperintahkan oleh syariat buat kaum Muslimin secara amnya [Al-Quran, al-Hasyr, 59:10] dan apabila menziarahi perkuburan Islam secara khasnya sebagaimana yang Nabi ﷺ ajarkan kepada para Sahabat supaya mengucapkan:

السَّلَامُ ‌عَلَيْكُمْ ‌أهلَ الدِّيَارِ مِنَ المُؤْمِنينَ وَالمُسلمينَ، وَإنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ للَاحِقونَ، أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ العَافِيَةَ.

“Keselamatan atas kamu semua wahai para penghuni kubur daripada kalangan Mukminin dan Muslimin. Kami dengan izin Allah akan mengikuti jejak kamu semua. Aku memohon daripada Allah kesejahteraan buat diriku dan kamu semua.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Justeru penggunaan istilah ‘makam’ bagi kubur sebaiknya dielakkan kerana tanpa sedar tersirat secara halus di sebaliknya khurafat yang boleh mengundang kesyirikan.

CATATAN

Video yang dilampirkan menunjukkan kesyirikan yang berlaku di ‘Makam’ Syeikh Ahmad al-Badawi, Mesir di mana seorang wanita Arab dalam keadaan teramat sedih dan tertekan berteriak “Sembuhkan anak aku wahai pemuka orang Arab (Syeikh Ahmad al-Badawi)!” lalu ditegur oleh seorang lelaki yang berkata kepadanya “Kata wahai Tuhan (bukan wahai pemuka Arab). Tuhan yang akan menyembuhkannya dan menyembuhkan sesiapa sahaja!”

Semoga Allah memelihara kita dan keluarga kita daripada kesyirikan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Muharam 1444H /
03 Ogos 2022

Similar Posts

  • KEPERCAYAAN MUSLIM

    Akidah kepercayaan Muslim bukanlah apa yang mengikut kehendaknya atau kehendak gurunya sebaliknya mengikut apa yang ditetapkan oleh Allah ﷻ, Rasulullah ﷺ dan ijmak kesepakatan Salaf generasi pendahulu umat Islam. Berdasarkan apa yang terdapat dalam Kitab Allah Al-Quran, hadis-hadis dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan yang lain, sebagaimana sabit dalam hadis-hadis…

  • | |

    PERISTIWA ISRAK MIKRAJ MENURUT AKIDAH ASYAIRAH

    Dalam khutbah Jumaat semalam, khatib menyebutkan tentang peristiwa Nabi ﷺ diisrak mikrajkan serta kaitannya dengan pensyariatan solat fardu lima waktu. Khatib menyebutkan tentang hadis sahih di mana Nabi Musa berkata kepada Nabi Muhammad ﷺ: “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan kepadaNya kerana umatmu tidak akan mampu melakukannya (solat fardu 50…

  • AKHLAK BAIK KUFFAR

    Akhlak baik dan budi bahasa tiada nilainya di sisi Allah ﷻ jika syirik. Firman Allah ﷻ: وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا. “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik) lalu Kami jadikan ia terbuang sebagai debu yang…

  • |

    SYRIK ORANG YANG DAKWA TAHU PERKARA GHAIB KERANA MENGAMBIL SIFAT TUHAN

    Hanya Allah ﷻ yang tahu perkara ghaib. Tiada sesiapa pun daripada kalangan manusia yang tahu perkara ghaib. Firman Allah ﷻ: قُل لَّا يَعۡلَمُ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ ٱلۡغَيۡبَ إِلَّا ٱللَّهُۚ وَمَا يَشۡعُرُونَ أَيَّانَ يُبۡعَثُونَ “Katakanlah: Tiada sesiapapun di langit-langit dan di bumi yang tahu perkara ghaib kecuali Allah!” [Al-Quran, al-Naml,…

  • |

    HALLOWEEN

    – Mata pelajaran darjah satu – Diayah musuh Islam Baru-baru ini tular di media sosial gambar-gambar segelintir warga Riyadh, Arab Saudi menyambut perayaan pagan Halloween. Ada sebahagian netizen menyindir dengan berkata “Wahabi mengharamkan sambutan Maulid tetapi menghalalkan Halloween pula.” Apakan daya, ibarat ‘Kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata…

  • | | |

    KUBURIYYUN

    Golongan penyembah kubur atas nama Islam. Dibuat binaan atas kubur kemudian kubur itu dijadikan sebagai tempat ibadah memuja si mati meminta tolong daripadanya atas nama tawassul dan syafaat. Inilah amalan syirik di kubur yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah sejak dahulu sampai hari ini. Dukacitanya sebahagian kaum Muslimin pun terjebak dalam…