“KITA PERLU HORMAT SEMUA PENDAPAT”?

“KITA PERLU HORMAT SEMUA PENDAPAT”?

# Antara kebenaran & kebatilan
# Antara ulama & kelompok sesat

Mungkin ada yang pernah mendengar ucapan seperti:

“Kita perlu menerima perbezaan dan menghormati pendapat lawan”,

“Semua berhak kepada pendapat masing-masing dan kita menghormatinya”,

“Kita hormat semua pendapat”,

dan seumpamanya.

Adakah ucapan-ucapan ini benar dan menepati Syariat?

Pertamanya, perkataan ‘hormat’ menurut Kamus bermaksud perbuatan menunjukkan rasa takzim atau memberi penghargaan kepada seseorang atau sesuatu.

Hakikatnya ucapan-ucapan ini paling tidaknya mengelirukan kerana ia seolah-olah memberi kebebasan kepada individu untuk menerima apa sahaja pendapat manakala kebenaran itu adalah subjektif dan boleh ditentukan mengikut penilaian setiap seorang individu.

Ini salah dan tidak benar.

Perlu ditegaskan bahawa kebenaran ialah apa yang menepati Syariat berdasarkan keterangan nas-nas Al-Quran dan hadis manakala apa yang menyalahinya adalah salah dan batil.

Maka pendapat yang menyalahi Syariat tidak boleh dihormati dengan erti disanjungi dan dipuji apatah lagi diterima dan dianggap benar.

Sebaliknya ia perlu ditolak dan diketepikan.

Seorang Muslim tiada pilihan kecuali menerima firman Allah ﷻ dan sabda RasulNya ﷺ serta menolak apa yang menyalahinya. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا.

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

[Al-Quran, al-Ahzab; 33-36]

Imam as-Syafii rahimahullah menegaskan:

وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib (diterima) dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau sunah RasulNya ﷺ dan bahawasanya apa yang selain daripada kedua-duanya kembali kepada kedua-duanya.”

[Jima’ al-Ilm oleh Imam ash-Syafii, hlm. 3]

Dengan kata lain, setiap pendapat perlu ditimbang mengikut neraca Syariat sebelum ia diterima dan dianggap benar.

Pendekatan ini tidak bermakna bahawa para ulama tidak dihormati.

Malah para ulama tetap perlu dihormati dan disanjungi tetapi pendapat-pendapat mereka perlu disaring bagi menentukan sama ada ia selari dengan Al-Quran dan hadis atau tidak.

Ini kerana kita menyedari hakikat bahawa tidak ada sesiapa yang maksum kecuali Rasulullah ﷺ.

Oleh itu Imam Malik rahimahullah, guru kepada Imam asy-Syafii menjelaskan:

إِنَّمَا ‌أَنَا ‌بَشَرٌ، أُخْطِئُ وَأُصِيبُ فَانْظُرُوا فِي رَأْيِي فَكُلَّمَا وَافَقَ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ فَخُذُوا بِهِ، وَكُلَّمَا لَمْ يُوَافِقِ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ، فَاتْرُكُوهُ.

“Sesungguhnya aku manusia biasa, boleh jadi kata-kataku benar dan boleh jadi salah. Lihatlah pendapatku dan ambillah mana yang menepati Al-Quran dan hadis manakala yang menyalahinya tinggalkan”

[Jamik Bayan al-Ilm oleh Ibnu Abdil Bar, 1/775]

Justeru menolak sesuatu pendapat kerana ia menyalahi nas tidak bermakna mencela orangnya lebih-lebih lagi para ulama.

Melainkan jika orangnya terdiri daripada kalangan kelompok sesat atau pengikut hawa nafsu maka layaklah untuk dia dikritik seperti mana yang dilakukan oleh para ulama hadis terhadap perawi-perawi yang ditolak dengan ungkapan pendusta, pemalsu, dajal, fasik, lemah hafalannya dan sebagainya.

CATATAN:

Kebenaran dan kebatilan perlu sentiasa dijelaskan dengan dibezakan antara pendapat yang benar dengan pendapat yang salah.

Demikian para ulama perlu sentiasa dihormati tetapi tanpa taasub.

Ungkapan ‘hormat semua pendapat’ adalah batil atau paling kurangnya mengelirukan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
1 Safar 1443H /
09 September 2021

Similar Posts

  • BERTENANG

    BERTENANG Semua pihak harus tampil membantu menenangkan keadaan. Memandangkan bahawa terdapat sebahagian daripada masyarakat yang panik apabila terus menerus membaca berita penularan wabak penyakit. Apatah lagi pihak-pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan. Ingat, di sebalik kegawatan ada sahaja yang mencari keuntungan. Suasana panik hanya akan mengeruhkan keadaan. Barangkali kesan panik akibat…

  • PEMANDANGAN MUSIM BUNGA SEBAHAGIAN NEGARA ARAB

    PEMANDANGAN MUSIM BUNGA SEBAHAGIAN NEGARA ARAB Firman Allah: وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ “Allah memberikan satu misal perbandingan: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari…

  • SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ

    Pegang as-Sunah Jauhi rekaan tokok tambah Sambutan malam Israk Mikraj pada malam 27 Rejab termasuk dalam perbuatan tokok tambah dan mengada-adakan rekaan amalan baharu dalam agama. Sambutan ini sama sekali tiada petunjuknya dalam Al-Quran, hadis ataupun amalan para Sahabat Nabi ﷺ. Ia bukan suatu tokok tambah ataupun rekaan amalan yang…

  • I Follow Jesus???

    “I Follow Jesus”??? . . . Adakah seorang Muslim boleh mengucapkan perkataan-perkataan seperti ini? . . . Sekiranya diamati, kita tidak akan dapat lari daripada membuat kesimpulan bahawa perkataan ini adalah salah, atau paling tidak, seeloknya dielakkan kerana ia mengelirukan. . . . Ini kerana dalam sebuah peristiwa ketika mana…

  • [ KEMASKINI DENGAN TERJEMAHAN BAHASA INGGERIS ]

    [ KEMASKINI DENGAN TERJEMAHAN BAHASA INGGERIS ] VIDEO PEMBUNUHAN JEMAAH MASJID NEW ZEALAND Firman Allah: وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit KETAKUTAN, kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan BERILAH KHABAR…