KISAH TUDUHAN DUSTA GOLONGAN MUNAFIK TERHADAP AISYAH ISTERI RASULULLAH ﷺ
– Peristiwa al-Ifk
Peristiwa al-Ifk ialah kisah mengenai tuduhan dusta golongan munafik terhadap Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq radiallahuanha, isteri Rasulullah ﷺ yang paling disayangi oleh baginda ﷺ.
Orang yang paling utama dilaknat dalam peristiwa ini ialah Abdullah bin Ubai, ketua orang-orang munafik yang telah mengada-adakan pendustaan itu sebelum menyebarkannya dalam kalangan penduduk Madinah sehingga sampai ke pengetahuan orang-orang Islam yang kemudian turut sama berbicara mengenainya sehingga ada yang mempercayainya.
Peristiwa ini berlarutan selama hampir sebulan sebelum Allah ﷻ menurunkan wahyu mengenainya dalam surah al-Nuur, ayat 11-20 bagi membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat tersebut.
Aisyah yang menceritakan sendiri peristiwa ini berkata:
“Rasulullah ﷺ sebelum keluar bermusafir akan membuat cabutan di antara para isterinya di mana orang yang namanya terpilih akan turut serta bermusafir bersamanya.
Maka dalam salah satu peperangan yang disertai oleh Rasulullah ﷺ satu cabutan telah diadakan antara kami lalu nama aku terpilih.
Aku pun turut serta bersama Rasulullah ﷺ keluar dalam misi peperangan tersebut di mana waktu itu perintah hijab telah pun turun.
Aku diletakkan dalam sebuah rengga (tempat duduk) di atas unta di mana apabila bala tentera Rasulullah ﷺ berhenti rengga itu akan diturunkan sementara aku tetap duduk di dalamnya.
Setelah selesai peperangan, Rasulullah ﷺ pun beransur pulang bersama bala tenteranya sehingga apabila sudah hampir tiba di Madinah, kami berhenti berehat di sebuah tempat. Ketika itu waktu malam. Aku memutuskan untuk keluar dari renggaku untuk urusan hajatku.
Aku mendapatkan sebuah tempat yang agak jauh dari tempat di mana para anggota tentera sedang berehat. Sesudah selesai hajatku, aku pun pulang ke renggaku.
Dalam perjalanan pulang aku menyedari bahawa loketku telah terputus dan tercicir. Aku pun pergi mencarinya. Tanpa aku sedar, ketika sedang leka mencari loket yang tercicir itu mereka yang ditugaskan mengangkat renggaku telah memasangnya semula di atas unta tungganganku tanpa menyedari bahawa aku tidak berada di dalamnya.
Waktu itu para wanita ringan-ringan belaka dan mereka tidak banyak berisi kerana hanya makan untuk alas perut sahaja.
Aku menemui loketku setelah mereka pergi. Apabila tiba di tempat mereka meninggalkanku aku mendapati tiada sesiapa pun yang ada di situ. Aku mendapatkan tempat terakhir di mana aku diturunkan kerana beranggapan bahawa sekiranya mereka menyedari ketiadaanku maka mereka akan pulang semula mencariku.
Ketika aku sedang duduk menanti tidak semena-mena aku terlelap kerana terlalu mengantuk.
Waktu itu Safwan bin Mu’attal al-Sulami ditugaskan menjaga bahagian belakang tentera (bagi mengelak serangan hendap musuh) dan beliau telah bergerak di akhir waktu malam sehingga apabila tiba waktu Subuh beliau sampai ke tempat di mana aku berada.
Setelah melihat bayangan objek hitam yang tampak seperti orang yang sedang tidur, beliau mendekatiku dan melihatku.
Beliau mengenaliku kerana sebelum turun perintah hijab beliau selalu melihatku. Aku terjaga apabila mendengar beliau mengucapkan istirja’ kerana melihatku. Aku segera menutup wajahku dengan jilbabku.
Demi Allah, beliau tidak berbicara denganku walau sepatah pun dan aku tidak mendengar daripadanya walaupun sepatah kata selain daripada ucapan istirja’ tersebut.
Beliau mendudukkan untanya dan aku pun menaikinya. Setelah itu beliau berjalan di hadapan memegang tali unta sehingga kami bertemu semula dengan pasukan tentera Islam yang ketika itu sedang berehat kerana cuaca panas waktu tengah hari.
Setelah itu telah binasa mereka yang binasa akibat peristiwa yang berlaku selepas itu sedangkan orang yang paling menjajakan dusta itu ialah Abdullah bin Ubai.
Sejurus tiba di Madinah aku jatuh sakit selama sebulan dan sepanjang tempoh tersebut orang ramai telah berbisik-bisik sesama mereka tentang pembohongan yang diada-adakan oleh para pendusta sedangkan aku pula tidak menyedari apa-apa yang mereka perkatakan mengenaiku.
Apa yang membuatku rasa sedih ialah apabila melihat Rasulullah ﷺ tidak bersifat mesra denganku seperti mana kebiasaannya jika aku sakit.
Sebaliknya apabila datang baginda ﷺ sekadar memberi salam dan berkata “Bagaimanakah keadaan kamu?”
Ini membuatku rasa sedih sedangkan aku tidak sedar akan kejahatan yang sedang berlaku sehinggalah apabila aku keluar dari rumah sesudah beransur pulih daripada sakit.
Aku keluar bersama Umm Musattah, ibu kepada Musattah bin Athathah pergi ke tempat di mana kami membuang hajat (di padang pasir).
Waktu itu kami tidak akan keluar membuang hajat melainkan pada waktu malam sebelum tempat membuang hajat diadakan berhampiran dengan rumah.
Dalam perjalanan pulang setelah selesai membuang hajat, tidak semena-mena kain Umm Musattah terjatuh lalu beliau berkata “Celaka Musattah!” Aku berkata kepadanya “Betapa buruknya apa yang kamu katakan! Bagaimanakah mungkin kamu mencela seorang lelaki yang telah menyertai Perang Badar?!” Umm Musattah membalas “Tidakkah engkau mendengar apa yang diucapkannya?” Aku bertanya “Apakah yang dikatakannya?” Umm Musattah pun menceritakan kisah yang sedang diperkatakan oleh para pendusta.
Mendengar penjelasannya itu tidak semena-mena badanku yang masih lemah terus bertambah lemah.
Sesudah aku pulang ke rumah, Rasulullah ﷺ datang memberi salam dan bertanya “Bagaimana keadaan kamu?” Aku mengatakan kepadanya “Adakah kamu mengizinkan aku pergi ke rumah ibu bapaku?” Aku ingin mendapatkan kepastian daripada mereka tentang berita yang baru sampai kepadaku.
Setelah diizinkan oleh baginda ﷺ aku pun pergi mendapatkan kedua-dua ibu bapaku. Aku mengatakan kepada ibuku “Wahai bonda, apakah yang sedang diperkatakan oleh orang ramai?” Ibuku menjawab “Wahai anak, demi Allah hampir sahaja tidak ada wanita yang cantik lagi menawan dan mempunyai suami berpoligami yang menyayanginya melainkan madu-madunya yang lain akan memberi tekanan ke atasnya.” Aku berkata “Subhanallah, adakah ini yang sedang diperkatakan oleh orang ramai?” Pada malam itu aku menangis sehingga air mataku kering dan aku tidak dapat tidur.
Dalam masa yang sama, Rasulullah ﷺ telah memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid sesudah baginda ﷺ mendapati bahawa wahyu sudah lama tidak turun. Baginda ﷺ menanyakan pendapat mereka tentang hasratnya untuk berpisah daripada para isterinya.
Kata Usamah “Mereka adalah para isterimu dan tiadalah apa yang kami tahu tentang mereka kecuali apa yang baik-baik belaka.” Ali bin Abi Talib pula berkata “Wahai Rasulullah, sungguh Allah tidak menyempitkan ke atasmu dan terdapat ramai wanita lain di mana sekiranya kamu bertanya kepada mereka nescaya mereka akan membenarkan hal ini.”
Rasulullah ﷺ kemudian memanggil Barirah binti Safuan dan berkata “Wahai Barirah, adakah engkau melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah?” Beliau menjawab “Demi Yang telah mengutus engkau dengan kebenaran, tiada apa yang aku lihat daripadanya yang membuatkan aku menggeleng kepala selain daripada umurnya yang masih muda di mana (dalam satu kejadian) ketika mengadun tepung dia terlelap sampai membiarkan ayam-ayam datang makan daripada adunan tepung itu.”
Setelah itu Rasulullah ﷺ bangun bertanyakan kepada orang ramai keuzuran yang mereka hendak berikan kepadanya untuk (mengambil tindakan ke atas) Abdullah bin Ubai.
Baginda ﷺ berdiri di atas mimbar dan berkata “Wahai kaum Muslimin, siapakah yang mahu memberi keuzuran kepadaku untuk seorang lelaki yang telah sampai kepadaku gangguannya terhadap orang rumahku. Demi Allah, aku tidak tahu mengenai isteriku melainkan apa yang baik-baik. Mereka juga menyebutkan tentang seorang lelaki (Safwan bin Mu’attal al-Sulami) yang aku tidak tahu mengenainya melainkan apa yang baik-baik. Dan tidaklah beliau masuk menghadap isteriku kecuali bersamaku.”
Mendengar ucapan itu Saad bin Muaz al-Ansari bangkit dan berkata “Aku memberikan keuzuran kepadamu wahai Rasulullah. Andainya dia terdiri daripada kalangan kaum suku Aus nescaya kami akan penggal kepalanya. Adapun sekiranya dia terdiri daripada kalangan saudara kami daripada kalangan suku Khazraj maka perintahkan sahaja kepada kami untuk kami melaksanakannya.”
Mendengar perkataannya itu Saad bin Ubadah, pemimpin suku Khazraj pula bangkit. Beliau seorang lelaki soleh tetapi semangat taasubnya telah menguasainya apabila beliau berkata kepada Saad bin Muaz “Demi Allah, engkau tidak akan dapat membunuhnya!”
Kemudian Asid bin Khadhir, anak saudara Saad bin Muaz bangkit dan berkata “Engkau telah silap! Demi Allah, kami akan bunuh dia! Sungguh engkau lelaki munafik dan engkau cuba mempertahankan orang-orang munafik.”
Maka berlakulah pertengkaran antara kedua-dua belah pihak sehingga mereka hampir berperang antara satu sama lain sedangkan Rasulullah ﷺ masih berdiri di atas mimbar. Baginda ﷺ segera menenteramkan keadaan. Sesudah mereka kembali tenang baginda pun diam.
Pada hari itu aku menangis sampai air mataku kering dan aku tidak dapat tidur. Kedua-dua ibu bapaku risau melihat keadaan diriku kerana khuatir tangisanku akan sampai membuatkan hatiku keluar terburai.
Ketika mana kedua-dua ibu bapaku sedang duduk bersamaku dalam keadaan aku menangis, seorang wanita Ansar datang meminta izin untuk masuk ke rumah. Setelah diizinkan dia pun datang duduk menangis bersamaku.
Ketika mana kami dalam keadaan begitu, Rasulullah ﷺ datang masuk memberi salam lalu duduk, namun baginda ﷺ tidak duduk dekat denganku. Baginda ﷺ memperlakukan aku sedemikian semenjak khabar dusta tersebut tersebar, dan waktu itu telah berlalu sebulan semenjak wahyu terakhir turun.
Sesudah duduk Rasulullah ﷺ bertasyahud dan berkata “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku tentangmu sekian-sekian, dan sekiranya engkau tidak bersalah maka sesungguhnya Allah akan membebaskan kamu daripada tuduhan ini. Adapun jika kamu ada melakukan kesalahan-kesalahan maka beristighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah kerana sesungguhnya seseorang hamba itu jika dia mengakui kesalahannya dan bertaubat maka sesungguhnya Allah akan mengampuninya.”
Ternyata apabila Rasulullah ﷺ selesai berkata sedemikian air mataku sudah pun kering dan tiada apa lagi yang menitis.
Aku berkata kepada bapaku (Abu Bakar al-Siddiq) “Balaslah bagi pihakku kepada Rasulullah ﷺ.” Bapaku berkata “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus aku ucapkan kepada Rasulullah.”
Walaupun waktu itu aku masih muda dan belum banyak menghafal ayat-ayat Al-Quran, aku berkata “Demi Allah, aku mengetahui bahawa sesungguhnya kamu telah mendengar khabar angin ini lalu ia telah menyusup masuk ke dalam hatimu dan kamu membenarkannya. Walhal sekiranya aku mengatakan bahawa aku tidak bersalah – dan Allah mengetahui bahawa aku sememangnya tidak bersalah – kamu tetap tidak akan mempercayai kata-kataku. Tetapi sekiranya aku mengakui akan sesuatu yang Allah tahu bahawa aku tidak melakukannya nescaya kamu akan mempercayainya. Justeru demi Allah, aku tidak mendapati mana-mana perumpamaan yang dapat menggambarkan keadaan diriku sekarang melainkan seperti mana yang diucapkan oleh bapa Yusuf alaihissalam:
فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ.
“Jika demikian aku bersabar dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah tempat meminta pertolongan terhadap apa yang kamu perkatakan itu.”
[Al-Quran, Yusuf, 12: 18]
Setelah itu aku berpaling dan berbaring di atas tilamku.
Demi Allah, aku mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan aku meyakini bahawa Allah ﷻ akan membebaskanku daripada tuduhan tersebut. Sekalipun demikian, aku tidak menyangka bahawa akan sampai turun wahyu mengenai diriku. Aku melihat bahawa permasalahan yang aku hadapi itu lebih remeh untuk Allah ﷻ berbicara mengenainya (dalam Al-Quran) dalam satu ayat yang dibaca (oleh manusia sampai akhir zaman). Aku hanya mengharapkan supaya Rasulullah ﷺ diberi wahyu melalui mimpi di mana Allah ﷻ membebaskan diriku.
Demi Allah, tidak lama kemudian sebelum Rasullah ﷺ beranjak dari tempat duduknya, dan sebelum ada sesiapa daripada kalangan kami yang sempat keluar dari rumah, Allah ﷻ menurunkan wahyuNya ke atas baginda ﷺ.
Baginda ﷺ menerima wahyu tersebut sepertimana kebiasaan baginda menerimanya dalam keadaan berat lagi susah sehingga peluh baginda ﷺ bagaikan berlian yang bercucuran walhal waktu itu musim sejuk.
Setelah selesai wahyu turun, tampak kegembiraan pada wajah baginda ﷺ dan perkataan pertama yang baginda ucapkan ialah “Bergembiralah wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah ﷻ telah membebaskan kamu.”
Mendengar kata-kata baginda ﷺ itu ibuku berkata kepadaku “Bangkitlah menghadap baginda.” Aku mengatakan “Demi Allah, aku tidak akan bangkit menghadapnya dan aku tidak akan bertahmid kecuali kepada Allah ﷻ Yang telah membebaskan aku daripada tuduhan itu.”
Lalu Allah ﷻ menurunkan firmanNya:
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ.
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu.”
[Al-Quran, al-Nuur, 24: 11]
Dan baki sepuluh ayat yang berikutnya.”
[Hadis Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Safar 1444H
02 September 2022