KEWAJIPAN DALAM BERAGAMA

KEWAJIPAN DALAM BERAGAMA

Seseorang itu antara tiga:

Orang Pertama:

ALIM ULAMA: Kewajipan atasnya adalah untuk ijtihad (berusaha) untuk sampai kepada dalil Al-Quran dan Hadis berdasarkan ilmu-ilmu alat yang dimiliki.

Orang Kedua:

PENUNTUT ILMU: Kewajipan atasnya untuk memahami permasalahan-permasalahan dengan dalil-dalilnya, lalu dinilai pendapat ulama mana yang paling kuat dan yang paling hampir dengan Al-Quran dan Hadis.

Orang Ketiga:

MASYARAKAT AWAM: Kewajipan mereka ialah untuk bertanya kepada alim ulama (golongan pertama) yang dilihat paling alim, dipercayai dan yang paling hampir dengan Al-Quran dan Hadis.

Demikian hasil perintah Allah dalam Firman-Nya:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan TAATLAH kamu kepada ALLAH dan RASUL-NYA , supaya kamu diberi rahmat.”

Surat Aal-Imran, 132

Keterangan Ayat:

KETAATAN kepada ALLAH dan RASUL itulah yang menjadi KEWAJIPAN & MATLAMAT setiap Muslim.

Bukan taat kepada selainnya; kepada si fulan atau si fulan.

2. Firman-Nya:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

“Jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya.”

Surah An-Nisa’, 59

Keterangan Ayat:

Umat Islam diperintahkan supaya kembali kepada Al-Quran dan Hadis sebagai cara menyelesaikan apa jua permasalahan yang timbul di antara mereka; baik hal Agama ataupun dunia.

Al-Quran dan Hadis itulah yang akan menyatu-padukan mereka.

Selagi mana Umat Islam menjadikan selainnya sebagai rujukan; kefahaman si fulan, aliran si fulan, peraturan dan ketetapan ini dan itu; maka selagi itu mereka tidak dikira menunaikan perintah Allah dalam ayat ini dan selagi itulah Umat Islam akan berselisihan.

3. Firman Allah:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Demi Tuhanmu! Mereka TIDAK disifatkan BERIMAN sehingga mereka menjadikan ENGKAU (wahai MUHAMMAD) sebagai HAKIM dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula TIDAK MERASA dalam diri mereka KEBERATAN terhadap apa yang telah engkau putuskan, dan mereka MENERIMA keputusan itu dengan SEPENUHNYA.”

Surat An-Nisa’, ayat 65

Keterangan Ayat:

Ayat ini menjadi ancaman buat mereka yang terus berdegil tidak mahu kembali kepada Sunnah Nabi, sebaliknya mahu terus menjadikan aliran masing-masing sebagai pegangan, sedangkan telah jelas kepadanya bahawa ia menyalahi Sunnah Nabi.

Mereka dikira sebagai orang yang tidak tulus imannya.

Maka seseorang Muslim haruslah sentiasa tunduk patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, reda dan melaksanakannya dengan sepenuhnya tanpa mengharapkan apa-apa yang lain sebagai ganti.

4. Dan Firman-Nya:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Oleh itu BERTANYALAH kamu kepada orang-orang yang BERPENGETAHUAN AGAMA jika kamu TIDAK MENGETAHUI.”

Surah An-Nahl, 43

Keterangan Ayat:

Orang yang tak tahu; masyarakat awam dan orang jahil; WAJIB BERTANYA kepada orang yang tahu, untuk sampai kepada Al-Quran dan Hadis dan mempraktikkan Agama mengikut Sunnah Nabi dan sejajar dengan kefahaman serta amalan para Sahabat Nabi.

Bagi yang tahu pula iaitu para Alim Ulama, ilmuan dan agamawan, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk MENJAWAB dan menerangkan kepada orang yang bertanya kemusykilan-kemusykilannya.

KESIMPULAN

Ringkasnya, bukanlah mazhab, aliran, tokoh ini atau itu yang menjadi persoalan atau ketetapan, sebaliknya segala usaha dan matlamat harus tertumpu kepada kembali kepada Al-Quran dan Hadis mengikut kefahaman para Sahabat Nabi, tak kira sama ada anda ilmuan, penuntut ilmu ataupun orang awam.

Barakallahu fikum.

– Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (hafidzahullah) –

Klik SHARE.

[ Info kuliah UIS, whatsapp Admin – www.wasap.my/60196647749 ]