open textbook, books and pencils on wooden table
| |

ILMU HAKIKAT, ILMU MAKRIFAT, ILMU BATIN, ILMU LADUNI

– Ilmu-ilmu tarekat sufi

Istilah-istilah ini banyak digunakan dalam kalangan sebahagian pengikut ajaran tarekat sufi.

Perlu ditegaskan bahawa kesemuanya tiada asasnya dalam Al-Quran mahupun al-Sunah.

Tidak ada dalam Islam apa yang dinamakan sebagai ilmu hakikat (ilmu makrifat) dan ilmu batin yang diada-adakan oleh sebahagian pengikut ajaran tarekat Sufi yang membahagikan ilmu agama kepada ilmu syariat (ilmu zahir) dan ilmu hakikat (ilmu batin).

Mereka mendakwa bahawa ilmu hakikat (ilmu makrifat) dan ilmu batin ini diperoleh daripada Allah ﷻ secara langsung melalui ungkapan mereka “Hatiku berbicara daripada Tuhanku.”

Kepercayaan dan ungkapan seperti ini merupakan kufur dan zandaqah (perbuatan orang munafik menzahirkan kepercayaannya yang sebenar).

Kata al-Ghazali:

مَنْ قَالَ إنَّ ‌الحَقِيقَة ‌تُخَالِف ‌الشَّرِيعَة أوْ البَاطِن يُنَاقِض الظَّاهِر فَهُوَ إلى الكُفْر أقْرَب مِنْهُ إلى الإيمَان.

“Barang siapa mengatakan bahawa (ilmu) hakikat berbeza dengan (ilmu) syariat atau (ilmu) batin menyalahi (ilmu) zahir maka orangnya lebih hampir dengan kekufuran berbanding iman.”

[Ihya Ulum al-Din, 1/100]

Tegas Ibnu Aqil:

كُلُّ مَنْ رَأى الحَقِيقَةَ في غَيْرِ الشَّرِيعَةِ فَمَخْدُوعٌ مَغْرُورٌ.

“Semua mereka yang berpandangan bahawa (ilmu) hakikat tidak ada dalam (ilmu) syariat maka dia orang yang tertipu dan terpedaya.”

[Talbis Iblis oleh Ibnu al-Jauzi, 1/395]

Demikian juga dengan ilmu Laduni.

Ilmu Laduni dikaitkan dengan kisah yang berlaku antara Nabi Musa dan al-Khidir yang Allah ﷻ ceritakan dalam surah al-Kahfi, ayat 60-82 di mana al-Khidir telah melakukan beberapa perkara yang luar biasa iaitu membocorkan kapal sehingga menenggelamkan penumpang-penumpangnya, membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa di samping mendirikan semula sebuah tembok yang hampir runtuh tanpa mengambil sebarang upah.

Perbuatan-perbuatan al-Khidir ini telah diingkari oleh Nabi Musa tetapi al-Khidir secara tegas menjelaskan “Dan aku tidak melakukannya menurut pilihanku sendiri.”

[Al-Quran, al-Kahfi, 18: 82]

Kenyataan al-Khidir di atas menunjukkan bahawa beliau sebetulnya juga seorang nabi yang tidak bertindak kecuali mengikut wahyu perintah Allah ﷻ.

Asal perkataan ‘Laduni’ diambil daripada firman Allah ﷻ:

وَعَلَّمۡنَٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمٗا.

“Dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.”

[Al-Quran, al-Kahfi, 18: 65]

Jika diamati, ilmu ‘Laduni’ yang dimaksudkan dalam ayat di atas merujuk kepada ilmu wahyu yang Allah ﷻ berikan kepada al-Khidir selaku seorang nabi.

Ini bermakna dakwaan adanya ilmu laduni yang dimiliki oleh manusia lain lebih-lebih lagi daripada kalangan umat Nabi Muhammad ﷺ adalah tidak berasas dan menyalahi erti kesyumulan dan keumuman syariat Islam yang dibawa oleh baginda ﷺ buat seluruh umatnya tanpa ada sesiapa yang dikecualikan daripada mengikutinya sampailah ke Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا.

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh umat manusia sebagai rasul pembawa berita gembira dan pemberi amaran.”

[Al-Quran, Saba’, 34: 28]

Sabda Nabi ﷺ:

وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً.

“Dan seseorang nabi itu diutus kepada kaumnya secara khusus sedangkan aku diutus kepada seluruh manusia.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Justeru barang siapa mendakwa terdapat ilmu agama selain daripada apa yang terkandung dalam Al-Quran dan al-Sunah, dan bahawasanya ada manusia lain sesudah Nabi Muhammad ﷺ yang turut menerima wahyu maka sesungguhnya dia telah kufur serta mendustakan apa yang telah dibawa oleh baginda ﷺ.

Sedangkan Allah ﷻ berfirman:

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٖ مِّن رِّجَالِكُمۡ وَلَٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِيِّنَ.

“Bukanlah Nabi Muhammad itu menjadi bapa yang sebenar bagi sesiapa daripada kalangan kamu, akan tetapi baginda ialah Rasul Allah dan penamat segala nabi.”

[Al-Quran, al-Ahzab, 33: 40}

Maksudnya Nabi ﷺ merupakan nabi terakhir dan tiada nabi sesudah baginda ﷺ.

Nabi ﷺ pula secara jelas menegaskan:

لَا ‌نَبِيَّ بَعْدِي.

“Tiada nabi selepasku.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dengan kata lain, wahyu sudah pun terhenti semenjak kewafatan Nabi Muhammad ﷺ.

Ini kerana hanya nabi dan rasul sahaja yang menerima wahyu.

Dakwaan adanya manusia selain nabi dan rasul menerima wahyu ialah pembohongan yang nyata.

Justeru tiada jalan keselamatan menuju syurga kecuali dengan berpegang kepada Al-Quran dan al-Sunah sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ رَسُولِهِ.

“Aku tinggalkan buat kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya; Al-Quran dan sunah RasulNya.”

[Hasan. Riwayat Imam Malik]

CATATAN

Kamus Dewan mendefinisikan ilmu laduni sebagai ilmu mengenal nama dan sifat Allah yang dianugerakanNya kepada hambaNya.

Ini benar jika yang dimaksudkan ialah Rasulullah ﷺ.

Jika yang dimaksudkan ialah selain baginda ﷺ maka itu batil.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Safar 1444H
13 September 2022

Similar Posts

  • SYARAT-SYARAT & HALANGAN-HALANGAN HUKUMAN KAFIR

    Kerana sabda Nabi ﷺ: رُفِعَ ‌الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحتَلِم وَعَنِ المجْنُونِ حَتَّى يَعْقِل. “Diangkat pena buat tiga golongan; orang yang tidur sehingga dia terjaga, anak kecil sehingga dia baligh dan orang gila sehingga dia berakal.” [Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 4403] Firman Allah…

  • |

    ASAS DAKWAH TAUHID

    – Esakan Allah / jauhi khurafat, syirik, taghut Asas akidah tauhid yang bebas daripada segala unsur khurafat dan syirik perlu menjadi pegangan setiap Muslim, dan berdasarkan asas inilah dakwah Islam perlu digiatkan sepertimana dakwah para rasul zaman berzaman. Firman Allah ﷻ: وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ…

  • |

    IDOLA IALAH SEMBAHAN

    Elakkan menggunakan perkataan idola apabila merujuk kepada orang yang sangat diminati dan dikagumi. Ini kerana asal maksud perkataan ini dalam bahasa Inggeris merujuk kepada apa yang dijadikan sebagai objek sembahan. Idol: A representation of an object of worship. Lihat contoh terjemahan ayat Al-Quran di bawah: قَالُوا۟ نَعۡبُدُ أَصۡنَامࣰا فَنَظَلُّ لَهَا…

  • |

    KULIAH SYEIKH ABDUL MUHSIN AL-ABBAD

      – Ulama besar Madinah Setelah sekian lama tidak mengadakan kuliah, ulama besar kontemporari Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad – hafizahullah – kembali semula mengadakan kajian beliau di Masjid Nabawi, Madinah mensyarahkan Kitab al-Tauhid. Dikatakan kuliah terakhir beliau 4 tahun dahulu. Syeikh sudah sangat uzur, menggunakan kerusi roda dan berumur hampir…

  • |

    KUBURIYYUN (2) – GOLONGAN PEMUJA KUBUR

    – Menghidupkan amalan jahiliah – Kubur ‘wathan’ Sebahagian kaum Muslimin hari ini keliru tentang erti makna akidah Islam yang benar yang menekankan tauhid serta mengesakan Allah ﷻ dalam segala amalan ibadah. Akibat kekeliruan ini mereka mendatangi kubur guru-guru mereka, wali-wali dan orang-orang soleh untuk mengadakan ritual-ritual tertentu dengan berzikir, berselawat…

  • |

    AHLI SUNAH WAL JAMAAH

    Pihak yang membawa dalil Al-Quran dan al-Sunah dicela dengan gelaran Wahabi. Pihak yang gemar membawa kisah-kisah karut dan berhujah dengan hadis-hadis lemah dan palsu pula dipanggil Ahli Sunah. Ini realiti pemikiran sebahagian pihak. Baru-baru ini pula penceramah jemputan mereka secara terang-terangan menolak dan mengetepikan hadis yang disepakati kesahihannya dalam kitab…