| | |

HARI RAYA IKUT NEGARA MASING-MASING

Islam menganjurkan umatnya supaya menjaga kesatuan dan dilarang berpecah.

Ini termasuklah dalam penentuan tarikh mula berpuasa Ramadan dan tarikh jatuhnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Dalam hadis Nabi ﷺ bersabda:

الصَّوْمُ ‌يَوْمَ ‌تَصُومُونَ، ‌وَالفِطْرُ ‌يَوْمَ ‌تُفْطِرُونَ

“Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kalian berpuasa dan Hari Raya Puasa adalah pada hari kalian berhari raya.”

[Sahih. Riwayat al-Tirmidzi]

Kata Imam al-Tirmidzi sesudah meriwayatkan hadis di atas:

وَفَسّرَ بَعْضُ أهْل العِلْم هَذَا الحَدِيث، فَقَالَ: إنَّما مَعْنَى هَذَا الصَّوْم وَالفِطْر مَعَ الجَمَاعَةِ وَعِظَم النَّاسِ.

“Sebahagian ulama mentafsirkan hadis ini dengan mengatakan bahawa maksudnya puasa dan hari raya hendaklah dilaksanakan secara bersama-sama dengan majoriti manusia.”

Kata Imam al-San’ani dalam Subul al-Salam:

فِيهِ دَلِيلٌ عَلى أنَّهُ يُعْتَبَر فِي ثُبُوت العِيدِ الموَافَقَة لِلَّنَاسِ، وَأن المتَفَرّد بمعْرِفَة يَوْم العِيد بِالرُّؤيَة يَجبُ عَلَيهِ مُوَافَقَة غَيْرِه وَيَلْزَمه حُكْمُهم فِي الصَّلاةِ وَالإفْطَار وَالأضْحِيَة.

“Terdapat dalamnya dalil bahawa penetapan hari raya hendaklah mengikut apa ditetapkan oleh orang ramai, dan bahawasanya individu yang mengetahui tentang jatuhnya hari raya berdasarkan rukyah perlulah mendapat persetujuan mereka yang lain di samping akur dengan keputusan mereka dalam penentuan solat, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.”

Kata Abu al-Hasan al-Sindi dalam Hasyiah Ibnu Majah:

وَالظَّاهِر أنّ مَعْنَاه أنّ هَذِه الأمُور لَيْسَ لِلآحَاد فِيهَا دَخْل، وَلَيْسَ لهَم التَّفَردِ فِيهَا، بَلْ الأمْرُ فِيهَا إلى الإمَامِ وَالجَمَاعَة، وَيجبُ عَلى الآحَادِ اتّبَاعهُم لِلإمَامِ وَالجَمَاعَة، وَعَلى هَذَا فَإذَا رَأى أحَدٌ الهِلال وَرَدّ الإمَامُ شَهَادَته يَنْبَغِي أن لا يَثْبت فِي حَقّه شَيْء مِن هَذِه الأمُورِ وَيجبُ عَلَيه أنْ يَتّبع الجَمَاعَةَ في ذَلكَ.

“Zahir maknanya ialah bahawa perkara-perkara seperti ini tidak ditentukan oleh orang-orang perseorangan dan bahawasanya mereka tidak boleh bertindak bersendirian di dalamnya. Sebaliknya ia ditentukan oleh pemerintah serta jemaah kaum Muslimin manakala orang-orang perseorangan perlu akur dengan ketetapan yang diputuskan oleh pemerintah serta jemaah kaum Muslimin. Justeru sekiranya seseorang itu melihat anak bulan tetapi kesaksiannya ditolak oleh pemerintah maka dalam keadaan tersebut dia tidak boleh bertindak mengikut kesaksiannya itu dan hendaklah dia turut bersama kaum Muslimin dalam hal tersebut.”

CATATAN

Sebahagian negara mungkin mendahului yang lain dalam menyambut hari raya. Tetapi umat Islam di setiap negara perlu akur dengan keputusan pemerintah di negara masing-masing. Usah ditambah perselisihan sedia ada antara negara-negara Islam dengan perselisihan antara masyarakat dalam sesebuah negara itu sendiri.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
30 Ramadan 1444H
21 April 2023

Similar Posts

  • | | | |

    DOA QUNUT WITIR

    Malam ini mula doa qunut solat witir. Muhasabah di pertengahan bulan Ramadan. Amalan-amalan kebaikan yang dilakukan perlu diteruskan manakala apa yang terlepas hendaklah segera dilaksanakan sebelum Ramadan berakhir. Ini kerana Nabi ﷺ bersabda: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ. “Sesungguhnya amalan-amalan itu dinilai pada pengakhirannya”. [Sahih. Riwayat Bukhari] Kegembiraan buat mereka yang amal…

  • | | |

    PERINTAH TUNDUK MATA

    Syariat Islam memerintahkan Muslim supaya menundukkan pandangan mata daripada melihat lawan jantina yang bukan mahramnya. Perintah ini bagi kedua-dua lelaki dan juga perempuan. Sebagaimana firman Allah ﷻ: قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ. “Katakanlah…

  • |

    LARANGAN PUASA SUNAT HARI SABTU

    Berikut hadis larangan puasa sunat pada hari Sabtu. Sabda Nabi ﷺ: لا تَصُومُوا يَوْمَ السَّبْتِ إِلَّا فِيمَا افْتُرِضَ عَلَيْكُمْ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا لِحَاءَ عِنَبَةٍ أَوْ عُودَ شَجَرَةٍ فَلْيَمْضُغْه. “Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali dalam apa yang difardukan atas kamu, dan sekiranya seseorang kamu hanya mendapati kulit…

  • | | |

    POTONG KUKU & RAMBUT: IKUT TEMPAT WAKIL SEMBELIH KORBAN

    Sesiapa yang mewakilkan sembelihan korbannya maka haiwan korbannya itu boleh disembelih selepas solat Hari Raya di mana wakilnya itu berada sekalipun tuan empunya korban mungkin berada di negara lain yang belum solat Hari Raya. Jika haiwan korbannya sudah disembelih maka dibolehkan untuknya memotong rambut dan kukunya. Dan selagi mana haiwan…

  • |

    ORANG TIDAK PUASA BOLEH SAMA PAHALA ORANG BERPUASA

    Kepada mereka yang tidak berpuasa pada awal sepuluh hari Zulhijah hendaklah memperbanyakkan syukur apabila makan dan minum. Kerana sabda Nabi ﷺ: إِنَّ ‌لِلطَّاعِمِ ‌الشَّاكِرِ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلَ الصَّائِمِ الصَّابِرِ. “Sungguh orang yang tidak berpuasa yang bersyukur apabila makan mendapat pahala seperti orang yang sabar berpuasa.” [Sahih. Riwayat al-Hakim] Muslim sentiasa…