| |

GERAKAN SURURI

– Fahaman ekstremis jihadi, Arab Saudi
– Antara sut tali leher Ikhwani & jubah Salafi

Gerakan Sururi atau Sururiyyah ialah sebuah gerakan yang telah dimulakan oleh Muhammad bin Surur Zainal Abidin (1938-2016), warganegara Syria.

Beliau seorang pensyarah universiti yang menyertai sayap jemaah Ikhwanul Muslimin di Syria sebelum memilih untuk keluar daripadanya kerana perbezaan pendapat dan hala tuju.

Setelah meninggalkan jemaah Ikhwanul Muslimin beliau berhijrah ke Arab Saudi pada awal tahun 70an untuk meneruskan kariernya sebagai pensyarah.

PERMULAAN GERAKAN SURURI

Setelah menetap di Arab Saudi dan menyesuaikan dirinya di sana beliau mula menyebarkan pemikirannya kepada anak-anak muda yang mengelilingi beliau.

Pemikiran beliau terus berkembang di sekolah-sekolah melalui program-program yang diadakan semasa musim panas di samping aktiviti-aktiviti di masjid dan pusat-pusat komuniti.

Menyaksikan perkembangan itu beliau kemudian menggunakan kesempatan untuk menyebarkan pemikiran al-sahwah (kebangkitan) melalui mimbar-mimbar Jumaat yang kesudahannya menyaksikan pemikiran ekstremis jihadi mula bertapak di Arab Saudi.

Pada pandangan beliau Arab Saudi telah mengabaikan kewajipan jihad fisabilillah dan ini dijadikan alasan mengharuskan kekerasan termasuk dalam mengimplementasikan hukum-hakam agama dalam isu halal haram di tengah-tengah masyarakat oleh individu orang perseorangan.

GABUNGAN PEMIKIRAN IKHWANI & SALAFI

Gerakan Sururi merupakan campuran antara pemikiran Ikhwani dan Salafi di mana pembawaan kedua-dua tokohnya iaitu Sayid Qutub dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiah digabungkan.

Pendekatan tegas Syeikhul Islam Ibnu Taimiah mempertahankan prinsip-prinsip agama diadaptasikan dengan pemikiran revolusi Sayid Qutub yang melaungkan slogan al-Hakimiah; tiada hukum yang diiktiraf kecuali hukum Allah ﷻ.

FOKUS GERAKAN SURURI

Gerakan Sururi menggunakan metode tradisional Salafi dalam kerangka meraih restu dan kepercayaan masyarakat agar menerima diayah yang dibawa sedangkan dalam waktu yang sama ia memanfaatkan sistem jaringan sulit subversif Ikhwanul Muslimin.

Permasalahan al-Hakimiah dijadikan topik utamanya bagi menuntut negara melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya terutamanya dalam bab jihad perang.

Penggerak-penggeraknya menzahirkan pegangan agama yang kuat dalam bentuk penampilan dan semangat Islam yang berkobar-kobar, mengagungkan nama Salaf al-Soleh bermula dengan para Sahabat Nabi ﷺ dan Tabiin sampailah ke para ulama mazhab empat serta penegasan terhadap prinsip wala’ dan bara’ berlepas diri daripada kaum kuffar dan musyrikin.

TOKOH-TOKOH SURURI

Syeikh Safar al-Hawali
Syeikh Salman al-Audah
Syeikh Nasir al-Umar
Syeikh Awadh al-Qarni
Syeikh Abdul Wahab al-Tariri
Syeikh Su’ud al-Fanisan
Syeikh Aidh al-Qarni

PERKEMBANGAN TERKINI

Rentetan kehancuran banyak negara Arab usai revolusi kebangkitan warganya pada awal tahun 2010 serta kesedaran masyarakat akan wajahnya yang sebenar, gerakan Sururi di Arab Saudi semakin melemah lebih-lebih lagi apabila tokoh besarnya Syeikh Aidh al-Qarni pada pertengahan tahun 2019 dalam sebuah rancangan televisyen nasional memohon maaf atas kekerasan-kekerasan yang telah berlaku atas nama al-sahwah (kebangkitan).

——————-

Ikhwan Muslimin: Fatwa al-Azhar

FATWA AL-AZHAR MELARANG MENGANGGOTAI IKHWAN MULIMIN: KUMPULAN PEROSAK

——————-

KESIMPULAN

Gerakan Sururi ialah sebuah gerakan yang membawa pemikiran Ikhwani tetapi dalam rupa baju Salafi.

Berbeza dengan rata-rata tokoh Ikhwani yang memakai sut, tali leher, isbal dan mencukur janggut, susuk rupa tokoh-tokoh Sururi sama seperti Salafi yang berjubah, berjanggut dan tidak isbal.

Sekiranya manhaj Ikhwani mengutamakan politik mendapatkan jawatan dan pangkat maka Sururi hala tujunya adalah sama cuma kenampakannya seperti berbeza.

Jika Ikhwani langsung tidak membahaskan permasalahan akidah dan tauhid maka Sururi menzahirkan keutamaannya terhadap ilmu agama dan perbahasan-perbahasan akidah di samping menggunakan buku-buku yang sama seperti Salafi seperti al-Tahawiah, al-Tadmuriah, Bulughul Maram, Umdatul Ahkam dan seumpamanya.

Sekalipun demikian, realitinya kenampakan ini hanyalah umpan kerana perbahasan akidah mereka hanyalah secara umum dan tidak pernah menyeluruh merangkumi perincian-perincian erti tauhid serta pembatal-pembatalnya.

Justeru antara bahaya gerakan Sururi ialah pemikiran revolusinya menghasut masyarakat membenci kerajaan dan berusaha untuk menjatuhkannya atas syubhah wajibnya menegakkan daulah Islamiah yang melaksanakan hukum-hukum syarak secara menyeluruh terutamanya dalam bab jihad melawan kuffar di samping memperkecilkan keutamaan tauhid, menganggapnya mudah dan senang dipelajari dalam tempoh masa yang singkat serta melontarkankan kenyataan-kenyataan merbahaya yang menyalahi inti dakwah para nabi dan rasul.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
08 Muharam 1444H /
06 Ogos 2022

Similar Posts