|

BILA SESUAI UCAP ‘WALLAHUAKLAM’

– Wallahulmuwaffiq
– Cara penggunaan dalam ayat

Wallahuaklam bermaksud ‘Dan Allah lebih tahu’.

Bila sesuai digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’?

Dalam dua keadaan:

1. Jika hendak mengatakan bahawa sesuatu yang telah disampaikan itu merupakan hasil ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah ﷻ.

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ di sini bertujuan untuk menegaskan bahawa apa yang telah disampaikan itu bukanlah daripada kehebatan diri sendiri tetapi hasil anugerah ilahi yang mana jika bukan kerana limpahan kurniaNya nescaya ia tidak akan dapat disampaikan.

2. Jika hendak menegaskan bahawa perincian dan huraian lanjut sesuatu permasalahan yang dibahaskan itu diserahkan pengetahuannya kepada Allah ﷻ.

Ini kerana ilmu berkenaan sesuatu permasalahan ada tingkatan-tingkatannya dari sudut pengetahuan manusia mengenainya dan juga dari sudut sama ada ia jelas ataupun samar.

Ada permasalahan yang bersifat ijtihad dan ada yang tidak, di samping ada permasalahan yang jelas dan ada juga yang samar.

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ bermaksud menyerahkan pengetahuan lengkap dan sempurna mengenainya kepada Allah ﷻ, Dia jualah yang Maha Mengetahuinya.

Ia biasanya melibatkan permasalahan-permasalahan ijtihad yang ada perselisihan pendapat dalam kalangan ahli ilmu.

WALLAHUALAM VS WALLAHULMUWAFFIQ

Sebahagian ulama membezakan antara pendekatan mengakhiri ayat dengan perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dan ‘Wallahuaklam’ dalam permasalahan-permasalahan ilmu.

‘Wallahulmuwaffiq’ bermaksud ‘Dan Allah jualah pemberi taufik’.

Perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan yang zahir lagi jelas manakala ‘Wallahuaklam’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan ijtihad yang sukar dan ada perselisihan.

Contoh ayat:

1. “Jumlah solat fardu lima waktu ialah lima, wallahulmuwaffiq.”

2. “Hukum solat witir ialah sunat, bukan wajib, wallahuaklam.”

Tidak seperti dalam contoh yang pertama, contoh yang kedua melibatkan permasalahan ijtihad yang ada khilaf antara para ulama maka lebih sesuai untuk digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’ di akhirnya.

Ini menunjukkan ketinggian ilmu para ulama dan ketelitian mereka dalam menggunakan perkataan-perkataan yang mana setiap perkataan itu barangkali mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri yang sebaiknya difahami dan diraikan oleh pembaca.

Wallahulmuwaffiq.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Rabiulawal 1444H
08 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    MAKAN GUNA SUDU

    Makan guna sudu hukumnya harus tetapi jangan sampai rasa bangga menganggapnya lebih bagus, ‘beretika’ dan ‘bersih’ berbanding makan guna tangan. Perlu ditegaskan bahawa makan guna tangan termasuk dalam sunah Nabi ﷺ. Kata Kaab bin Malik: رَأَيْتُ رسولَ اللَّه ﷺ يَأْكُلُ بِثلاثِ أَصابِعَ فَإِذا فَرغَ لَعِقَها. “Aku melihat Rasulullah ﷺ makan…

  • |

    SYAITAN SURUH CERAI

    Peningkatan trend perceraian bagi pasangan Islam saban tahun dilihat semakin membimbangkan. Demikian laporan akhbar baru-baru ini berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Dalam membicarakan soal talak cerai, Nabi ﷺ bersabda: إِنَّ ‌إِبْلِيسَ ‌يَضَعُ ‌عَرْشَهُ ‌عَلَى ‌المَاء ثمَّ يبْعَث سراياه فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ فَعَلَتُ كَذَا وَكَذَا…

  • SANGGAHAN KE ATAS USTAZ IQBAL ZAIN

    – Kedudukan hadis daif di sisi ulama – Berdusta atas nama Nabi ﷺ Ustaz Iqbal Zain – hadahullah – dalam beberapa hantarannya baru-baru ini berkata: “Para Muhaddithin telah bersepakat bahawa hadith da’if adalah untuk diamalkan bukan untuk ditinggalkan.” https://www.facebook.com/UstazIqbalZain/posts/505231671269541 “Para Ulama Muhaddithin membenarkan hadith-hadith da’if disampaikan kepada masyarakat.” https://www.facebook.com/UstazIqbalZain/posts/507130117746363 Kenyataan-kenyataan…

  • |

    UCAPAN KUFUR: ANAK-ANAK TAK MINTA DILAHIRKAN

    “Anak-anak tak minta dilahirkan. Ibu dan ayahlah yang memilih untuk melahirkan mereka. Jadi jangan nak ungkit tentang penat lelah mengandung dan sakit payah melahirkan.” Demikian kenyataan tular di media sosial daripada sebahagian pihak yang meluahkan perasaan tentang masalah keluarga yang dihadapi. Perlu ditegaskan bahawa perkataan sebegini tidak wajar kerana bertentangan…

  • |

    KEBIJAKSANAAN

    Kebijaksanaan ialah: “Melakukan apa yang sepatutnya, mengikut cara yang sepatutnya serta pada waktu yang sepatutnya.” [Ibnu al-Qayyim, Madarij al-Salikin] Ibnu Uthaimin menambah: “Dan di tempat yang sepatutnya.” [Syarah al-Aqidah al-Saffariniyyah] Firman Allah ﷻ: ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ. “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan.” [Al-Quran, al-Nahl, 16: 125] Kata…