|

BEZA ULAMA, MUFTI & KADI

BEZA ULAMA, MUFTI & KADI

Fatwa bukan sekadar memberi jawapan kepada si penanya tetapi dengan meraikan keadaan si penanya dan menetapkan hukum syariat yang sesuai dengan situasi yang dihadapinya.

Ini bermakna penjelasan ulama berbeza dengan ketetapan mufti.

Kadi pula adalah pihak yang diberikan kuasa oleh pemerintah untuk melaksanakan hukuman serta menjatuhkannya ke atas individu yang berkenaan.

Oleh itu autoriti yang ada pada kadi tidak ada pada mufti ataupun ulama.

CONTOH:

Ulama menjelaskan tentang jenis-jenis talak; talak sunni dan talak bid’i, bilamasa ia jatuh dan bilamasa ia tidak, perselisihan pendapat para ulama serta dalil-dalil setiap pendapat.

Mufti yang ditanya tentang talak akan bertanya tentang keadaan bilamana lafaz talak diucapkan, keadaan isteri waktu itu, lafaz yang diucapkan dan hal-hal yang boleh memberi kesan kepada talak. Setelah itu dia akan menetapkan sama ada talak telah jatuh atau tidak.

Kadi pula akan melihat sekiranya dikatakan bahawa si suami yang melafazkan talak berada dalam keadaan yang teramat marah sehingga tidak sedar akan apa yang diucapkannya. Kadi akan meminta saksi jika ada, jika tiada saksi maka dia akan meminta supaya si suami bersumpah bahawa dia melafazkan talak dalam keadaan tidak sedar diri kerana terlalu marah. Sesudah itu kadi akan melihat keadaan si isteri pula. Setelah kadi berpuas hati maka dia akan memutuskan sama ada telah jatuh talak atau tidak. Jika sudah jatuh talak maka kadi akan mengarahkan supaya dipisahkan antara pasangan terbabit.

KESIMPULAN

Ulama menjelaskan permasalahan.

Mufti menetapkan sama ada permasalahan berkenaan menepati keadaan si penanya.

Kadi menjatuhkan hukuman dalam permasalahan itu ke atas individu yang terbabit.

CATATAN

Sering sahaja timbul kekeliruan tentang perbezaan-perbezaan ini.

Orang awam tidak boleh mengambil fatwa bagi sesuatu permasalahan yang dihadapinya dari kitab semata-mata atau apa sahaja yang didengarinya atau dilihatnya. Sebaliknya hendaklah dia bertanya kepada ulama yang bersedia untuk berfatwa kepadanya mengikut situasi yang dihadapinya.

Sesebuah fatwa pula tidak boleh dijadikan sebagai satu ketetapan umum untuk semua keadaan memandangkan ia adalah jawapan yang meraikan keadaan si penanya serta situasi khusus yang dihadapinya.

Justeru penting untuk dibezakan antara ketiga-tiga ulama, mufti dan kadi, jangan dicampur adukkan antaranya kerana masing-masing ada kedudukannya yang tersendiri.

Idris bin Sulaiman
Kajang
25 Rabiulawal 1443H /
01 November 2021

Similar Posts

  • |

    Kotak Capal

    Kotak Capal # Pentaksub Capal # Kotak pun jangan dibuang Lihat bagaimana isu capal ini terus berkembang dan terus bertambah sulit. Bermula dengan simbol capal dikeramatkan dan yang terkini kotak produknya pun hendak dijadikan begitu. Tidak hairan sekiranya hal-hal seperti ini lebih disukai syaitan berbanding maksiat-maksiat yang jelas. Kebiasaannya maksiat…

  • |

    LARANGAN PERCAYA & MEMINTA TOLONG JIN SYAITAN

    Muslim ditegah daripada bertanya kepada jin dan syaitan, meminta tolong daripada mereka bagi mengetahui apa penyakit yang dihadapi, cara merawatnya dan sebagainya. Meminta tolong jin dan syaitan adalah haram, boleh menjebakkan orangnya dalam syirik. Firman Allah ﷻ: وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٞ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٖ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقٗا “Dan bahawanya…

  • |

    PENGHARGAAN

    Tiga tahun lalu pihak TheNoor telah meminta supaya saya sediakan audio bacaan hadis-hadis buku Hadis 40 karangan Imam al-Nawawi dalam bahasa Arab, Melayu dan Inggeris. Alhamdulillah kini buku syarahnya pula telah berjaya diterbitkan sebagai pelengkap buat audio bacaan hadis-hadis ini. Sambil mendengar bacaan hadisnya melalui aplikasi TheNoor pengguna boleh melihat…

  • |

    BAHANA TAKSUB

    Dakwah Salaf mengajak umat Islam supaya kembali menghayati kedua-dua al-Qurandan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat dan Salaf al-Soleh. Inilah ajaran Islam sebenar yang suci lagi murni. Para ulama muktabar memang perlu dihormati dan dimuliakan, tetapi tanpa taksub. Sedangkan erti taksub termasuklah dengan memaksakan umat Islam supaya mengikut fahaman tokoh ulama…