BACALAH SEBELUM MEMBERI KOMEN
BACALAH SEBELUM MEMBERI KOMEN
.
Oleh Ustaz Idris bin Sulaiman
.
.
Pelbagai reaksi yang kami peroleh semenjak buku Pilihan Raya Malaysia keluar di pasaran. Ramai yang memuji dan memberikan penghargaan tentang betapa buku ini telah merungkai banyak persoalan dan kemusykilan mereka selama ini. Dalam masa yang sama, terdapat juga sejumlah mereka yang mengkritik termasuk dalam kalangan ilmuwan Agama.
.
Terlebih dahulu, ingin ditegaskan bahawa kami sememangnya mengalu-alukan sebarang kritikan dan bantahan terhadap buku kami Pilihan Raya Malaysia.
.
Sebagai seorang Muslim, semestinya kebenaran itulah yang kami cari dan yang menjadi matlamat kami. Sekiranya terdapat sebarang kesalahan dan kekhilafan dalam buku kami, kami akan segera perbetulkan, insyaAllah. Kerana itu kami perlukan teguran dan nasihat daripada para pembaca.
.
Cuma di sini, kami agak terkilan apabila melihat rata-rata mereka yang memilih untuk mengkritik buku ini, apabila ditanya, mereka mengakui bahawa mereka BELUM MEMBACANYA.
.
Kerana itu, sehingga ke hari ini, setelah sebulan buku ini keluar di pasaran, kritikan-kritikan yang diberikan banyak bersifat umum, tidak bersifat objektif, dan secara amnya tidak bersifat membina. Ia lebih bersifat sindiran, perlecehan, menimbulkan andaian-andaian yang tidak dibahaskan dalam buku, menyerang penulis-penulisnya sebagai pendusta, taasub, ahli bidaah, Murjiah, hizbi, melakukan jenayah ilmiah dan sebagainya.
.
Tambah mendukacitakan, terdapat ilmuwan-ilmuwan yang turut memilih cara kritikan seperti ini, termasuklah memuatkan kritikan-kritikan ‘potshots’ atau rambang yang lebih menimbulkan persoalan daripada memberikan jawapan.
.
Bak kata pepatah, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
.
Itulah yang berlaku. Kami melihat sikap sebahagian ilmuwan telah memberikan satu contoh teladan yang tidak baik buat para penuntut ilmu; apatah orang-orang awam yang turut sama mahu dilihat sebagai pengkritik buku.
.
Maka tidak hairan apabila seorang mereka memuat status dalam laman sosialnya mengatakan:
.
“Buku ini mendapat kritikan yg hebat dari pelbagai lapisan pengamal, penuntut dan pendakwah yg berManhaj Salafussoleh di Malaysia. Antara kritikan yg paling tepat dari Asatizah Senior Manhaj Salafussoleh di Malaysia adalah:
.
“TULISAN DALAM BUKU INI GHULUW, BUKU SAMPAH & KENA BELAJAR LAGI”
.
Wallahu alam.” (Tamat kata-katanya)
.
Jika diamati, kenyataan di atas mengandungi banyak dakwaan-dakwaan yang dikemukakan oleh sang penulisnya. Semestinya, secara prinsipnya, setiap satu dakwaan tersebut perlu diperhalusi dan dinilai kesahihannya berdasarkan bukti atau dalil yang dikemukakan.
.
Sebagai salah seorang penulis buku ini, atas dasar tabayyun, saya telah menghubungi penulis status di atas menanyakan tentang dakwaannya. Sekalipun pada awalnya dia seperti mengelak tetapi akhirnya dia mengakui bahawa status ini ditulis kerana “ada orang suruh buat.”
.
Apa yang saya faham daripada jawapannya ini ialah bahawa dia tidak mempunyai apa-apa bukti untuk dikemukakan kerana dia hanya melaksanakan apa yang disuruh ke atasnya.
.
Saya turut meminta kepastian tentang kenyataannya, ‘TULISAN DALAM BUKU INI GHULUW, BUKU SAMPAH & KENA BELAJAR LAGI’ , adakah ia benar-benar daripada Al-Fadhil Al-Ustaz Dr. Radzi bin Othman, bekas pensyarah USM, Penang? Dia mengatakan, ya.
.
Sekali lagi, atas dasar tabayyun, saya menghubungi pula Al-Fadhil Al-Ustaz menanyakan tentangnya. Ternyata beliau menafikannya. Alhamdulillah.
.
Rentetan status Facebook ini dan setelah saya maklumkan tentang penafian Al-Fadhil Al-Ustaz, melihat reaksi sebahagian kelompok, terdapat sebahagian yang memilih untuk terus mengkritik, sedangkan pada hakikatnya kritikan lebih tertuju kepada mereka atas beberapa sebab, iaitu:
.
1. Pihak yang MENDAKWA perlu MENGEMUKAKAN BUKTI, bukan orang yang didakwa;
.
2. Dakwaan TIDAK BOLEH DITERIMA jika tidak ada bukti yang menyokong;
.
3. Setelah terbukti BERBOHONG, apa yang sepatutnya dilakukan oleh si pendakwa ialah meminta maaf dan bertaubat kepada Allah;
.
4. Jika masih sangsi atau ada kemusykilan, pihak yang menginginkan kepastian hendaklah merujuk terus kepada sumber asal untuk tabayyun, sama ada penulis status berkenaan (Orang yang Mendakwa), atau Al-Fadhil Al-Ustaz (Orang yang berkenaan).
.
Saya melihat, kejadian-kejadian seperti ini wajar dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua supaya tidak bersifat melulu menerima khabar berita lalu mudah membuat andaian serta melemparkan tohmahan. Para penuntut ilmu WAJIB mengambil perhatian.
.
Sebagai seorang Muslim, kita meyakini bahawa segala apa yang kita lakukan, apa yang kita ucapkan, bahkan apa yang kita ‘like’ atau apa yang kita ‘share’ di media sosial akan dipersoalkan ke atas kita di akhirat kelak. Mengapa kita melakukannya, sebab dan tujuan, semuanya akan dipersoalkan ke atas kita. Adakah kita mampu menjawabnya?
.
Saya khuatir, ramai yang tidak faham dan mengambil mudah akan perkara ini kerana menganggap bahawa ia ‘tak ada apa-apa’ atau ‘saja-saja’. Jangan begitu saudara.
.
Allah berfirman, “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia.” [Surah Qaf, ayat 18]
.
PERBAHASAN ILMIAH
.
Saya sedar bahawa isu-isu politik dalam negara sejak sekian lama, sering dilihat daripada kaca mata taasub kepartian, taklid buta dan mengikut acuan demokrasi Barat kafir.
.
Ini antara sebab utama mengapa kami mengarang buku Pilihan Raya Malaysia. Kami ingin mengajak masyarakat Islam dalam negara untuk melihat isu-isu politik negara dari sudut dalil-dalil Agama; Al-Quran dan As-Sunah.
.
Ini kerana Allah berfirman, “Jika kamu berselisih dalam apa jua perkara, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (As-Sunah).” [Surah An-Nisaa’, 59]
.
Subhanallah. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Firman di atas Allah kemukakan sejurus selepas firmanNya,
.
“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta Ulil Amri daripada kalangan kamu.” [Surah An-Nisaa’, 59]
.
Ayat di atas seolah-olah mahu mengingatkan Umat Islam supaya jangan berpaling daripada panduan Agama lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan politik dan pemerintahan negara. Sekalipun ia berkait dengan urusan dunia, tetapi ketetapan-ketetapan Agama tetap perlu dipatuhi.
.
Dukacitanya, tambah menjengkelkan, ada yang berpandangan bahawa kami ingin menaikkan parti tertentu dan seumpamanya sehingga melemparkan label ‘hizbi’.
.
Apa yang mereka gagal faham ialah bahawa antara apa yang dibahaskan dalam buku Pilihan Raya Malaysia ialah tentang soal siapa pemerintah negara. Kami membuat kesimpulan bahawa Perdana Menteri ialah antara pemerintah tertinggi negara. Oleh itu, maka segala nas-nas Agama tentang kewajipan taat kepada pemerintah serta mempertahankannya, di samping larangan melawan dan menjatuhkannya adalah tertuju kepadanya selaku Perdana Menteri @ ketua kerajaan Malaysia.
.
Pihak yang ingin menafikan dakwaan ini perlu mengemukakan hujah mereka. Kami telah pun mengemukakan hujah kami.
.
ADAKAH PEMBANGKANG KHAWARIJ?
.
Sekali lagi kami tegaskan bahawa isu ini secara spesifik, kami TIDAK MEMBAHASKANNYA dalam buku kami Pilihan Raya Malaysia.
.
Ini kerana ia adalah isu sampingan berbanding isu yang kami cuba ketengahkan iaitu soal perpaduan Umat dan keamanan negara. Tambah lagi, seperti yang kami jangka, ia hanya akan menimbulkan polemik yang tiada kesudahan.
.
Cuma dalam buku Pilihan Raya Malaysia, kami ada memuatkan bab bertajuk ‘Golongan Penentang Pemerintah’ yang membahaskan secara umum definisi, pendirian dan pegangan Khawarij, siapa itu Khawarij Qaidiyyah, sejarah kemunculan, pemimpin-pemimpin serta pendirian ulama terhadap Khawarij. Kami turut membawakan penjelasan para ulama kontemporari tentang apakah itu ciri-ciri Khawarij.
.
Kembali kepada persoalan di atas, adakah pembangkang Khawarij? Saya lontarkan soalan ini kembali kepada yang bertanya. Seperti mana mereka yang menetapkan perlu mengemukakan bukti, demikian juga mereka yang menafikannya juga perlu mengemukakan bukti. Masing-masing perlu mengemukakan bukti masing-masing. Ini yang dinamakan sebagai perbahasan ilmiah.
.
Bagi kami, kami mahu fokus kepada isi kandungan buku Pilihan Raya Malaysia kerana ia tertumpu kepada menjelaskan tentang prinsip-prinsip serta perkara-perkara asas yang perlu difahami dan dikuasai oleh mereka yang mahu membahaskan tentang politik negara secara amnya serta persoalan tentang Khawarij dalam negara secara khasnya.
.
MEDIA SOSIAL MEDAN FITNAH
.
Saya berbesar hati untuk mengingatkan semua pihak supaya menjaga tutur kata lebih-lebih lagi apabila membahaskan tentang topik-topik sensitif seperti politik dan juga topik-topik yang melibatkan hukum-hakam Agama.
.
Usah berbicara dengan emosi dan perasaan. Keburukannya akan kembali kepada kita. Jika kita ada sesuatu yang berfaedah, suatu ilmu atau nasihat, kita sampaikan. Jika tidak, maka jalan selamatnya ialah berdiam.
.
Sebagaimana sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam, “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau DIAM.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
.
Buat para ilmuwan, wajarlah kita memberi contoh kepada pelajar dan masyarakat untuk berbicara dengan cara yang baik, tidak mengungkapkan kata-kata yang bersifat menghina, menghukum tanpa dasar, berbicara dengan emosi, bersikap melulu dalam membuat kenyataan, dan paling penting, jika berbahas, berbahaslah secara profesional, bersikap ilmiah dan berilah penjelasan lengkap dan tuntas.
.
Jangan hanya memuatkan satu status di media sosial, satu tajuk atau serangkap ayat, lalu anda mengharapkan pembaca akan dapat faham apa yang ada dalam kotak fikiran anda. Lebih-lebih lagi isu-isu sensitif dan besar seperti politik dan pilihan raya yang semestinya akan mengundang pelbagai reaksi dan fahaman.
.
BUKU DALAM BENTUK PDF
.
Atas dasar tanggungjawab serta menyebarkan ilmu dengan seluas mungkin, di samping memudahkan para penuntut ilmu dan masyarakat mendapat maklumat dan penjelasan, kami akan sediakan buku Pilihan Raya Malaysia dalam bentuk PDF dalam masa yang terdekat secara PERCUMA insyaAllah. Anda akan boleh memuat turunnya dari laman web:
.
.
Nantikan pengumuman tentangnya.
.
Kepada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah.
.
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
.
Ditulis oleh:
.
Idris bin Sulaiman
Kajang
Sebelum Asar
1 Syaaban 1439H / 17 April 2018