AWWALUDDIN MAKRIFATULLAH?
AWWALUDDIN MAKRIFATULLAH?
Tauhid ialah mengESAkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi syirik.
Ia adalah perkara pertama yang perlu diucapkan oleh seorang Muslim dan yang terakhir sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Nabi ﷺ bersabda,
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ الله
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahwa TIDAK ADA SEMBAHAN MELAINKAN ALLAH dan bahwa Muhammad adalah Rasulullah.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dalam Hadis Muadz bin Jabal radhiallahu anhu, Nabi berpesan kepadanya sebelum mengutusnya ke Negeri Yaman:
إِنَّكَ تَأْتِى قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّى رَسُولُ اللَّهِ
“Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum Ahli Kitab, maka serulah mereka untuk bersaksi bahwa TIDAK ADA SEMBAHAN MELAINKAN ALLAH, dan bahawa aku adalah utusan Allah (Rasulullah).”
[Riwayat Muslim]
Terdapat juga hadis Rasulullah ﷺ:
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلاَمِهِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Barangsiapa ucapan terakhirnya ialah “la ilaha illallah” maka dia masuk Syurga.”
[Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani]
Dapat kita lihat daripada hadis-hadis di atas, Nabi Muhammad ﷺ jelas menekankan perkara TAUHID iaitu Kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله (La ilaha illallah) dan bahwasanya inilah PERKARA WAJIB PERTAMA atas seseorang itu sekiranya dia hendak memeluk Islam.
Kalimah Syahadah ini juga yang perlu diucapkan sebelum seseorang itu meninggal dunia.
Ada yang mendakwa bahawa perkara pertama dalam Agama ialah mengenal Allah.
Kata mereka ‘Awwaluddin Makrifatullah’.
Sebahagian menyandarkan perkataan ini kepada Rasulullah ﷺ.
Ternyata bahawa perkataan ini tiada asasnya dalam hadis yang sahih.
Ia disandarkan kepada Ali bin Abi Talib radhiyallahu’anhu, di mana beliau kononnya mengatakan:
أول الدين معرفته
“Perkara pertama dalam agama ialah mengenal-Nya.”
Riwayat ini disebar-sebarkan oleh golongan Syi’ah.
Perlu diketahui bahawa, terdapat perbezaan antara iman dan makrifah (kenal).
Kalimah Tauhid mengucapkan Syahadah membawa maksud iman; iaitu kepercayaan yang disusuli dengan tunduk dan perlaksanaan.
Ia berbeza dengan Makrifah yakni kenal (Mengenal Allah / Makrifatullah).
Iman berbeza dengan kenal.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka kenal Rasulullah ﷺ sebagaimana dalam firman Allah:
يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ
Mereka (Yahudi dan Nasrani) mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri.”
[Surah Al-Baqarah, ayat 46]
Tetapi adakah perbuatan mereka kenal Rasulullah bererti mereka beriman dengan Baginda?
Jawapannya, TIDAK.
Ini kerana mereka kenal tetapi mereka tidak beriman.
Kerana itu apa yang penting dan utama ialah IMAN. Bukan sekadar kenal (makrifah).
Dapat kita simpulkan bahawa dakwaan bahawa perkara pertama dalam Agama ialah Mengenal Allah (Awwaluddin Makrifatullah), ia tiada asasnya dalam Agama.
Keduanya, ia menyalahi ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi ﷺ yang menjurus kepada menekankan TAUHID, beriman kepada Allah dan mengESAkannya, disamping beriman kepada Rasulullah ﷺ dan ittiba’ (mencontohi) Sunnahnya.
Semoga sama-sama beroleh manfaat.
Barakallahu fikum.
Kredit: Abu Adam Amenudden Abdul Hadi
Disemak: Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (hafidzahullah)