TAUHID TIDAK CUKUP; WAJIB HINDAR SYIRIK
Muslim tidak hanya diperintah supaya beribadah kepada Allah ﷻ.
Sebaliknya turut disuruh supaya menjauhi syirik; segala bentuk penyembahan kepada selain Allah ﷻ.
Firman Allah ﷻ:
يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيئاً.
“Mereka terus beribadah kepadaKu dan tidak mempersekutukan Aku dengan yang lain.”
[Al-Quran, al-Nuur, 24:55]
Dalam ayat di atas, Allah ﷻ tidak hanya mengatakan “Mereka terus beribadah kepadaKu” tetapi turut menambah “Dan tidak mempersekutukan Aku dengan yang lain.”
Ini menjelaskan bahawa ibadah yang dilaksanakan tidak akan bermanfaat jika orangnya terlibat dengan syirik.
Justeru tidak cukup hanya solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah lain, sebaliknya Muslim perlu turut menjauhi segala hal syirik seperti memakai tangkal, percaya kepada bomoh, terlibat dengan sihir, memuja kubur, meminta tolong daripada orang mati, percaya kepada kuasa selain Allah ﷻ sama ada kuasa guru, syeikh, habib, ustaz, wali, orang soleh dan sebagainya.
Semua ini syirik menyalahi akidah Islam yang akan menghalang orangnya masuk syurga dan diancam dengan kekal dalam api neraka selama-lamanya.
Firman Allah ﷻ:
إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُ
“Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka Allah haramkan ke atasnya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka.”
[Al-Quran, al-Maaidah, 5:72]
Daripada Allah jua kita memohon perlindungan.
Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
26 Jamadilakhir 1445H
08 Januari 2024
https://idrissulaiman.com