|

MATI KEMALANGAN SYAHID

Sebahagian ulama melihat bahawa orang yang mati kemalangan dalam kategori mati syahid akhirat sama seperti mereka yang mati dalam runtuhan yang disebut dalam hadis.

Sabda Nabi ﷺ:

‌الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحب ‌الْهدم والشهيد فِي سَبِيل الله

“Orang-orang yang mati syahid ialah lima; orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”

[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Walau bagaimanapun perlu diketahui bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum syahid secara spesifik sekalipun amalannya menepati amalan para syuhada kerana hal tersebut tidak dibenarkan.

Seperti mana tidak boleh menghukum seseorang individu secara spesifik sebagai ahli syurga sekiranya dia Mukmin atau ahli neraka sekiranya dia kafir.

Sebaliknya dihukum mereka yang mati kemalangan, mati lemas dan mati dalam runtuhan sebagai termasuk dalam kategori para syuhada secara umum, bukan secara spesifik.

Ini kerana antara akidah Ahli Sunah Waljamaah seseorang individu tidak boleh dihukum sebagai ahli syurga atau ahli neraka kecuali mereka yang disaksikan sedemikian secara spesifik oleh Rasulullah ﷺ.

Memandangkan hal tersebut termasuk dalam hal ghaib yang hanya diketahui oleh Allah ﷻ.

Maka dikatakan ‘semoga si fulan mati syahid’ atau ‘semoga beliau tergolong dalam kalangan para syuhada’.

Elakkan daripada mengatakan ‘si fulan syahid’.

Sebagaimana Imam Bukhari meletakkan judul bertajuk ‘Bab Jangan Dikatakan Si Fulan Syahid’ dalam kitab Sahihnya.

CATATAN

Syahid dunia dan akhirat ialah mereka yang mati dalam jihad fisabilillah di medan perang secara khusus di mana jasad mereka tidak perlu dimandikan, dikafankan atau disolatkan.

Berbeza dengan golongan syahid akhirat seperti mereka yang mati kerana taun, lemas, kebakaran atau runtuhan di mana jenazah mereka diuruskan seperti jenazah-jenazah lain dengan dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa pesawat terhempas semalam. Semoga semua mangsa tergolong dalam kalangan para syuhada.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
01 Safar 1445H
18 Ogos 2023

https://chat.whatsapp.com/JTLOFaHCg0z49NcN2qiEzr

Similar Posts

  • |

    Kotak Capal

    Kotak Capal # Pentaksub Capal # Kotak pun jangan dibuang Lihat bagaimana isu capal ini terus berkembang dan terus bertambah sulit. Bermula dengan simbol capal dikeramatkan dan yang terkini kotak produknya pun hendak dijadikan begitu. Tidak hairan sekiranya hal-hal seperti ini lebih disukai syaitan berbanding maksiat-maksiat yang jelas. Kebiasaannya maksiat…

  • |

    KAFIR BARAT

    KAFIR BARAT # Mencela Nabi ﷺ # Muslim pemuja Barat Mereka mencela Nabi Muhammad ﷺ kerana berkahwin dengan Aishah pada usia muda sedangkan dalam masa yang sama mereka membiarkan anak-anak gadis mereka mencari pasangan di kelab-kelab malam yang merupakan seburuk-buruk tempat. Kesudahannya pelacuran dan zina berleluasa di sana pada tahap…

  • |

    TANDA BURUK SANGKA

    TANDA BURUK SANGKA Antara tanda-tanda buruk sangka seseorang terhadap orang lain ialah: Bersikap melampau; Banyak mengumpat; Banyak berbohong; Hasad dengki; Prihatin untuk ke hadapan. Barang siapa mempunyai tanda-tanda ini maka kritikannya terhadap lawannya boleh ditafsirkan bertujuan untuk menjatuhkan, membuka aib serta mencela; dan bukan nasihat. Justeru dia layak mendapat kehinaan….

  • |

    MENYAMBUNG SILATURAHIM: KELEBIHAN LUAR BIASA

    Muslim dituntut supaya menyambung hubungan silaturahim dengan saudara mara. Hukumnya wajib tanpa khilaf. Mereka yang menyambung silaturahim diberi ganjaran yang sangat lumayan. Sabda Nabi ﷺ: إِنَّ ‌أَعْجَلَ ‌الطَّاعَةِ ‌ثَوَابًا صِلَةُ الرَّحِمِ، وَإِنَّ أَهْلَ الْبَيْتِ لَيَكُونُونَ فَجَرَةً فَتَنْمُوا أَمْوَالُهُمْ وَيَكْثُرُ عَدَدُهُمْ إِذَا تَوَاصَلُوا. “Sesungguhnya ketaatan yang paling cepat pahalanya ialah menyambung…