|

KAMI MELIHAT ENGKAU DARIPADA KALANGAN ORANG-ORANG YANG BAIK

Demikian apa diucapkan kepada Nabi Yusuf – alaihissalam.

Sebaik dua kali ia diucapkan kepadanya “Kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.”

Dalam ayat 36 dan ayat 78, surah Yusuf.

Kali pertama diucapkan kepadanya semasa beliau dalam penjara manakala kali kedua semasa di istana!

Dua keadaan yang jauh berbeza; di penjara dalam keadaan susah tertekan dan di istana dalam keadaan senang gembira.

Tetapi ternyata budi pekerti Nabi Yusuf tidak berubah; tetap sama konsisten menjadi orang baik.

Baik daripada segi sifat-sifat kelakuan dan tabiat, dan baik daripada segi layanan dan hubungan dengan orang-orang lain di sekeliling.

Demikian seharusnya seorang Muslim yang sentiasa berkelakuan baik tidak kira masa dan tempat.

Keadaan senang atau susah, gembira atau sedih, selesa atau tertekan, semua itu tidak akan mempengaruhi budi pekertinya.

Muslim itu bukanlah orang yang mudah emosi, kelakuan berubah-ubah, tidak stabil atau hanya berkelakuan baik apabila ada maslahat dan kepentingan.

Sama sekali tidak.

Sebaliknya dia sentiasa berkelakuan baik, lemah lembut dan bersopan santun dengan orang-orang lain kerana itulah yang diperintahkan ke atasnya oleh agama dan itulah penjana ganjaran pahala buatnya.

CATATAN

Sebahagian orang baik dan lemah lembut apabila bersemuka tetapi berubah apabila di media sosial; kasar, garang, menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dan sebagainya.

Ini tidak wajar.

Firman Allah ﷻ dalam surah Yusuf, ayat 36:

وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجۡنَ فَتَيَانِۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّيٓ أَرَىٰنِيٓ أَعۡصِرُ خَمۡرٗاۖ وَقَالَ ٱلۡأٓخَرُ إِنِّيٓ أَرَىٰنِيٓ أَحۡمِلُ فَوۡقَ رَأۡسِي خُبۡزٗا تَأۡكُلُ ٱلطَّيۡرُ مِنۡهُۖ نَبِّئۡنَا بِتَأۡوِيلِهِۦٓۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan masuklah bersamanya ke dalam penjara dua orang anak muda. Salah seorang daripadanya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur”. Dan seorang lagi berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (Kata mereka): “Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.”

Firman Allah ﷻ dalam surah Yusuf, ayat 78:

قَالُواْ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡعَزِيزُ إِنَّ لَهُۥٓ أَبٗا شَيۡخٗا كَبِيرٗا فَخُذۡ أَحَدَنَا مَكَانَهُۥٓۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Mereka pun merayu dengan berkata: “Wahai menteri! Sesungguhnya dia (Bun’yamin) mempunyai bapa yang sudah tua lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya. Sesungguhnya kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.”

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Muharam 1445H
08 Ogos 2023

Similar Posts

  • |

    [ EDISI KEMASKINI DENGAN TERJEMAHAN BAHASA INGGERIS ]

    [ EDISI KEMASKINI DENGAN TERJEMAHAN BAHASA INGGERIS ] HUKUM MENGUCAPKAN ‘MERRY CHRISTMAS’ SELAMAT HARI KRISMAS KEPADA ORANG KRISTIAN Tidak boleh bagi seorang Muslim TURUT SERTA bersama orang-orang Kristian merayakan Hari Krismas ataupun mengucapkan ‘selamat’ sempena perayaan mereka. Ini kerana perayaan merupakan antara UPACARA KEAGAMAAN yang menjadi syiar kepada sesebuah agama…

  • LŎCKDŎWN DUNIA KALI KE-2?

    – Reset Ekonomi – New World Order Perkembangan semasa di China sepatutnya merisaukan kerana di sanalah segala bala musibah bermula dua tahun lalu di awal 2020. Kini kita menyaksikan hal serupa berulang kembali apabila baru-baru ini kerajaan China melaksanakan perintah lŏckdŏwn kali ke-2 ke atas rakyatnya tetapi dengan lebih dahsyat…

  • |

    BANYAK BERCAKAP

    Kata Imam al-Auzaie (wafat 157H): إِنَّ ‌المُؤْمِنَ ‌يَقُوْلُ ‌قَلِيْلاً، وَيَعمَلُ كَثِيْراً، وَإِنَّ المُنَافِقَ يَتَكَلَّمُ كَثِيْراً، وَيَعْمَلُ قَلِيْلاً. “Orang Mukmin bercakap sedikit dan beramal banyak sedangkan orang munafik bercakap banyak dan beramal sedikit.” [Siyar A’lam al-Nubala’, 7/125] CATATAN Barangkali dalam konteks zaman sekarang ‘bercakap’ lebih banyak dalam bentuk menulis di media…

  • MANUSIA PENDOSA

    – Dan syaitan bertipu-muslihat Jangan engkau ditipu syaitan yang ada kalanya akan mencantikkan dosa itu buat engkau manakala di masa yang lain dia memperkecilkan amalan-amalan ketaatan yang engkau lakukan atas alasan dosa-dosa yang engkau terjebak melakukannya. Sebaliknya hendaklah engkau terus beramal taat dan gigih mengerjakannya. Kerana sabda Nabi ﷺ: مَا…