DAKWAH SALAF

Dakwah yang cantik, hebat lagi sempurna. Dakwah yang berkat.

Dakwah para nabi dan rasul yang menyeru kepada tauhid – tauhid ibadah, tauhid ketuhanan serta tauhid asma dan sifat.

Dakwah yang memerangi syirik dalam segala bentuknya, menyeru kepada al-Sunah, memerangi bidaah, menyeru kepada ketaatan, memerangi maksiat, mengajak kepada ilmu, memerangi kejahilan, menyeru kepada kesatuan, memerangi perpecahan, menyeru kepada al-jamaah, melarang ikhtilaf, mengajak kepada al-wasatiyyah – sikap sederhana mengikut aturan garisan syarak, memerangi sikap melampau dalam segala bentuknya, dan menekankan keselamatan – keselamatan am, jiwa, pemikiran, keluarga, masyarakat dan global.

Dakwah holistik yang merangkumi semua aspek bagi lelaki dan perempuan, muda dan tua, miskin dan kaya, pemerintah dan rakyat.

Dakwah yang didasari ilmu, kebijaksanaan, kesantunan dan rahmat.

Firman Allah ﷻ:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

[Al-Quran, al-Anbiyaa, 21: 107]

Dakwah rabbani yang berasaskan kepada Al-Quran, hadis dan pemahaman Salaf.

Menitip beratkan jasad dan roh, luaran dan dalaman, riwayat yang tersurat serta pemahaman nas yang tersirat, perkataan dan amalan.

Dakwah Salaf telah sampai kepada manusia seperti mana air bersih yang segar sampai ke kerongkong mereka yang dahaga, seperti cahaya fajar yang bersinar dalam kegelapan Subuh, seperti air hujan yang turun dari langit membasahi bumi dan menghidupkan tanah yang kering kontang, lalu:

ٱهۡتَزَّتۡ وَرَبَتۡ وَأَنۢبَتَتۡ مِن كُلِّ زَوۡجِۢ بَهِيجٖ

“Hiduplah bumi itu dan suburlah dengan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.”

[Al-Quran, al-Haj, 22: 5]

Dengan datangnya dakwah ini manusia merasa gembira, mencintainya, yakin dan mempercayainya lalu mereka berbondong-bondong mendakapnya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, dakwah Salaf terus mekar bercambah, tumbuh dan berkembang.

Sedangkan dakwah-dakwah yang lain, gerakan-gerakan, kumpulan-kumpulan, slogan-slogan, teriakan-teriakan dan tempikan-tempikan, mereka turut berdakwah tetapi masakan sama antara kaca dan permata, dakwah yang benar berbanding dakwah yang batil.

Dakwah yang benar akan terus kekal dan berkembang manakala dakwah-dakwah yang lain adalah statik, tidak beranjak dan hanya bergerak setempat, tidak menambah ilmu ataupun memperkasakan iman. Ibarat tin kosong yang banyak bunyi tetapi tiada isi.

Walhal Allah ﷻ berfirman:

فَأَمَّا ٱلزَّبَدُ فَيَذۡهَبُ جُفَآءٗۖ وَأَمَّا مَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ فَيَمۡكُثُ فِي ٱلۡأَرۡضِ

“Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tiada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia akan tetap kekal di bumi.”

[Al-Quran, al-Ra’ad, 13: 17]

Dakwah Salaf asasnya kukuh membumi manakala binaannya meninggi ke langit.

Dakwah yang jelas isi-isi penyampaian dan pengajarannya.

Dakwah yang berdiri atas dasar tauhid yang menjadi tunjang agama, asas dakwah para nabi dan rasul, tujuan utama mereka diutus, kewajipan pertama atas manusia, dan perkara fardu yang paling penting.

Dakwah yang diberi pertolongan oleh Allah ﷻ melalui kekuatan pedang syarak dan kekuatan hujah ilmu yang tidak terpatah.

Dakwah yang seruannya disampaikan dari atas pentas-pentas mimbar dalam majlis-majlis keramaian dan majlis-majlis ilmu, di hadapan masyarakat awam dan orang-orang perseorangan, untuk manfaat mereka yang terdekat dan orang-orang yang jauh.

Dakwah yang batinnya seperti zahirnya, dan awalnya seperti akhirnya.

Bukan seperti dakwah-dakwah yang membawa ajarannya secara sembunyi-sembunyi dan dipenuhi kod-kod rahsia yang hanya dapat diungkai oleh si guru.

Bukan seperti dakwah-dakwah yang dipenuhi kekaburan dan misteri yang tidak dapat difahami oleh orang-orang awam.

Sebaliknya ia merupakan dakwah yang jelas yang menerangkan kebenaran dan mudah difahami oleh orang-orang awam sama ada yang berpendidikan ataupun yang tidak berpelajaran, kawan ataupun lawan.

Inilah dakwah Salaf, yang asas piagamnya berdiri atas Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat dan Salaf al-Soleh.

Dakwah yang didukung oleh Nabi Muhammad ﷺ, para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin serta para ulama al-Sunah yang datang sesudah mereka.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
14 Rejab 1444H
05 Februari 2023

Similar Posts

  • TIDUR SEBELAH KANAN ATAU KIRI? BEZA TIDUR NYENYAK ATAU TIDAK

    – Tidur mengiring sebelah kanan lebih mudah terjaga Ulama menjelaskan bahawa tidur mengiring sebelah kanan tidak nyenyak berbanding sebelah kiri. Ini kerana hati (jantung) manusia tergantung di sebelah kiri dan sekiranya seseorang itu tidur mengiring sebelah kirinya nescaya tidurnya akan nyenyak kerana merasa senang dan enak. Berbeza jika tidur mengiring…

  • MENERIMA SUNAH NABI ﷺ SEPENUHNYA

    – Kedudukan akal – Tegar Ikut Ajaran Guru Firman Allah ﷻ: وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ. “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan…

  • JADILAH ORANG ASING

    – al-Ghuraba’ Agama Islam bermula dalam keadaan asing dan ia akan kembali seperti mana ketika ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (al-Ghuraba’). [Sahih. Riwayat Muslim] Orang-orang yang tetap berbuat baik ketika mana masyarakat menjadi rosak, dan orang-orang yang menyalahi mereka lebih ramai daripada orang-orang yang mengikut mereka. [Sahih. Riwayat…

  • JALAN NABI & SAHABAT: SEBAIK-BAIK IBADAH

    Sebaik-baik ibadah ialah apa yang menepati cara Nabi ﷺ dan cara para Sahabat. Kerana merekalah pendahulu umat Islam yang terpuji. Sabda Nabi ﷺ: فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهِ، ‌وَخَيْرُ ‌الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ، وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ. “Sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad manakala…

  • |

    UCAPAN TAKZIAH SYEIKH SULAIMAN AL-RUHAILI

    Syeikh Sulaiman al-Ruhaili, pensyarah di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan pengajar di Masjid Nabawi membuat hantaran di X (Twitter) mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas. Dalam hantaran itu beliau menyatakan dengan menyebut nama Allahyarham dengan gelaran ‘al-Ustaz al-Syeikh’ terdiri dalam kalangan ilmuwan terawal di Indonesia…

  • GELARAN YANG DIBERI LAWAN KEPADA DAKWAH SALAF

    – Gelaran yang diberi lawan – Taimiyyah, Wahhabiyyah – Jamiyyah, Madkhaliyyah Dakwah Salaf ialah dakwah yang mengajak masyarakat Islam kembali menghayati ajaran Islam sebenar seperti mana yang terkandung dalam Al-Quran dan al-Sunah serta mengikut apa yang dipraktikkan oleh para Sahabat Nabi ﷺ. Salaf yang dari sudut bahasanya bererti ‘pendahulu’ adalah…