full hd wallpaper, desktop wallpaper, hd wallpaper
|

‘MAZHAB TIDAK BERMAZHAB’?

– Allamazhabiyyah
– Mazhab Salaf al-Soleh

Khatib dalam khutbah Jumaat semalam membuat analogi menyamakan antara golongan liberal sesat dengan golongan yang dinamakan sebagai golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ atau Allamazhabiyyah kerana menurutnya kedua-dua modusnya dikatakan menjatuhkan kredibiliti dan autoriti ulama-ulama silam.

Tidak dinyatakan siapa golongan Allamazhabiyyah ini secara spesifik.

Apa yang perlu ditegaskan ialah bahawa kedudukan mazhab-mazhab fikah seperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali diakui menjadi jambatan bagi memahami Al-Quran dan al-Sunah.

Dalam masa yang sama, maklum akan wujudnya perselisihan dan perbezaan pendapat yang bertembungan antara mazhab-mazhab fikah ini.

Bagaimana sikap Musim menanganinya dan apa kaedah penyelesaiannya?

Perlu ditegaskan bahawa mengandaikan bahawa semua pendapat mazhab yang bercanggahan antara satu sama lain ini benar-benar belaka adalah batil.

Begitu juga mengandaikan bahawa hanya satu mazhab sahaja yang benar manakala yang lain salah juga batil.

Tidak seperti apa yang dikatakan oleh sebahagian pentaasub mazhab:

“Mazhab aku semuanya benar dan mazhab engkau semuanya salah.”

Bagaimana pula jika seseorang itu memilih salah satu daripada pendapat-pendapat mazhab ini mengikut seleranya, tanpa mengambil kira dalilnya?

Pendekatan ini sekurang-kurangnya dinamakan taklid.

Dan taklid sememangnya buta kerana ia berdiri atas kejahilan dan ketidaktahuan tentang dalil.

Pendekatan ini tidak seharusnya menjadi keutamaan apatah lagi diwajibkan atas seluruh kaum Muslimin untuk mengikuti satu mazhab fikah tertentu.

Ini kerana ia seolah-olah menetapkan bahawa semua pendapat mazhab yang dipilih itu adalah benar-benar belaka sedangkan realitinya tidak begitu.

Ada kalanya dalam sesuatu permasalahan di mana pendapat mazhab Hanafi lebih kuat, dalam permasalahan lain pula pendapat mazhab Maliki, Syafie atau Hanbali yang lebih kuat dan seterusnya.

Apa yang pasti, kebenaran tetap berada dalam salah satu pendapat-pendapat mazhab ini kerana ia merupakan jaminan Nabi ﷺ sebagaimana dalam sabdanya “Umatku tidak akan sepakat dalam kesesatan.”

Maka pendapat-pendapat mazhab fikah seharusnya disaring dan dinilai bagi menentukan pendapat mana yang paling hampir dengan dalil Al-Quran dan al-Sunah.

Ini kerana Muslim diperintahkan supaya mengikuti Al-Quran dan al-Sunah, bukan mana-mana mazhab tertentu.

Dengan kata lain, Al-Quran dan al-Sunah itulah yang seharusnya menjadi mazhab setiap Muslim sebagaimana yang dinukilkan daripada Imam al-Syafie yang berkata:

إذَا صَحَّ الحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي.

“Jika hadisnya sahih maka itulah mazhabku.”

[al-Nawawi, al-Majmuk]

Oleh itu dalam apa jua permasalahan, pendapat yang dinilai paling hampir dengan dalil Al-Quran dan al-Sunah perlu dipilih tidak kira daripada mana-mana mazhab pun.

Bertepatan dengan firman Allah ﷻ :

فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡء فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ.

“Jika kamu berselisih dalam apa jua perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan RasulNya (al-Sunah). ”

[Al-Quran, al-Nisaa’, 4:59]

Memang diakui bahawa bukan semua mampu melakukan saringan dan penilaian ini tetapi paling tidaknya inilah cara dan pendekatan yang benar yang harus disetujui.

Taklid pula tidak dilarang malah diharuskan jika ada keterpaksaan khususnya bagi mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengkaji dan menilai dalil-dalil sama ada secara umum atau dalam permasalahan-permasalahan tertentu.

Inilah pendirian dan pegangan ulama Salaf al-Soleh zaman berzaman.

Justeru jika dinisbahkan gelaran Allamazhabiyyah ini kepada mazhab Salaf maka paling tidaknya ia mengelirukan.

Adakah pendekatan ini tidak menghormati kedudukan mazhab dan para ulama?

Sama sekali tidak.

Kedudukan semua mazhab diakui manakala para ulama wajib dihormati dan dimuliakan.

Tetapi mengikut kadar yang dibenarkan oleh agama, tidak sampai mengatasi kedudukan Al-Quran dan al-Sunah.

Mendahulukan mana-mana pendapat atas dalil Al-Quran dan al-Sunah bukan sahaja menyalahi begitu banyak nas dalil malah bertentangan dengan pendirian tokoh-tokoh mazhab itu sendiri.

Kata Imam Abu Hanifah:

لا يَحِلُّ لِأحَدٍ أنْ يَأخُذَ بِقَوْلِنَا مَا لَم يَعْلَمْ مِنْ أيْنَ أخَذْنَاهُ.

“Tidak boleh bagi seseorang itu berpegang kepada kata-kataku selagi mana dia tidak tahu daripada mana aku mengambilnya.”

[Ibnu Abidin, Rad al-Muhtar]

Kata Imam Malik:

لَيْسَ ‌أَحَدٌ ‌بَعْدَ ‌النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا‌‌ يُؤْخَذُ مِنْ قَوْلِهِ وَيُتْرَكُ إِلَّا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Tiada sesiapapun sesudah Nabi ﷺ melainkan kata-katanya boleh diterima dan ditolak melainkan Nabi ﷺ.”

Kata beliau lagi:

“Sesungguhnya aku manusia biasa, boleh jadi kata-kataku benar dan boleh jadi salah. Lihatlah pendapatku dan ambillah mana yang menepati Al-Quran dan hadis manakala yang menyalahinya tinggalkan.”

[Ibnu Abdul Bar, Jamie Bayan al-Ilm]

Kata Imam al-Syafie:

وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah RasulNya ﷺ dan bahawasanya apa yang selainnya kembali kepada kedua-duanya.”

Tambah beliau:

“Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas kepadanya
Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain.”

[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]

Atas dasar ini kata Imam Ahmad:

لا تُقَلِّدُنِي وَلا تُقَلِّدْ مَالِكًا وَلا الشَّافِعِيُّ وَلا الأوْزَاعِي وَلا الثَّوْرِي وَخُذْ مِنْ حَيْثُ أخَذُوا.

“Jangan kamu bertaklid kepadaku dan jangan bertaklid kepada Malik, Syafie, al-Awza’i dan al-Thauri. Sebaliknya ambillah dari mana mereka ambil.”

[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]

Yakni Al-Quran dan al-Sunah.

Allah ﷻ jua pemberi taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
31 Disember 1444H
07 Jamadilakhir 2022

Similar Posts

  • |

    NIKMAT DICABUT

    – Sebab mengapa suatu nikmat dicabut Jika Allah ﷻ memberi suatu nikmat kepadamu lalu Dia mencabutnya daripadamu maka ketahuilah bahawa Dia ﷻ tidak mencabutnya daripadamu kerana Dia bakhil atau kerana Dia mengutamakan diriNya sendiri berbanding dirimu. Sebaliknya andalah penyebab nikmat itu dicabut. Firman Allah ﷻ: ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ لَمۡ يَكُ…

  • |

    RIBA SEBAB KENAIKAN HARGA BARANG

    Ramai mungkin mengeluh tentang kenaikan harga barang semasa. Harga rumah, harga kereta, barang keperluan harian dan sebagainya. Sedar atau tidak ia kesan daripada riba yang diamalkan hampir dalam semua sektor ekonomi. Sedangkan Allah ﷻ telah mengingatkan tentang perkara ini dalam firmanNya ﷻ: يَمۡحَقُ ٱللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُرۡبِي ٱلصَّدَقَٰتِ “Allah susutkan (kebaikan…

  • |

    SAHABAT NABI GEMBIRA KEMENANGAN TENTERA ROM : SATU PENJELASAN

    Para Sahabat Nabi ﷺ pernah bergembira dengan kemenangan tentera Rom terhadap Parsi. Namun demikian, kegembiraan tersebut tidak bermaksud mereka memuji atau menyokong tentera Nasrani Rom itu. Kegembiraan adalah satu perkara, manakala memuji dan menyokong adalah perkara yang lain. Bagaimana pula ada pihak yang cuba menyucikan pencela dan pengkafir Sahabat Nabi…

  • |

    KELEBIHAN SALAF ATAS KHALAF

    KELEBIHAN SALAF ATAS KHALAF Seorang ulama kurun ketiga dahulu ditanya: Mengapa kata-kata Salaf jauh lebih berkesan dan bermanfaat berbanding kata-kata kita pada hari ini? Jawabnya: Kerana ucapan mereka bertujuan untuk kepentingan Agama, menyelamatkan manusia dan memperoleh keredaan Allah. Sedangkan kita pula berkata untuk kepentingan diri, habuan dunia dan keredaan manusia.

  • |

    SYEIKH UBAID AL-JABIRI RAHIMAHULLAH

    Syeikh Ubaid al-Jabiri terdiri daripada kalangan ulama besar Salafi yang gigih mengajar dan menyampaikan ilmu. Beliau antara bekas pengajar di Universiti Islam Madinah. Antara kenangan manis sewaktu saya belajar di sana semasa tahun akhir kuliah pada tahun 2002, usai mendengar tausiah Syeikh Rabi bin Hadi al-Madkhali hafizahullah dalam sebuah pertemuan…

  • |

    ANAK-ANAK RASULULLAH Sallalahu alaihi wassalam

    ANAK-ANAK RASULULLAH Sallalahu alaihi wassalam Firman Allah: مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ (Muhammad itu bukanlah bapa bagi sesiapa daripada kalangan orang lelaki kamu) Surah Al-Ahzaab, ayat 40. Kata Imam Ibnu Kathir: “Allah melarang perbuatan mengatakan sesudah turunnya ayat ini: Zaid bin Muhammad (anak angkat Baginda). Yakni Baginda bukanlah…