|

“AKU RASA KAU TAK AKAN BERJAYA”

Begitulah kata-kata Timbalan Duta Arab Saudi, mantan bos saya apabila saya mengucapkan selamat tinggal kepada beliau pada hari terakhir saya di Kedutaan pada tahun 2014.

Kata-kata yang mungkin semua setuju ia boleh melemahkan semangat berbanding menguatkannya.

Apa yang pasti waktu itu saya telah pun membulatkan tekad untuk berhenti setelah lebih 11 tahun bekerja di situ.

Ini kerana saya merasakan bahawa kerja-kerja yang saya lakukan sudah menjadi terlalu biasa dan rutin, tidak lagi menarik dan mencabar sehingga membuatkan saya mengambil keputusan untuk sambung belajar di peringkat PhD.

Saya mengakui bahawa perjalanan lapan tahun belajar di peringkat ini dalam keadaan berkeluarga dan mempunyai banyak tanggungan tidak mudah.

Jika diimbau kembali, perkara paling susah bagi saya dalam penulisan tesis PhD ialah cara mendapatkan idea.

Tidak dinafikan bahawa antara cara-cara mendapatkan idea ialah dengan banyak berfikir, merenung dan mengkaji tetapi yang pastinya ia tidak datang dengan begitu sahaja.

Saya mendaftar untuk mengikuti program PhD pada tahun 2014, dan sehingga tahun 2019 walaupun telah menyiapkan hampir kesemua empat bab yang diperlukan bagi kajian tesis saya mengenai Syeikh al-Albani rahimahullah tetapi waktu itu saya belum yakin dengan hasilnya.

Dr. Fadlan kemudian mempertemukan saya dengan sahabat lama dari Universiti Islam Madinah, al-Fadhil Ustaz Mohd Roesfan Sazzerin kerana beliau arif dalam bab metodologi kajian.

Setelah melihat draf tesis saya, Ustaz Roesfan menyarankan supaya saya memilih salah satu daripada kitab Syeikh al-Albani untuk dijadikan sebagai fokus kajian.

Pada awalnya saya rasa berat untuk menerima saranan beliau kerana terpaksa merombak semula tesis tetapi akhirnya saya akur.

Maka pada akhir tahun 2019 tercetuslah idea yang sekian lama saya nantikan setelah hampir 6 tahun.

Atas nasihat Ustaz Roesfan saya ubah semula keseluruhan struktur tesis saya di mana daripada empat bab yang ada hanya bab pertama sahaja dikekalkan manakala baki tiga bab terpaksa ditulis semula.

Kurang lebih setahun ia dapat disiapkan, alhamdulillah.

Pada awal tahun 2021 saya telah membentangkan hasil kajian saya kepada dua penyelia saya iaitu al-Fadhil Prof. Madya Dr. Aminudin Basir selaku penyelia utama manakala penyelia kedua ialah Sahibus Samahah YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron.

Mereka berdua bersetuju untuk saya serahkan tesis ke Institut.

Setelah Viva pada awal tahun ini manakala majlis konvokesyen telah dilangsungkan pada awal bulan Disember baru-baru ini, dua hari yang lepas saya telah pergi ke Universiti untuk menerima sijil PhD saya.

Begitulah secara ringkas perjalanan saya di peringkat siswazah ini.

Bak kata abang saya, Dr. Zain ia merupakan ‘satu proses’ yang mungkin memakan sedikit masa tetapi perlu dilalui dengan ketabahan untuk diselesaikan.

Saya sering berdoa supaya segala urusan pembelajaran saya dipermudahkan dan dipercepatkan tetapi siapa sangka ‘cepat’ yang Allah ﷻ tetapkan dalam suratan takdir ialah lapan tahun.

Saya tetap bersyukur kerana segala urusan benar-benar telah dipermudahkan dan dipercepatkan oleh Allah ﷻ.

Sedikit pun saya tak marah pada mantan bos saya atas ucapan beliau itu. Saya menganggapnya sebagai kata-kata dorongan yang telah menguatkan semangat saya selama ini. Kemungkinannya beliau sangsi kerana saya memilih untuk belajar sepenuh masa.

Bergerak ke hadapan, alhamdulillah kerja-kerja penulisan buku pertama saya setelah tamat belajar iaitu Syarah Hadis 40 Imam al-Nawawi sudah pun hampir siap. Tinggal penyusunan taip sebelum dihantar kepada pencetak. Semoga dipermudahkan.

Allah ﷻ jua pemberi taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Jamadilakhir 1444H
29 Disember 2022

Similar Posts

  • ‘YAKIN BOLEH’ PERLU DIUBAH

    # Membetulkan perkataan yang mengelirukan Kajian psikologi Barat sering menekankan kepentingan untuk yakin dengan keupayaan diri sendiri. Manusia menurutnya adalah pusat segala penentuan dan perubahan. Ini kerana kepercayaan kepada tuhan hampir tidak ada dalam kajian-kajian psikologi Barat yang didominasi oleh golongan ateis. Hasilnya mereka mengetengahkan perkataan-perkataan seperti ‘believe in yourself’,…

  • |

    BERSABAR, DIUJI ATAU MEMPEROLEH KEJAYAAN: MANA AFDAL?

    Ujian ialah persiapan Mukmin untuk memperoleh kejayaan di dunia. Dikatakan bahawa Imam al-Syafie ditanya tentang yang mana afdal; sama ada bersabar, diuji atau memperoleh kejayaan? Beliau berkata “Mendapat kejayaan merupakan darjat para nabi, sedangkan kejayaan itu tidak diperoleh melainkan sesudah diuji. Jika diuji maka hendaklah bersabar, dan jika seseorang itu…

  • |

    ARAB SAUDI BENARKAN JUALAN ARAK?

    Sejak dua menjak ini timbul desas-desas di medsos bahawa negara Arab Saudi akan membenarkan jualan minuman beralkohol. Sejauh mana benar atau tidak, wallahuaklam. Hanya sahaja dikhuatiri desas-desus ini psyop untuk memburukkan negara berkenaan oleh anasir-anasir Syiah dan Ikhwan yang sangat benci negara berkenaan. Kerana apa yang pasti, negara tercinta ini…

  • |

    SIMBOL MENYALAHI AJARAN ISLAM

    Simbol V for Vendetta (Guy Fawkes) melambangkan penentangan terhadap pemerintah. Dalam Islam, melawan pemerintah Muslim adalah dilarang, walaupun mereka zalim, kecuali jika berlaku kufur yang nyata. Islam menolak jalan revolusi dan huru-hara kerana membawa kerosakan yang lebih besar, sebaliknya mengajar supaya bersabar, nasihat secara hikmah, serta menjaga keamanan dan kesatuan…

  • |

    AJAR PELAJAR SEKOLAH PAKAI KONDOM?

    Kononnya bagi menangi kes-kes cabul dan rogol yang kesudahannya membuatkan mangsanya hamil dan melahirkan bayi luar nikah, sekali gus meningkatkan lagi kes pembuangan bayi. https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2022/07/21/pelajar-lelaki-malu-malu-disuruh-sarung-kondom-depan-rakan-nampak-kekok-ramai-tak-setuju-latihan-amali-pendidikan-seks-di-sekolah Maka subjek pendidikan seks di sekolah dilihat penting bagi membendung isu sosial dalam kalangan remaja, ini termasuklah dengan mengajar para pelajar cara memakai kondom. Falasi…

  • |

    DI MANA SYURGA & NERAKA?

    Syurga terletak di langit yang paling tinggi di bawah Arasy manakala api neraka terletak di Sijjin di bawah lapisan bumi yang paling bawah. Sabda Nabi ﷺ: فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ ‌فَاسْأَلُوهُ ‌الْفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ وَسَطُ الْجَنَّةِ، وَأَعْلَى الْجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ مِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ. “Jika kamu meminta daripada Allah maka mintalah…