|

‘BILIK KULIAH’ KERETA KANCIL

Kereta Kancil saya ini banyak nostalgia dan kenangan manisnya.

Saya menggunakan kereta ini sejak awal bekerja di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur sampai berhenti. Saban hari berulang alik dari Kajang ke Kuala Lumpur menaikinya dari tahun 2003 sampai 2014.

Segala apa yang Allah ﷻ takdirkan ada hikmahnya.

Alhamdulillah, saya tidak mendengar muzik. Kerana itu antara kenangan manis menaiki kereta ini ialah setiap kali ke pejabat saya akan menggunakan masa sepanjang mengharungi kesesakan lalu lintas selama hampir sejam untuk mendengar kuliah-kuliah Syeikh al-Albani rahimahullah membahaskan pelbagai topik agama. Sangat menarik dan luar biasa perbahasan beliau sehingga saya dapat mengambil banyak ilmu dan faedah daripadanya.

Tidak dinafikan bahawa mendengar kuliah beliau sambil memandu ada cabarannya yang tersendiri. Ini kerana saya tidak dapat merekodkan semua poin yang disampaikan seperti mana yang sepatutnya. Oleh itu, orang lain mungkin rasa marah dan geram jika terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi bagi saya waktu itu adalah sebaliknya. Saya lebih suka kerana pergerakan perlahan kenderaan-kenderaan di hadapan membolehkan saya mencatatkan faedah-faedah yang saya dengar daripada kuliah Syeikh al-Albani dalam buku nota kecil yang ada.

Begitulah rutin saya apabila naik kereta ke pejabat sepanjang bekerja di Kedutaan Arab Saudi selama lebih 11 tahun. Kesudahannya saya berjaya mendengar hampir keseluruhan rakaman yang ada dalam rangkaian ‘Silsilah al-Huda Wa al-Nur’ yang berjumlah hampir 1000 buah rakaman. Setiap rakaman ini adalah selama hampir sejam dan ada antaranya yang diulang dengar sampai dua kali atau lebih.

Siapa sangka daripada ‘bilik kuliah’ kereta ini akhirnya ia dapat membantu saya menghasilkan tesis Masters dan PhD tentang asas dakwah dan juga pegangan fiqah Syeikh al-Albani rahimahullah.

Benarlah jika Allah ﷻ menghendaki sesuatu maka Dia akan menciptakan asbabnya.

Segala puji bagi Allah ﷻ dari awal sampai akhir.

Alkisahnya, kereta Kancil ini sudah bertahun-tahun tersadai di belakang rumah. Maklumlah kereta lama maka banyaklah masalahnya. Semalam ada yang datang membelinya dengan harga RM300. Mungkin hendak dijadikan kereta sekerap.

CATATAN

Kertas putih yang dilampirkan adalah nombor-nombor rangkaian rakaman ‘Silsilah al-Huda Wa al-Nur’ bagi kuliah-kuliah Syeikh al-Albani manakala tanda pangkah atas sesetengah nombor-nombor itu menunjukkan rakaman-rakaman yang sudah didengar. Tanda sengkang pula menunjukkan nombor-nombor rakaman yang tidak dapat diperoleh (waktu itu).

Semoga Allah ﷻ mengampuni Syeikh al-Albani dan memberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda atas segala usaha beliau berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada umat Islam.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Rabiulakhir 1444H
11 November 2022

Similar Posts

  • |

    CINTA PALSU: SURAH AL-MASAD

    Firman Allah ﷻ: تَبَّتۡ يَدَآ أَبِي لَهَبٖ وَتَبَّ مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ سَيَصۡلَىٰ نَارٗا ذَاتَ لَهَبٖ وَٱمۡرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ فِي جِيدِهَا حَبۡلٞ مِّن مَّسَدِۢ . “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka…

  • |

    MAJORITI AHLI SYURGA & AHLI NERAKA

    Sabda Nabi ﷺ: اطَّلَعْتُ ‌فِي ‌الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ، وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ. “Aku melihat ke dalam syurga lalu aku dapati kebanyakan penghuninya orang-orang miskin dan aku melihat ke dalam neraka lalu aku dapati kebanyakan penghuninya ialah wanita.” [Sahih. Riwayat Bukhari (3241) & Muslim (2737)] Orang-orang…

  • |

    ORANG PALING KUAT

    Orang yang paling kuat ialah orang yang bertawakal sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Kata sebahagian ulama Salaf: “Barang siapa mahu jadi orang paling kuat maka hendaklah dia bertawakal kepada Allah.” [Zad al-Ma’ad, Ibnu al-Qayyim, 2/364] Sebagaimana firman Allah ﷻ: وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ “Kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah…

  • |

    ‘MAZHAB TIDAK BERMAZHAB’?

    – Allamazhabiyyah – Mazhab Salaf al-Soleh Khatib dalam khutbah Jumaat semalam membuat analogi menyamakan antara golongan liberal sesat dengan golongan yang dinamakan sebagai golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ atau Allamazhabiyyah kerana menurutnya kedua-dua modusnya dikatakan menjatuhkan kredibiliti dan autoriti ulama-ulama silam. Tidak dinyatakan siapa golongan Allamazhabiyyah ini secara spesifik. Apa yang…

  • IMAM HANAFI, MALIKI & SYAFIE BERMAZHAB ASYA’IRAH?

    Asya’irah adalah nisbah kepada Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari, wafat pada tahun 324H. Imam Hanafi wafat pada tahun 150H, manakala Imam Malik dan Imam Syafie rahimahumullah masing-masing wafat pada tahun 179H dan 204H. Apa masalahnya? Masalahnya ialah ketiga-tiga mereka hidup LEBIH SERATUS TAHUN SEBELUM Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari. ——————- Akidah Asya’irah…

  • | | |

    PASANGAN YANG BUATKAN RAMBUT BERUBAN SEBELUM MASANYA

    Antara doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ ialah memohon perlindungan daripada lima golongan manusia iaitu: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ جَارِ السُّوءِ، وَمِنْ زَوْجٍ تُشَيِّبُنِي قَبْلَ الْمَشِيبِ، وَمِنْ وَلَدٍ يَكُونُ عَلَيَّ رَبًّا، وَمِنْ مَالٍ يَكُونُ عَلَيَّ عَذَابًا، وَمِنْ خَلِيلٍ مَاكِرٍ عَيْنَهُ تَرَانِي وَقَلْبُهُ يرْعَانِي إِنْ رَأَى حَسَنَةً دَفَنَهَا، وَإِذَا رَأَى…