|

TERAPI AL-FATIHAH?

– Hidupkan al-Sunah
– Jauhi tokok tambah
– ‘Doa Perlindungan Anak’

Ada ustazah menyarankan ‘Terapi al-Fatihah’ buat anak sebelum ke sekolah iaitu dengan cara menyapu muka anak dan memeluknya dengan membaca al-Fatihah.

Hasil terapi ini menurut ustazah itu wajah anak akan berseri dan gembira ke sekolah di samping mendapat perlindungan Allah daripada sifat malas dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Perlu ditegaskan bahawa amalan ini tiada dalam agama.

Malah ia jelas termasuk dalam erti menokok tambah dan mengada-adakan amalan-amalan baharu dengan dakwaan fadilat kelebihan tertentu tanpa asas dalil daripada Al-Quran atau al-Sunah.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

وإيَّاكم وَمُحْدَثاتِ الأمُورِ، فَإنَّ ‌كُلَّ ‌بِدْعَةٍ ‌ضَلالَةٌ.

“Hendaklah kalian menjauhi perkara-perkara baharu (dalam agama) kerana sesungguhnya setiap bidaah (pembaharuan dalam agama) ialah kesesatan.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabdanya ﷺ lagi:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Nas-nas hadis di atas secara jelas mencela dan menolak amalan-amalan baharu yang diada-adakan dalam agama.

HIDUPKAN AL-SUNAH &
JAUHI TOKOK TAMBAH

Setiap Muslim sedaya upaya hendaklah menghidupkan al-Sunah dalam kehidupannya seharian.

Di samping zikir-zikir pagi, disarankan membaca ‘Doa Keluar Rumah’ dan juga ‘Doa Menaiki Kenderaan’ apabila keluar rumah menghantar anak ke sekolah ataupun pergi ke tempat kerja.

Bagi perlindungan anak, ibu bapa disarankan membaca ‘Doa Perlindungan Anak’ seperti mana yang dibacakan oleh Nabi ﷺ buat cucunya al-Hasan dan al-Husin iaitu:

‌أُعِيذُكُمَا ‌بِكَلِمَاتِ ‌اللَّهِ التَّامَّةِ كُلِّهَا مِنْ كُلِّ شَيْطَانِ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ.

“Aku meminta perlindungan Allah untuk kalian berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada gangguan setiap syaitan dan binatang berbisa serta daripada pandangan mata yang menyakitkan.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Yakinlah bahawa keberkatan dan kelebihan itu ada dalam beramal dengan al-Sunah.

Ada pula amalan tokok tambah yang direka-reka bukan sahaja sia-sia malah ia mematikan al-Sunah.

Ini tidak wajar.

CATATAN

Mereka yang membuat tokok-tambah amalan-amalan baharu dalam agama dikhuatiri akan termasuk dalam kalangan golongan yang Nabi ﷺ berlepas diri dan menghalau mereka dari telaga haudhnya di akhirat nanti sebagaimana sabdanya:

سُحْقًا سُحْقًا لِمَنْ بَدَّلَ بَعْدِي.

“Menjauh-menjauh buat mereka yang melakukan perubahan selepas pemergianku”

[Sahih. Riwayat Ahmad]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
18 Safar 1444H
15 September 2022

Similar Posts

  • | | |

    WALI ALLAH?

    WALI ALLAH? Syukur atas nikmat ISLAM dan SUNAH. Sabda Nabi ﷺ: تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ رَسُولِهِ. “Aku tinggalkan buat kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Sunah RasulNya”. Hadis hasan. Riwayat Imam Malik….

  • |

    ISLAM MEMERANGI KEGANASAN

    Keamanan merupakan nikmat besar kurniaan Allah ﷻ. Maslahat negara dan masyarakat tidak akan dapat direalisasikan tanpa ada keamanan. Justeru sebarang tindakan menggugat keamanan dan keharmonian awam menyalahi syariat Islam, hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar. Termasuklah perbuatan menumpahkan darah dan membunuh nyawa yang tidak berdosa. Firman Allah ﷻ: مَن…

  • Takkan majoriti orang semua salah

    Kebenaran tidak diukur dengan mana-mana individu. Sebaliknya seseorang itu diukur dengan kebenaran. Kebenaran ialah apa yang menepati dalil Al-Quran dan hadis sahih tanpa mengira berapa ramai yang menerimanya atau menolaknya. Hanya kerana sesuatu pendapat itu diterima atau ditolak oleh orang-orang tertentu; sedikit atau ramai maka ia bukan dalil yang menunjukkan…

  • |

    USTAZ WUHAN

    USTAZ WUHAN Tersebutlah cerita ceramah di sebuah masjid … Seorang penceramah berkata: “Tuan-tuan…Coronavirus dah disebut dalam al-Quran dan hadis semenjak 1400 tahun yang lepas…Allah telah pun memberi peringatan dan amarannya…” Lalu dia membaca firman Allah: وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ … وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ “Dan kami ingatkan manusia… wahnan ‘ala wahn” (Luqman, 31:…

  • |

    BAHAGIA HAKIKI BUKAN DENGAN HARTA

    Firman Allah ﷻ: فَلَا تُعۡجِبۡكَ أَمۡوَٰلُهُمۡ وَلَآ أَوۡلَٰدُهُمۡۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَتَزۡهَقَ أَنفُسُهُمۡ وَهُمۡ كَٰفِرُونَ “Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada kekayaan harta dan anak-anak mereka (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan kekayaan dan anak-anak mereka itu dalam kehidupan dunia, dan hendak…