Fire Fire
|

USTAZ IQBAL ZAIN (UIZ): ADA MANUSIA MENYOAL MALAIKAT DALAM KUBUR

Saya melihat UIZ membawa banyak pemikiran yang celaru.

Dalam sebuah komen di media sosial baru-baru ini, UIZ berkata:

“Imam al-Qurtubi dalam al-Tadhkirah bi Ahwal Mawta wa al-Akhirah meriwayatkan bahawa bukan semua manusia disoal oleh malaikat kerana ada manusia yang menyoal malaikat.”

Ada manusia yang menyoal malaikat?

Kenyataan ringkas sebegini tentunya lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding jawapan kerana UIZ tidak memberi sebarang huraian lanjut.

Pertamanya, ini merupakan kenyataan UIZ sendiri, bukan Imam al-Qurtubi.

Adapun Imam al-Qurtubi dalam al-Tadhkirah bi Ahwal al-Mawta wa al-Akhirah, beliau berkata:

“Beriman dengan azab kubur dan ujiannya (fitnah kubur) adalah wajib manakala memperakui kebenarannya merupakan satu kelaziman berdasarkan apa yang telah dikhabarkan oleh Nabi ﷺ (al-Sadiq).”

Katanya selanjutnya:

“Apabila Nabi ﷺ mengkhabarkan tentang orang-orang mati diuji dalam kubur dan pertanyaan dua malaikat Mungkar dan Nakir kepadanya, Omar al-Khattab radiallahuanhu berkata: Wahai Rasulullah, adakah akalku akan dikembalikan kepadaku? Nabi ﷺ menjawab: Ya. Kata Omar: Aku mencukupkan engkau daripada mereka berdua. Demi Allah jika mereka berdua menyoalku nescaya aku akan menyoal mereka kembali dengan berkata: Tuhanku ialah Allah, siapakah pula tuhan kamu berdua?”

Demikian kenyataan Imam al-Qurtubi yang menukilkan kenyataan Omar al-Khattab di atas tanpa membawa sebarang sanad.

Jika riwayat ini yang dimaksudkan oleh UIZ maka sewajarnya beliau menyemak dahulu status kedudukan riwayatnya terlebih dahulu.

Secara prinsipnya mana-mana riwayat yang dinukilkan tanpa sanad adalah daif.

Dan daripada carian yang telah dilakukan, athar Omar al-Khattab di atas memang tidak sabit dalam mana-mana riwayat.

Sebaliknya hakikat bahawa semua manusia akan disoal oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dalam kubur telah sabit dalam banyak hadis sahih. Antaranya:

Sabda Nabi ﷺ:

الْعَبْدُ ‌إِذَا ‌وُضِعَ ‌فِي ‌قَبْرِهِ وَتُوُلِّيَ وَذَهَبَ أَصْحَابُهُ، حَتَّى إِنَّهُ لَيَسْمَعُ قَرْعَ نِعَالِهِمْ، أَتَاهُ مَلَكَانِ فَأَقْعَدَاهُ، فَيَقُولَانِ لَهُ: مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيَقُولُ: أَشْهَدُ أَنَّهُ عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ، فَيُقَالُ: انْظُرْ إِلَى مَقْعَدِكَ مِنَ النَّارِ، أَبْدَلَكَ اللهُ بِهِ مَقْعَدًا مِنَ الْجَنَّةِ. َيَرَاهُمَا جَمِيعًا، وَأَمَّا الْكَافِرُ، أَوِ الْمُنَافِقُ، فَيَقُولُ: لَا أَدْرِي، كُنْتُ أَقُولُ مَا يَقُولُ النَّاسُ، فَيُقَالُ: لَا دَرَيْتَ وَلَا تَلَيْتَ، ثُمَّ يُضْرَبُ بِمِطْرَقَةٍ مِنْ حَدِيدٍ ضَرْبَةً بَيْنَ أُذُنَيْهِ، فَيَصِيحُ صَيْحَةً يَسْمَعُهَا مَنْ يَلِيهِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ.

“Apabila manusia itu dikebumikan dalam kuburnya dan sahabat handainya meninggalkannya sesungguhnya dia mendengar derapan langkah mereka pergi. Setelah itu datang kepadanya dua malaikat yang akan mendudukkannya lalu berkata kepadanya: Apakah yang kamu katakan tentang lelaki ini yakni Muhammad ﷺ? Maka dia (orang Mukmin) akan berkata: Aku bersaksi bahawa dia ialah hamba Allah RasulNya. Maka dikatakan kepadanya: Lihatlah tempat dudukmu dalam neraka yang Allah telah menggantikannya dengan tempat duduk dalam syurga. Maka dia melihat kedua-duanya. Adapun orang kafir atau munafik maka dia akan berkata: Aku tidak tahu sebaliknya aku hanya mengatakan apa yang dikatakan oleh manusia. Maka dikatakan kepadanya: Kamu memang tidak tahu dan kamu tidak membaca. Kemudian dia dipukul dengan pemukul besi di antara kedua-dua telinganya lalu dia menjerit dengan jeritan yang didengar oleh sekalian makhluk yang ada di sekitarnya kecuali jin dan manusia.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Dalam hadis lain sesudah menjelaskan tiga soalan yang akan ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nakir, Nabi ﷺ bersabda:

“Itulah fitnah (ujian) terakhir yang dihadapkan kepada Mukmin dan itulah yang difirmankan oleh Allah “Dia (Allah) meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia.” (Al-Quran, Ibrahim, ayat 27)

[Hadis sahih. Riwayat Abu Daud]

——————-

Hadis tentang Azab Kubur & Soalan Mungkar dan Nakir:

HADIS AL-BARA’ BIN AZIB TENTANG AZAB KUBUR

——————-

Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa soalan malaikat Mungkar dan Nakir adalah umum kepada semua manusia tanpa kecuali, dan ini merupakan pegangan Ahli Sunah Wal Jemaah, berbeza dengan fahaman Muktazilah yang menafikannya.

Justeru kenyataan UIZ bahawa bukan semua manusia akan disoal oleh malaikat dalam kubur (bahkan ada manusia yang akan menyoal malaikat) adalah keliru dan tidak bersandarkan kepada mana-mana nas sahih.

CATATAN:

Saya dimaklumkan bahawa beliau ada membalas kritikan saya sebelum ini tentang dakwaannya bahawa hadis daif adalah untuk diamalkan, bukan ditinggalkan.

Ada masa saya akan membalasnya semula insya-Allah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
29 Zulkaedah 1443H /
29 Jun 2022

Similar Posts

  • |

    PENDEKNYA HIDUP DI DUNIA

    PENDEKNYA HIDUP DI DUNIA Perjalanan hidup di dunia teramat pendek sekali. Allah ﷻ berfirman: مِن نُّطۡفَةٍ خَلَقَهُۥ فَقَدَّرَهُۥ ثُمَّ ٱلسَّبِيلَ يَسَّرَهُۥ ثُمَّ أَمَاتَهُۥ فَأَقۡبَرَهُ. “Dari air pekat diciptakannya serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik atau buruk) dimudahkan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil yang mana satu). Kemudian…

  • |

    AJAR ANAK MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH

    Tular video di negara Arab seorang anak kecil berjalan ke masjid untuk solat Subuh lalu dikejar sekawan anjing. Menariknya anak kecil itu lari sambil menjerit mengucap dua kalimah syahadah: ‘Asyhadu anla ilaha illallah,wa asyhadu anna Muhammad Rasulullah’ (Aku bersaksi tiada sembahan kecuali Allah, dan Muhammad utusan Allah) kemudian tidak semena-mena…

  • |

    IJAB KABUL NIKAH

    Antara syarat sah nikah ialah ijab kabul di samping adanya suami, isteri, wali dan dua orang saksi. Ijab ialah penawaran manakala kabul ialah penerimaan. Jika wali perempuan kata “Aku nikahkan fulanah” dan calon suami kata “Aku terima” maka selesailah akad nikah itu. Jika kelima-lima syarat di atas dipenuhi maka nikah…

  • |

    BILL GATES – MENGURANGKAN POPULASI DUNIA

    BILL GATES – MENGURANGKAN POPULASI DUNIA (HUMAN DEPOPULATION) “Dunia hari ini mempunyai 6.8 bilion orang dan sedang menuju ke arah mencapai kira-kira 9 bilion. Sekiranya kita dapat melakukan apa yang terbaik untuk menghasilkan vaksin baharu, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan kelahiran, berkemungkinan kita akan dapat mengurangkannya sebanyak 10-15 peratus” –…

  • |

    SYEIKH AL-ALBANI GEMAR MENONTON BOLA?

    Terkejut membaca dakwaan seorang pensyarah Arab Saudi bahawa ulama besar Syeikh al-Albani rahimahullah gemar menonton bola sepak dan ada menyokong pasukan bola liga Eropah tertentu. Tiada sumber rujukan yang diberikan selain daripada mengatakan bahawa beliau mendengarnya daripada murid Syeikh al-Albani melalui orang-orang tertentu yang tidak dinamakannya. Jelasnya pensyarah ini tidak…