Business handshake

TITIK PERDAMAIAN / JALAN PENGHUBUNG ANTARA ALIRAN SALAFI – ASY’ARI?

Ada yang berkata baru-baru ini:

“Kita mencari titik perdamaian antara kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari.”

“Kita mengetengahkan jambatan penghubung antara kedua-dua pemahaman Salaf dan Asyairah.”

Kedua-dua kenyataan di atas hampir senada dengan slogan yang diketengahkan oleh Hasan al-Banna “Kita bekerjasama dalam apa yang kita sepakat dan kita saling memaafkan dalam apa yang kita selisih” berkenaan pendekatan gerakan Ikhwan Muslimin dengan aliran-aliran lain termasuklah Rafidah (Syiah), Ahli Kalam, Asya’irah, sufi, haraki, mazhabi dan yang lain.


Slogan Gerakan Ikhwan Muslimin:

“KITA BEKERJASAMA DALAM APA YANG KITA SEPAKAT”


Slogan Ikhwan Muslimin ini dikritik oleh para ilmuwan Salafi kerana ia menjejaskan tanggungjawab nasihat, tegur-menegur serta amar makruf dan nahi mungkar yang diperintahkan oleh agama.

Tambah pula, kesudahannya ia akan membuatkan Muslim itu berkompromi dalam banyak perkara yang tidak sepatutnya seperti dalam hal-hal yang melibatkan manhaj dan akidah.

Sudah sedia maklum bahawa kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari mempunyai perbezaan-perbezaan yang cukup ketara antara satu sama lain. Malah boleh dikatakan perbezaan antara kedua-duanya ibarat langit dan bumi. Cukup berbeza.

Salafi ialah nisbah kepada generasi Salaf iaitu tiga generasi paling awal dalam Islam; Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin manakala Asya’irah ialah nisbah kepada Abu al-Hasan al-Asy’ari (wafat 324H).

Aliran Salafi menekankan pendekatan berpegang kepada wahyu (naqal) iaitu Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat, Tabiin dan Tabi al-Tabiin sedangkan aliran Asya’irah pula adalah salah satu daripada empat kumpulan Ahli Kalam di samping Jahmiah, Muktazilah dan Maturidiah yang mendukung pemikiran falsafah serta metodologi mentafsirkan Al-Quran dan al-Sunah mengikut pemahaman akal (logik).

Antara perbezaan yang paling ketara di antara kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari ialah pendekatan Asya’irah (dan Ahli Kalam secara amnya) mentakwilkan nas-nas Al-Quran dan al-Sunah dengan pelbagai makna majaz bagi menyesuaikan antara akal dengan wahyu kerana alasan bahawa petunjuk akal adalah pasti (qatie) manakala petunjuk wahyu adalah sangkaan (zanni).

Ini menyebabkan golongan Asya’irah menetapkan bahawa petunjuk akal wajib didahulukan atas petunjuk nas wahyu manakala kedua-dua Al-Quran dan al-Sunah perlu ditafsirkan mengikut makna yang bersesuaian dengan akal.

Kesudahannya, golongan Asya’irah bersikap melampau dalam mentahkimkan akal serta menolak nas-nas syariat dengan hujah-hujah akal atas alasan bahawa petunjuk akal bersifat pasti manakala petunjuk wahyu adalah sangkaan di samping mengandaikan adanya pertembungan antara kedua-dua petunjuk akal dan wahyu.

Maka timbul persoalan, apakah titik perdamaian yang nak dicari antara kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari dan apakah jambatan penghubung antara kedua-duanya?

Sedangkan sudah jelas wujud perbezaan yang cukup mendasar antara kedua-dua aliran ini; salah satunya menekankan kewajipan berpegang kepada nas wahyu mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ manakala yang satu lagi mewajibkan petunjuk akal mereka dalam memahami nas Al-Quran dan al-Sunah.

Justeru berdasarkan penerangan di atas para pendakwah Sunah seharusnya terus tegar dan tabah mengajak umat Islam kembali menghayati Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ dan meninggalkan semua fahaman-fahaman selainnya yang muncul sesudah tiga generasi awal Islam yang dipuji oleh Nabi ﷺ dalam sabdanya:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.

“Sebaik-baik manusia ialah kurunku (para Sahabat), setelah itu mereka yang datang kemudian (Tabiin) dan setelah itu mereka yang datang kemudian (Tabi Tabiin).”

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Tambah lagi, mereka yang berpegang kepada Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ dipuji sebagai ‘Kumpulan yang Selamat’ (al-Firqah al-Najiah) manakala mereka yang menyalahinya diberi ancaman sebagaimana dalam hadis Perpecahan Umat di mana baginda ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan. Semua mereka dalam neraka kecuali satu golongan sahaja. Baginda ditanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: MEREKA YANG BERADA DI ATAS JALANKU DAN JALAN PARA SAHABATKU.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi]


Ikut Fahaman Sahabat Nabi ﷺ:

IKUT FAHAM SAHABAT NABI ﷺ


Sanggahan Tuduhan Salafi Bersikap Keras:

GOLONGAN SALAFI BERSIKAP KERAS?


Kesudahannya keredaan Allah ﷻ jualah yang seharusnya dicari, dan antara tanggungjawab para ilmuwan Sunah ialah menjelaskan kebenaran kepada manusia dan menzahirkannya, membezakan antara yang benar dan palsu, yang baik dengan yang buruk, menyatakan perkara yang dibolehkan dan yang dilarang di samping menerangkan akidah yang benar berbanding akidah yang rosak agar mereka yang mencari kebenaran mendapat petunjuk dan mereka yang tersesat kembali ke pangkal jalan manakala mereka yang degil ditegakkan hujah ke atas mereka.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan hidayah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Zulkaedah 1443H /
21 Jun 2022

Similar Posts

  • DAKWAH SALAF

    Dakwah yang cantik, hebat lagi sempurna. Dakwah yang berkat. Dakwah para nabi dan rasul yang menyeru kepada tauhid – tauhid ibadah, tauhid ketuhanan serta tauhid asma dan sifat. Dakwah yang memerangi syirik dalam segala bentuknya, menyeru kepada al-Sunah, memerangi bidaah, menyeru kepada ketaatan, memerangi maksiat, mengajak kepada ilmu, memerangi kejahilan,…

  • GELARAN YANG DIBERI LAWAN KEPADA DAKWAH SALAF

    – Gelaran yang diberi lawan – Taimiyyah, Wahhabiyyah – Jamiyyah, Madkhaliyyah Dakwah Salaf ialah dakwah yang mengajak masyarakat Islam kembali menghayati ajaran Islam sebenar seperti mana yang terkandung dalam Al-Quran dan al-Sunah serta mengikut apa yang dipraktikkan oleh para Sahabat Nabi ﷺ. Salaf yang dari sudut bahasanya bererti ‘pendahulu’ adalah…

  • | |

    SIKAP ASYAIRAH TERHADAP DALIL AL-QURAN & AL-SUNAH

    Berikut ialah tiga sikap utama golongan Asyairah: Tiga sebab utama mengapa golongan Asyairah mengagungkan dalil akal sehingga mendahulukannya atas dalil Al-Quran dan al-Sunah ialah: Golongan Asyairah beranggapan bahawa terdapat perkara-perkara dalam kedua-dua Al-Quran dan al-Sunah yang bertentangan dengan akal. Ini membuatkan mereka mempertikaikan Al-Quran dan al-Sunah dari kedua-dua sudutnya; sanad…

  • | |

    MENYESAL TAK IKUT SUNAH

    Mereka yang meninggalkan Sunah Nabi ﷺ akan menyesal di akhirat nanti. Sebagaimana firman Allah ﷻ: وَيَوۡمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيۡهِ يَقُولُ يَٰلَيۡتَنِي ٱتَّخَذۡتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلٗا “Pada hari orang-orang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama…

  • JALAN DAKWAH

    Dakwah menyeru manusia kepada agama Allah perlulah berdasarkan kepada keterangan dan bukti jelas nyata. Bukan atas kejahilan dan kesesatan. Kerana asas agama Islam ialah Al-Quran dan al-Sunah. Demikian hendaklah Al-Quran dan al-Sunah itu difahami mengikut fahaman generasi pendahulu Islam yang mulia, golongan Salaf al-Soleh, para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin….

  • TIDUR SEBELAH KANAN ATAU KIRI? BEZA TIDUR NYENYAK ATAU TIDAK

    – Tidur mengiring sebelah kanan lebih mudah terjaga Ulama menjelaskan bahawa tidur mengiring sebelah kanan tidak nyenyak berbanding sebelah kiri. Ini kerana hati (jantung) manusia tergantung di sebelah kiri dan sekiranya seseorang itu tidur mengiring sebelah kirinya nescaya tidurnya akan nyenyak kerana merasa senang dan enak. Berbeza jika tidur mengiring…