|

BELAJAR DIAM

BELAJAR DIAM

# Menjaga lisan
# Menulis di media sosial

Barang siapa menjaga lisannya maka dia akan merasa tenang. Menyesal kerana berdiam lebih baik daripada menyesal kerana berkata.

Perbuatan berdiam akan merehatkan akal manakala berkata-kata akan mengejutkannya. Tidak ada kebaikan dalam kehidupan melainkan bagi dua orang; orang yang berdiam dalam keadaan peka dan orang alim yang berbicara.

Menjadi kewajipan atas orang yang berakal supaya tidak beradu dengan orang lain dan tidak menyampuk dalam bicara mereka. Ini kerana walaupun berkata-kata ada faedahnya tetapi berdiam pada masanya akan meletakkan seseorang itu pada kedudukan yang tinggi.

Seseorang itu boleh disifatkan sebagai jahil kerana berdiam tetapi jika dia banyak berkata-kata maka hal tersebut pun boleh menampakkannya sedemikian.

Allah ﷻ meninggikan darjat lisan atas sekalian anggota yang lain. Tidak ada mana-mana anggota badan yang boleh menjana pahala yang lebih besar daripada lisan sekiranya ia melakukan hal-hal ketaatan. Demikian sebaliknya jika ia melakukan hal-hal kemaksiatan.

Adalah menjadi kewajipan atas orang yang berakal supaya mempelajari cara berdiam dan hanya bercakap apabila perlu.

Betapa ramainya orang yang menyesal kerana berkata-kata dan jarang sekali orang menyesal kerana berdiam. Orang yang paling banyak sengsara dan paling banyak mendapat musibah ialah orang yang diuji dengan lisan yang tidak ditambat dan hati nurani yang tertutup.

Lisan orang yang berakal berdiri di belakang akal budinya. Sekiranya dia mahu berkata-kata maka dia akan merujuk kepada hati jantungnya dahulu. Jika terdapat keperluan maka dia akan berkata-kata. Jika tidak maka dia akan berdiam. Sedangkan orang jahil akal budinya terletak di hujung lisannya. Apa sahaja yang terlintas dalam fikirannya maka dia akan mengungkapkannya.

Seseorang itu tidak akan dapat menjaga agamanya sekiranya dia tidak dapat menjaga lisannya. Kerana itu jika lisannya baik maka kesannya akan nampak pada seluruh anggota badan yang lain. Demikian jika sebaliknya.

Orang yang berakal akan menjaga tindak-tanduknya jangan sampai ada kecacatan atau keaiban pada dirinya. Sesungguhnya kecacatan yang paling besar yang akan merosakkan hati nurani dan menghilangkan kebaikan yang ada pada diri ialah perbuatan banyak bercakap sekalipun dalam hal-hal yang diharuskan.

Tiada jalan bagi seseorang itu untuk mengawal percakapannya (supaya lebih banyak berdiam daripada berkata-kata) kecuali dengan dia meninggalkan bual bicara yang harus baginya.

Orang-orang Salaf dahulu sangat prihatin supaya dapat mengurangkan bercakap melainkan dalam apa yang bermanfaat.

Kata Abu ad-Dardaa’ RA:

تَعَلَّمُوا الصَّمْتَ كَمَا تَعَلَّمُونَ الكَلامَ.

“Belajarlah diam seperti mana kamu belajar bercakap.”

[Riwayat al-Kharaiti, Makarim al-Akhlak, no. 397]

Sabda Nabi ﷺ:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ‌فَلْيَقُلْ ‌خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ.

“Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Firman Allah ﷻ:

مَّا يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٞ

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan mencatatkannya).”

CATATAN:

Pada hari ini kebanyakan bicara tertumpu di media sosial seperti Facebook, Twiter dan sebagainya. Sedangkan ini lebih berbahaya khususnya jika melibatkan tulisan jelek yang barangkali akan terus kekal dan dapat dibaca oleh ramai orang. Kesudahannya ia menjadi dosa jariah, waliyazubillah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
02 Muharam 1443H /
11 Ogos 2021

Similar Posts

  • | |

    “KENAPA MALU SANGAT?”

    “KENAPA MALU SANGAT?” # Pentingnya rasa malu Barangkali kita biasa dengar soalan seperti ini. Tahukah anda bahawa Nabi ﷺ pernah menegur seorang lelaki yang berkata sedemikian kepada saudaranya? Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar radiallahuanhu, bahawasanya Nabi ﷺ melewati seorang lelaki yang sedang menegur saudaranya kerana sifat malunya….

  • | |

    AGAMA IKUT SUNAH; BUKAN PETUA

    Ada pihak menyarankan untuk mendapat fadilat malam Lailatulqadar dianjurkan membaca surah al-Fatihah tiga kali, al-Zalzalah dua kali, al-Kafirun empat kali, al-Ikhlas tiga kali dan Yaasin sekali. Ini berdasarkan petua ulama, menurutnya. Perlu ditegaskan bahawa amalan ini tiada asasnya dalam al-Sunah dan tidak pernah dilakukan oleh generasi pendahulu umat Islam Salaf…

  • |

    JANGAN MUDAH ‘KOYAK’

    Jika anda menyibukkan diri memikirkan tentang orang yang telah menyakitimu maka anda juga bersekongkol dengannya dalam menyakiti dirimu. Abaikan sahaja. Jangan dilayan cercaan orang-orang yang jahil. Firman Allah ﷻ: وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا “Dan para hamba Allah ialah mereka yang berjalan di…

  • |

    USTAZ IQBAL ZAIN (UIZ): ADA MANUSIA MENYOAL MALAIKAT DALAM KUBUR

    Saya melihat UIZ membawa banyak pemikiran yang celaru. Dalam sebuah komen di media sosial baru-baru ini, UIZ berkata: “Imam al-Qurtubi dalam al-Tadhkirah bi Ahwal Mawta wa al-Akhirah meriwayatkan bahawa bukan semua manusia disoal oleh malaikat kerana ada manusia yang menyoal malaikat.” Ada manusia yang menyoal malaikat? Kenyataan ringkas sebegini tentunya…

  • |

    TAHZIR

    – Murid mengkritik guru Tahzir ialah membuat kritikan terhadap seseorang sehingga memberi amaran dan peringatan supaya dijauhi orang tersebut. Kritikan terhadap seseorang semestinya perlu didasari ilmu dan kebijaksanaan. Antara kesalahan dalam bab ini ialah apabila murid lantang mendahului guru-guru mentahzir seseorang guru secara spesifik. Ini tidak wajar. Cuai dan terburu-buru…

  • Ibnu al-Qayyim merupakan seorang tokoh ulama yang disegani

    Dalam masa yang sama, kita mengakui bahawa setinggi mana pun seseorang tokoh itu pendapat dan ijtihad mereka tetap perlu ditimbang dengan neraca Al-Quran dan as-Sunah sebelum diterima atau ditolak. Dan ternyata bahawa kenyataan beliau “Ilmu itu adalah firman Allah, sabda Rasulullah dan kata-kata Sahabat” bertepatan dengan nas-nas Al-Quran dan as-Sunah….