|

LELAKI PANJANG RAMBUT IKUT SUNAH NABI ﷺ?

LELAKI PANJANG RAMBUT IKUT SUNAH NABI ﷺ?

Memanjangkan rambut tidak termasuk dalam erti sunah yang diberi pahala kepada Muslim kerana ia merupakan antara perkara-perkara adat (bukan ibadah).

Tidak dinafikan bahawa Nabi ﷺ pernah memanjangkan rambutnya hingga ke paras cuping telinga atau hingga antara telinga dan bahunya. Jika panjang, baginda ﷺ menjalin rambutnya menjadi empat bahagian.

Dalam masa yang sama, Baginda ﷺ juga pernah mencukur rambutnya.

Sebagaimana baginda ﷺ tidak menjanjikan pahala bagi sesiapa yang memanjangkan rambutnya, baginda ﷺ juga tidak mengancam dengan dosa bagi sesiapa yang mencukurnya.

Hanya sahaja baginda ﷺ memerintahkan supaya seseorang itu memuliakan rambutnya dengan menyikat dan menjaganya secara bersederhana tanpa berlebih-lebihan.

Penting untuk difahami bahawa perbuatan Nabi ﷺ memanjangkan rambutnya dan menjalinnya menjadi empat bahagian merupakan sebahagian daripada URUF dan ADAT KEBIASAAN pada zaman itu.

Justeru sekiranya seseorang Muslim tinggal di suatu tempat di mana penduduknya tidak biasa dengan perbuatan itu atau ia dianggap sebagai mirip perbuatan golongan fasiq maka sewajarnya ia TIDAK dilakukan.

Demikian apa yang ditegaskan oleh Syeikh al-Uthaimin dan Syeikh al-Albani rahimahumallah.

Malah Syeikh al-Albani turut menegaskan bahawa sekiranya seseorang itu memanjangkan rambutnya atas alasan Sunah Nabi ﷺ dan kerana mahu menambah pahala, hakikatnya dia telah menyalahi Sunah Nabi ﷺ itu sendiri kerana Nabi ﷺ tidak pernah menyarankan sedemikian mahupun menganggapnya sebagai suatu ibadah penambah pahala.

Dalam masa yang sama, elok juga diingatkan bahawa sekalipun berambut panjang, tiada riwayat sahih bahawa Rasulullah ﷺ pernah solat dalam keadaan rambutnya terdedah TANPA PENUTUP KEPALA.

Oleh sebab itu para fuqaha sepakat menganjurkan kaum lelaki memakai penutup kepala dalam solat sama ada dengan serban atau seumpamanya, sehinggakan mazhab Hanafi menghukum MAKRUH lelaki yang solat tanpa penutup kepala.

Ini bererti lelaki berambut panjang dengan alasan mahu ikut Sunah Nabi ﷺ sekiranya dia solat di masjid TANPA PENUTUP KEPALA maka dia telah MENYALAHI Sunah Nabi itu sendiri daripada beberapa sudut iaitu:

Sudut pertama kerana menganggap memelihara rambut panjang adalah ibadah sedangkan ia adalah adat.

Sudut kedua kerana solat tanpa penutup kepala. Sekalipun ia juga adat tetapi memakai penutup kepala bagi kaum lelaki ada kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri dari sudut membezakan antara Muslim dengan kafir, menzahirkan syiar pakaian Muslim, lebih-lebih lagi apabila solat di masjid yang mana Muslim diperintahkan supaya memakai pakaian kecantikannya.

Serban, kopiah dan seumpamanya merupakan antara pakaian kecantikan Muslim tanpa syak.

Demikian juga jika dia solat dengan rambutnya terikat di belakang kerana hal itu turut ditegah sebagaimana dalam hadis Nabi ﷺ.

Justeru penting untuk dibezakan antara Sunah Ibadah (Ta’bbudi) yang dianjurkan atas Muslim untuk melaksanakannya, dengan Sunah Adat yang secara amnya membawa erti harus dengan perincian seperti di atas.

Bacaan lanjut:

Beza Sunah Ta’abbudi / Sunah Adat
https://www.facebook.com/idrissulaiman/posts/10220347690634216

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan hidayah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
Pentingnya beramal dengan ilmu
25 Jumadil Akhir 1442H /
07 Februari 2021
#http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • |

    USTAZ RASUL DAHRI BAPA SUSUAN?

    – Kenangan 8 tahun di Makkah Siapa sangka Ustaz Rasul bin Dahri – hafizahullah – pernah menjaga kami waktu kecil di Makkah semasa beliau dan ayah belajar di Universiti Umm al-Qura. Terkejut mendengar beliau berkata “Ana pernah jaga anta waktu kecil di Makkah” kerana ia hampir luput daripada ingatan. Maklumlah…

  • |

    MENCARI KEBENARAN ATAU BERSILAT LIDAH

    Dalam setiap permasalahan, sekiranya penjelasan yang mencukupi sudah diberikan maka bicara selebihnya akan membawa kepada perbalahan. Perbalahan di mana kebiasaannya lawan rasa kagum dengan pendapatnya sendiri, kebenaran yang dibawa jadi lemah, hati bertukar keras manakala kekeliruan dan kesulitan semakin bertambah. Muslim yang bijak akan menjauhi situasi-situasi seperti ini. Oleh itu…

  • | |

    I Follow Jesus???

    “I Follow Jesus”??? . . . Adakah seorang Muslim boleh mengucapkan perkataan-perkataan seperti ini? . . . Sekiranya diamati, kita tidak akan dapat lari daripada membuat kesimpulan bahawa perkataan ini adalah salah, atau paling tidak, seeloknya dielakkan kerana ia mengelirukan. . . . Ini kerana dalam sebuah peristiwa ketika mana…

  • |

    AMBILLAH PENGAJARAN

    AMBILLAH PENGAJARAN # Agamawan berideologi Ikhwani 1. Matlamat tidak menghalalkan cara Mahu MENEGAKKAN KEADILAN tetapi dengan cara KEZALIMAN menghina, memfitnah, menabur kebencian, menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Umat Islam… Ini semua HARAM. KESALAHAN tidak boleh dibalas dengan KESALAHAN. Buktinya, segala natijahnya menjadi TIDAK BERKAT dan TIDAK KEKAL LAMA. 2. Apa…

  • |

    LAUNGAN IQAMAT UNTUK JENAZAH?

    LAUNGAN IQAMAT UNTUK JENAZAH? # Qias dengan bayi yang baru lahir Sekalipun terdapat pandangan yang mengharuskan supaya dilaungkan azan buat jenazah yang baru diturunkan ke dalam kubur atas alasan mengqiaskannya dengan bayi yang baru lahir tetapi sebetulnya amalan ini tidak disyariatkan. Ini kerana ibadah yang bersifat Ta’abbudi iaitu ibadah yang…

  • |

    HIZBI

    Hizbi atau hizbiah berasal daripada perkataan Arab hizb (jamak ahzab) yang membawa erti kelompok atau puak. Sesiapa yang menyalahi manhaj Nabi ﷺ dan sunahnya maka dia termasuk dalam kalangan kelompok (hizb) yang menyimpang. Justeru sikap taksub kepada pemikiran atau kumpulan tertentu yang menyalahi Al-Quran dan as-Sunah di samping taat dan…