|

Ambil Rasuah Syirik?

Tular sebuah poster yang mendakwa:

“Orang yang ambil rasuah sebenarnya syirik kepada Tuhan kerana tidak percaya rezeki daripada Allah.”

Kenyataan ini kurang tepat dan mengelirukan.

Benar, ambil rasuah dosa besar. Pelakunya dilaknat Nabi ﷺ sebagaimana dalam hadis:

“Rasulullah ﷺ melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis sahih. Riwayat Abu Daud, no. 3580)

Namun, adakah orang yang ambil rasuah jatuh syirik? Jawapannya: Tidak.

Ini kerana rasuah ialah perbuatan maksiat, bukan dengan sendirinya suatu bentuk keyakinan atau kepercayaan dalam hati yang menjurus kepada syirik.

Selagi seseorang masih beriman kepada Allah, meskipun iman yang lemah, serta mengesakan Allah dalam ibadah, dia tergolong dalam kalangan ahli tauhid, walaupun dalam masa yang sama melakukan dosa besar seperti rasuah.

Adapun mengandaikan seseorang mengambil rasuah kerana tidak percaya rezeki datang daripada Tuhan, maka itu hanyalah sangkaan dan andaian semata-mata. Masakah hukum syirik boleh dijatuhkan semudah itu.

Terdapat pelbagai kemungkinan lain yang mendorong seseorang mengambil rasuah, seperti kelemahan iman, mengutamakan kepentingan dunia, mengejar kemewahan, ingin hidup selesa dan sebagainya. Semua dorongan ini tercela, tetapi tidak dengan sendirinya perbuatan syirik.

Usah melampau dan berlebih-lebihan dalam menjatuhkan hukum. Bersikap adil itulah yang lebih hampir kepada ketakwaan.

CATATAN

Perbuatan yang bukan syirik dihukum sebagai syirik, sedangkan perbuatan yang benar-benar mengandungi unsur syirik pula dikatakan sekadar tawassul. Mengelirukan.

Dr. Idris bin Sulaiman

Similar Posts