| |

Qasidah Syirik di Bandar Bersejarah

Tular di media sosial gambar-gambar sebuah program berlangsung di sebuah perkuburan tertentu di sebuah bandar bersejarah negara. Kelihatan para peserta berkumpul di sebuah kubur berpagar bagi mengikuti ritual-ritual tertentu.

Kelihatan terdapat sebuah papan tanda bersebelahan kubur berkenaan yang memaparkan tajuk dalam tulisan Arab yang bermaksud ‘Qasidah Salam Allah Wahai Para Pembesar yang Dimuliakan’. Di bawah tajuk tersebut tertera rangkap-rangkap qasidah berkenaan dalam bahasa Arab tanpa disertakan terjemahan bahasa Melayu.

Apa yang membimbangkan, penelitian terhadap makna qasidah ini mendapati bahawa kandungannya mengandungi ungkapan-ungkapan yang bertentangan dengan ajaran Islam, malah berunsur syirik kerana menjurus kepada permintaan bantuan dan pertolongan kepada orang mati, iaitu penghuni kubur berkenaan.

Antara ungkapan tersebut ialah:

1. قَصَدْنَاكُمْ طَلَبْنَاكُمْ (Kami menuju kepada kalian dan memohon kepada kalian)

2. تُعِينُونَا تُغِيثُونَا (Kalian membantu kami dan menyelamatkan kami daripada kesusahan)

3. بِهِمَّتِكُمْ وَجَدْوَاكُمْ (Dengan semangat dan manfaat yang kalian berikan)

4. وَفُزْنَا حِينَ زُرْنَاكُمْ (Dan kami memperoleh kejayaan ketika menziarahi kalian)

5. فَقُومُوا وَاشْفَعُوا فِينَا (Maka bangkitlah dan berilah syafaat (pertolongan) kepada kami)

Ungkapan-ungkapan di atas mengandungi makna yang sangat bermasalah. Ia menggambarkan pergantungan dan pengharapan kepada makhluk yang telah mati, termasuk permintaan bantuan dan pertolongan serta syafaat kepada mereka. Makna sedemikian membayangkan kepercayaan bahawa penghuni kubur mempunyai keupayaan untuk membantu dan memberikan syafaat kepada orang yang masih hidup.

Terdapat banyak nas Al-Quran dan hadis yang melarang perbuatan syirik serta perbuatan-perbuatan yang seperti ini.

Perlu ditegaskan bahawa antara bentuk kesyirikan masyarakat jahiliah dahulu ialah menyembah selain Allah – termasuklah orang-orang yang sudah mati – dengan kepercayaan bahawa sembahan-sembahan tersebut dapat memberikan syafaat kepada mereka di sisi Allah. Firman Allah:

وَيَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمۡ وَلَا يَنفَعُهُمۡ وَيَقُولُونَ هَٰٓؤُلَآءِ شُفَعَٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِ.

“Dan mereka menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka, dan mereka pula berkata: Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.”

[Al-Quran, Yunus, 10:18]

Ironinya, di perkuburan ini turut ada papan tanda yang melarang kegiatan yang boleh membawa kepada perbuatan syirik dan khurafat.

Diharapkan agar pihak berkuasa dapat menurunkan padan tanda qasidah berkenaan di samping menjalankan pemantauan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi mengelakkan perbuatan yang menyalahi syariat berlaku di perkuburan ini.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman

Kajang

17 Jamadilawal 1448H

28 Oktober 2026

Qasidah Syirik di Bandar Bersejarah

Qasidah Syirik di Bandar Bersejarah

Qasidah Syirik di Bandar Bersejarah

Qasidah Syirik di Bandar Bersejarah

Qasidah Syirik di Bandar Bersejarah

Similar Posts