WAJAH PEREMPUAN AURAT?

WAJAH PEREMPUAN AURAT?

Ini perselisihan ulama sejak dahulu tentang sama ada wajah perempuan (dan kedua telapak tangannya) aurat atau tidak.

Telah menjadi perdebatan (boleh dikatakan sengit) antara ulama besar zaman sekarang seperti Syeikh Al-Albani rahimahullah yang mengatakan ia BUKAN AURAT dan oleh yang demikian TIDAK WAJIB bagi kaum perempuan untuk menutup wajah dan kedua telapak tangan mereka, dengan rata-rata ulama Haramain semisal Syeikh Bin Baz dan Syeikh Uthaimin rahimahumallah yang mengatakan ia AURAT dan oleh yang demikian WAJIB atas kaum perempuan untuk menutup SELURUH TUBUH BADAN MEREKA termasuk kedua wajah dan kedua telapak tangan.

Tulisan sanggahan Syeikh Al-Albani dalam permasalahan ini menarik untuk dibaca. Ia sarat dengan dalil dan hujah yang barangkali tidak dapat ditemui di tempat lain.

Beliau merumuskan bahawa TIADA SAMA SEKALI dalil yang mewajibkan kaum perempuan menutup wajah mereka (dan kedua telapak tangannya).

Hanya sahaja ayat 59, Surah Al-Ahzaab tentang perintah atas wanita supaya ‘mendekatkan atas mereka jilbab-jilbab mereka’ yang sering dijadikan sebagai dalil yang mewajibkan.

Syeikh Al-Albani menjelaskan:

Jilbab ialah pakaian yang menutup seluruh tubuh badan dari atas kepala hingga ke bawah, dan menjulur dari BELAKANG.

Jilbab TIDAK PERNAH difahami oleh orang Arab sebagai pakaian untuk menutup muka.

Pakaian penutup muka disebut sebagai niqab (atau purdah dalam bahasa Melayu).

Maka sesiapa yang berdalilkan ayat tersebut untuk mengatakan wajibnya perempuan menutup mukanya, sungguh pemahamannya telah tersasar.

Kata Syeikh Al-Albani lagi, andai kata diterima dalil mereka bahawa jilbab adalah pakaian yang menutup muka, di sini timbul persoalan:

Bagaimana pula perempuan tersebut akan dapat melihat bagi membolehkannya berjalan sesudah matanya ditutup dengan jilbab tersebut???

Jika mereka kata, dibolehkan membuka bahagian kedua matanya, ini menimbulkan persoalan berikutnya iaitu:

Daripada mana datang pengecualian ini?

Sedangkan jilbab mengikut kefahaman kamu ialah pakaian yang menutup muka; yakni seluruhnya.

Bagaimana pula dikecualikan kedua mata (ada yang hanya mengecualikan sebelah mata) sedangkan kamu mengakui bahawa riwayat-riwayat yang menyebutkan tentang pengecualian ini SEMUANYA DAIF.

Jika mereka kata: Tidak dibuka bahagian mata, sebaliknya ditutup dengan kain yang jarang (tidak tebal) pada bahagian mata tersebut, bagi membolehkan perempuan tersebut melihat ketika berjalan.

Sekali lagi pengecualian ini musykil.

Semenjak bilakah seorang wanita boleh memakai pakaian yang jarang (walaupun hanya pada bahagian mata) sedangkan menurut kamu wajahnya ialah aurat (dan kedua mata termasuk dalam batasan muka), dan aurat perlu ditutup; dan sama sekali tidak boleh dengan pakaian yang jarang tak kira pada mana-mana bahagian aurat perempuan itu.

Di sini tampak lemahnya dalil yang mengatakan wajah perempuan adalah aurat dan ia wajib ditutup.

Akhirnya, sebagaimana yang disimpulkan oleh Syeikh Al-Albani rahimahullah, tidak wajib bagi seorang wanita menutup wajah dan kedua telapak tangannya.

Hanya sahaja ia DIANJURKAN (SUNAT) khususnya jika ia boleh menimbulkan fitnah pada kaum lelaki seperti sekiranya perempuan tersebut masih muda dan terdapat golongan lelaki muda di sekelilingnya.

Wallahu a’lam.

– Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (hafidzahullah) –
————————-
Sertai channel Telegram iSDC. Klik telegram.me/ilmusalafdotcom

[ Admin ]