ULASAN TERHADAP TULISAN USTAZ NASAIE HANAFFIE (UNH) TENTANG MIMPI BERTEMU RASULULLAH DAN AMALAN PENCEGAHAN COVID-19

ULASAN TERHADAP TULISAN USTAZ NASAIE HANAFFIE (UNH) TENTANG MIMPI BERTEMU RASULULLAH DAN AMALAN PENCEGAHAN COVID-19

Pada awalnya saya diminta memberi komen terhadap video klip kenyataan Mufti Pakistan Taqi Uthmani berkenaan amalan pencegahan Covid-19 tetapi pada hari ini (Rabu, 25.03.2020) saya dimaklumkan tentang tulisan UNH yang menyokong kenyataan Mufti tersebut.

Setelah meneliti tulisan UNH, saya dapati terdapat percanggahan dan kekeliruan pada tulisan beliau tersebut. Justeru saya merasa terpanggil untuk menulis ULASAN ini.

Kata UNH:

“1. Sebagaimana yang diketahui ramai, mimpi terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya ialah mimpi yang baik yang merupakan ilham dan berita gembira untuk orang beriman.”

ULASAN 1:

Apa yang dikatakan oleh beliau di sini benar. Hanya sahaja beliau tidak menjelaskan faedah atau kesan daripada mimpi yang baik itu. Sewajarnya dijelaskan sama ada ia boleh dijadikan sebagai sandaran amalan atau tidak?

Kata UNH:

“2. Mimpi bertemu Rasulullah ﷺ juga adalah haq dan benar sebagaimana yang diketahui dalam pelbagai hadis yang sahih dan mutawatir kewujudannya di kalangan umat ini.”

ULASAN 2:

Sekali lagi apa yang dikatakan oleh UNH adalah benar. Hanya sahaja beliau tidak menjelaskan faedah atau kesan daripada mimpi bertemu Rasulullah ﷺ.

Sewajarnya dijelaskan bagaimana sekiranya dalam mimpi tersebut disampaikan suatu amalan atau zikir, adakah ia boleh dijadikan sandaran untuk beramal dengannya atau tidak, khususnya jika amalan tersebut tidak didapati dalam hadis yang sahih.

Kata UNH:

“3. Apa yang disebut di dalam mimpi semasa bertemu Rasulullah ﷺ bukanlah syariat umum.”

ULASAN 3:

Apa yang dinyatakan oleh UNH di sini agak mengelirukan.

Apa maksud mimpi bertemu Rasulullah ﷺ bukan syariat umum?

Adakah ia syariat khusus? Ia bukan syariat umum untuk seluruh umat Islam tetapi syariat khusus untuk individu yang bermimpi itu? Adakah ini maksud beliau?

Sewajarnya beliau jelaskan. Dan bukan hanya membawa ayat yang berbentuk penafian. Nanti pembaca dituduh membuat kesimpulan daripada apa yang tidak dikata pula.

Tetapi sedikit sebanyak beliau mengakui bahawa apa yang disebut dalam mimpi semasa bertemu Rasulullah ﷺ bukan syariat. Yakni tidak boleh dijadikan sebagai sandaran hukum dan amalan.

Kata UNH:

“Namun dalam masa yang sama ia bukanlah batil yang pasti.”

ULASAN 4:

Ungkapan ini lagi mengelirukan.

Beliau pada mulanya menafikan bahawa apa yang disebut dalam mimpi semasa bertemu Rasulullah bukanlah syariat umum tetapi kemudian menjelaskan bahawa ia bukanlah batil yang pasti.

Dua penafian dalam satu ayat sehingga menyebabkan maksudnya menjadi sangat kabur.

Sewajarnya beliau jelaskan keadaan di mana ia batil dan keadaan di mana ia hak.

Lebih bagus sekiranya beliau jelaskan bahawa syariat Islam bersifat sejagat yakni untuk seluruh umat Islam dan tidak bersifat eksklusif untuk individu atau kelompok tertentu.

Segala suruhan dan larangannya adalah terpakai atas semua Muslim.

Islam juga bersifat sempurna dan lengkap, dan tiada mana-mana bahagian Agama yang kurang termasuk dalam bab zikir.

Kata UNH:

“Ia adalah berita gembira / bisyarah untuk si yang bermimpi dan umat ini.”

ULASAN 5:

Beliau tidak memperincikan maksud mimpi yang berupa berita gembira (bisyarah). Apakah maksudnya?

Adakah termasuk mimpi di mana seseorang itu mendapat saranan untuk melakukan amalan tertentu yang tidak terdapat dalam al-Quran atau hadis yang sahih?

Kata UNH:

“1. Apa yang disampaikan oleh Mufti Taqi Uthmani hafizahullah adalah daripada bab ini iaitu bisyarah.”

ULASAN 6:

Dapat dilihat di sini bahawa UNH keliru sebenarnya tentang maksud mimpi berita gembira (bisyarah).

Ia sama sekali tidak bermaksud mendapat syariat tertentu atau saranan untuk melakukan amalan tertentu.

Ini kerana Islam bersifat sejagat dan lengkap sebagaimana yang telah dijelaskan.

Kata UNH:

“2. Amalan tersebut ialah:

i. membaca surah al-Fatihah 3 kali.
ii. membaca surah al-Ikhlas 3 kali.
iii. membaca حسبنا الله ونعم الوكيل sebanyak 313 kali.”

ULASAN 7:

Apa yang disampaikan oleh Mufti Taqi Uthmani jelas merupakan suatu saranan untuk melakukan amalan tertentu.

Maka perlu dijelaskan sumber dari mana datangnya himpunan ketiga-tiga bacaan ini berdasarkan hadis yang sahih.

Jawapannya, tiada sama sekali.

Bahkan angka 313 itu sangat janggal lagi aneh.

Tidak ada dalam mana-mana zikir yang sahih disebut angka yang sedemikian.

Barang kali ia merujuk kepada bilangan tentera Badar? Apa pula kaitan zikir ini dengan bilangan tentera Badar? Sangat musykil.

Apa yang pasti ia merupakan suatu angka zikir yang baharu dan direka-reka dan diada-adakan dalam agama.

Dan mendakwa bahawa ia dapat memelihara daripada wabak covid-19 sangat mengerutkan dahi.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

“Barang siapa MENGADA-ADAKAN sesuatu yang baharu dalam urusan kami ini (Agama) maka ia TERTOLAK”

Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sabdanya lagi:

“Barang siapa beramal dengan suatu amalan yang TIDAK MENEPATI CARA KAMI maka ia TERTOLAK”

Sahih. Riwayat Muslim.

Kata UNH:

“3. Alhamdulillah saya juga telah mengamalkannya.”

ULASAN 8:

Apa tujuan beliau bertahmid di sini kurang jelas.

Adakah maksudnya jika beliau telah beramal dengannya maka ini merupakan suatu kesaksian akan kebenarannya?

Atau maksud beliau zikirnya mujarab?

Semenjak bila pula suatu amalan itu disabitkan kebenarannya berdasarkan kesaksian orang-orang tertentu?

Suatu amalan hanya dapat disabitkan kebenarannya jika ia terdapat dalam hadis yang sahih.

Maka apa yang sabit dalam hadis diamalkan manakala yang direka-reka dan diada-adakan ditolak sebagaimana maksud hadis Bukhari dan Muslim di atas.

Dan telah jelas bahawa amalan ini adalah berdasarkan kepada mimpi semata-mata.

Amalan ini tidak sabit sama sekali dalam mana-mana hadis yang sahih.

Kata UNH:

“Ia tidak bermakna kita mengabaikan zikir yang sahih.”

ULASAN 9:

Secara tidak sedar beliau telah mengakui kebatilan amalan yang beliau lakukan dalam kenyataan ini.

Maksud sebaliknya, beliau mengakui bahawa zikir yang beliau amalkan bukanlah zikir yang sahih.

Sedar atau tidak, beliau dalam tulisan ini mengajak orang ramai supaya beramal dengan suatu amalan yang jelas hanya berdasarkan kepada mimpi semata-mata.

Jika ini bukan memalingkan orang ramai daripada zikir yang ma’thur (berasal daripada Nabi ﷺ) maka apa lagi?

Apa yang pasti, beramal dengan amalan yang tiada sandarannya dalam as-Sunnah secara automatiknya bererti mengabaikan zikir yang sabit dalam as-Sunnah. Hakikat inilah yang UNH tidak faham.

Kata UNH:

“Mujurlah orang alim dan soleh itu memberitahu kepada Mufti Taqi Uthmani”.

ULASAN 10:

Soal siapa yang menukilkan mimpi ini tidak relevan.

Ini kerana mimpi sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai sandaran amalan.

Seperti mana yang diakui oleh UNH sendiri bahawa ia hanyalah suatu mimpi berita gembira.

Berita gembira kerana dapat bertemu dengan Rasulullah ﷺ. Tidak lebih daripada itu.

Itu pun jika benar yang ditemui dalam mimpi adalah Rasulullah dan bukan makhluk lain.

Perlu ditegaskan bahawa mimpi berita gembira bukanlah dengan mendapat suatu amalan atau zikir tertentu.

Sama sekali ini bukan termasuk dalam istilah mimpi berita gembira.

Bahkan ini secara pastinya merupakan mimpi daripada tipu daya syaitan yang mahu memalingkan manusia daripada beramal dengan zikir-zikir yang sabit dalam hadis yang sahih kepada zikir-zikir baharu yang direka-reka.

Kata UNH:

“Kalaulah dia sendiri yang nyatakan, maka akan bertambahlah kecaman bahawa JT didirikan dan berdiri di atas mimpi. Dan akan adalah yang kata, maulana-maulana dalam JT kuat tidur”.

ULASAN 11:

Sama ada UNH sedar atau tidak, beliau secara langsung telah mengakui bahawa Jemaah Tabligh (JT) berdiri di atas mimpi apabila menerima amalan yang sebegini.

Persoalan kuat tidur atau tidak satu perkara lain, apa yang pasti mereka memang menjadikan mimpi sebagai sandaran amalan seperti mana yang diakui oleh UNH dalam tulisan beliau ini.

Sekian ulasan saya.

Sumber tulisan UNH:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221249487604238&id=1158060811

Catatan:

Dalil dan hujah AGAMA ialah dengan firman ALLAH, sabda RASULULLAH dan amalan SAHABAT. Dalil itu bukan dengan apa kata si fulan atau apa mimpi si fulan.

Kepada ALLAH jua kita memohon petunjuk.

Idris bin Sulaiman
Kajang
Waktu hampir Maghrib
30 Rejab 1441H / 25 Mac 2020
https://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts