ULAMA BERBEZA PENDAPAT
ULAMA BERBEZA PENDAPAT
– Isu khilafiah, perselisihan ulama
“Ulama khilaf. Ini isu khilafiah. Jangan diperbesar-besarkan. Terpulanglah nak pilih pendapat mana. Mana yang dipilih itulah yang benar. Semua pendapat ini benar. Tiada sesiapa yang benar atau salah. Semuanya benar. Tiada paksaan. Kita perlu berlapang dada. Mereka yang memperbesarkan isu-isu khilafiah ialah Wahabi!”
Demikian barangkali reaksi yang didengar apabila berdepan dengan perbezaan pendapat dalam isu-isu agama sama ada dalam hal-hal akidah, fikah dan sebagainya.
Persoalannya, adakah ucapan-ucapan seperti di atas benar?
Hakikatnya ia perlu diteliti semula.
Pertamanya kita perlu sedar dan mengakui bahawa telah menjadi Sunnatullah (ketetapan takdir) bahawa manusia akan terus berselisih sampai bila-bila.
Firman Allah ﷻ:
“Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia semuanya menurut agama yang satu (tetapi Allah tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”
[Al-Quran, Huud, ayat 118]
Nabi ﷺ bersabda:
“Dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan, semuanya masuk neraka kecuali satu.”
[Sahih. Riwayat Abu Daud]
Maka Muslim seharusnya mengakui bahawa manusia akan terus berselisih pendapat antara mereka dan adalah sesuatu yang mustahil untuk mengharapkan mereka bersependapat dalam semua isu.
Walau bagaimanapun, adakah ini bererti bahawa perpecahan dan perbezaan pendapat ialah sesuatu yang baik dan terpuji?
Jawapannya tidak.
Allah ﷻ mewajibkan supaya umat Islam bersatu dan melarang mereka berpecah.
Maka umat Islam diperintahkan supaya mengurangkan perbezaan dan perselisihan sedaya yang mungkin.
Sebagaimana firman Allah ﷻ:
“Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu kembalikan ia kepada Allah dan Rasul.”
[Al-Quran, al-Nisaa’, ayat 59]
Lihat bagaimana dalam ayat di atas Allah ﷻ memerintahkan supaya umat Islam kembali kepada Al-Quran dan al-Sunah dalam mencari penyelesaian dan titik temu dalam apa jua perselisihan yang timbul antara mereka.
Dengan erti kata lain, sesuatu perbezaan pendapat itu hendaklah dinilai kedudukannya menurut dalil dan hujah, di mana akhirnya hanya pendapat yang selari dengan nas Al-Quran dan al-Sunah menurut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ yang diterima dan diamalkan.
Adapun pendapat yang menyalahi nas Al-Quran, menyalahi al-Sunah atau menyalahi fahaman para Sahabat Nabi ﷺ maka ia dikira pendapat lemah yang wajib ditolak.
Demikian sepatutnya pendirian Muslim dalam isu-isu khilafiah.
Oleh yang demikian, perlu ada usaha untuk mencari kebenaran, mengetahui dalil dan hujah bagi sesuatu isu dan menilai pendapat mana yang paling hampir dengan dalil Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ.
Adapun pendekatan taklid buta (taklid sememangnya buta), mengambil sesuatu pendapat tanpa mengetahui dalilnya, menutup ruang perbincangan dan berhujah, dan lebih buruk lagi menolak dalil Al-Quran dan al-Sunah semata-mata atas alasan bahawa ulama khilaf, ulama berbeza pendapat, perlu berlapang dada dan seumpamanya maka jawapan-jawapan seperti ini jelas lebih cenderung kepada mengajak umat Islam supaya terus kekal jahil, terus berselisih dan terus menjauh daripada Al-Quran dan al-Sunah.
Sememangnya diakui adanya khilaf perselisihan pendapat antara para ulama tetapi adalah salah jika Muslim tidak berusaha untuk mencari kebenaran dan mencari pendapat mana yang paling kuat dan menepati dalil.
Contohnya:
Dalam isu lelaki dan perempuan bersentuhan, adakah wuduk batal atau tidak?
Ulama khilaf.
Darah keluar daripada luka di badan semasa solat, adakah solat batal atau tidak?
Ulama khilaf.
(Dan seperti dalam kisah si mufti jahil yang ditanya adakah Allah wujud atau tidak? Dia langsung menjawab “Oh, ulama khilaf!”)
Dalam permasalahan-permasalahan di atas sebahagian mungkin berkata:
“Ini perkara khilafiah. Tak usah diperbesar-besarkan. Nanti masyarakat keliru. Jangan pecahbelahkan masyarakat. Terpulang kepada kita memilih pendapat mana yang betul!”
Jika ada pihak yang mahu membahaskan isu-isu ini, awas! Dia akan dituduh Wahabi!
Saya tertarik dengan kata-kata seorang ustaz yang menceritakan polemik ini:
“Apa hukum arak? Haram. Apa hukum judi? Haram. Apa hukum rokok? Oh, ada beza pendapat!”
Jelasnya pendekatan sebegini lebih kepada mengikut hawa nafsu, ikut cita rasa, tidak berminat untuk mengetahui dalil hujah pendapat lawan dan seolah-olah tidak mahu mengetahui kebenaran.
Lalu apa jua usaha ke arah berbincang, berhujah, berdiskusi dan mengkaji (tidak semestinya berdebat yang jika diadakan di hadapan khalayak maka ia lebih membuatkan masyarakat awam jadi keliru dan tidak keruan) dibalas dengan jawapan mudah:
“Ini isu khilafiah.” Noktah.
Barangkali ada yang sampai berhujah dengan kata-kata:
اخْتِلافُ أمَّتِي رَحْمَةٌ
.
“Perselisihan umatku ialah rahmat!”
Perlu ditegaskan bahawa ungkapan di atas bukan hadis. Malah tidak diketahui sumber asalnya.
Apa yang pasti ia merupakan kenyataan yang batil, tercela dan tertolak kerana syarak secara jelas menegah umat Islam daripada terus berselisihan.
Firman Allah ﷻ:
“Dan janganlah kamu berselisihan (kerana) jika tidak nescaya kamu menjadi lemah manakala kekuatan kamu akan hilang.”
[Al-Quran, Anfaal, ayat 46]
Akhirnya, jangan kerana kejahilan tentang isu-isu yang dibahaskan oleh para ulama ada pihak yang berdalih dan berkata:
Ulama khilaf! Anda Wahabi!
Tidak wajar.
Sebagai Muslim seharusnya dia terus menuntut ilmu dan mengkaji.
Sebagaimana kata pepatah Arab yang mafhumnya:
“Kebenaran itu ialah barang tercicir seorang Mukmin. Di mana jua dia mendapatinya maka dia lebih berhak kepadanya.”
Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.
Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Ogos 2017