TAUHID ORANG AWAM?
TAUHID ORANG AWAM?
Menurut sebahagian kelompok, TAUHID terbahagi kepada TIGA MARTABAT:
1. Tauhid orang awam / orang jahil / توحيد العامة ialah: La ilaha illa Allah (Tiada sembahan kecuali Allah)
2. Tauhid ORANG KHAS / orang istimewa / MAQAM PERTENGAHAN / توحيد الخاص ialah: ALLAH
Maka ucapan zikir mereka sekadar: Allah, Allah, Allah… atau Allahu, Allahu, Allahu…
3. Tauhid ORANG PALING KHAS / orang paling istimewa / MAQAM TINGGI / توحيد خاصة الخاصة : HU
Maka ucapan zikir mereka ialah: Hu, hu, hu…
Demikian falsafah mereka TANPA sebarang sandaran petunjuk daripada Al-Quran dan Hadis.
Hanya sahaja nas-nas yang mereka paksakan tafsirannya mengikut selera mereka sedangkan ia menyalahi amalan Nabi dan para Sahabat, di samping Ulama-Ulama muktabar semisal Imam Syafie rahimahullah dan yang lain.
Walhal jika kita tinjau Sunnah Nabi, Baginda dalam menjelaskan keutamaan dan peri pentingnya Kalimah Syahadah, Baginda bersabda:
من كان آخر كلامه لا إله إلا الله دخل الجنة
“Barangsiapa kalimah terakhirnya adalah ‘la ilaha illa Allah’ maka dia akan masuk syurga.”
Riwayat Abu Daud. Sahih.
Hadis di atas menunjukkan pentingnya kalimah tauhid ‘la ilaha illa Allah’ dan bahawasanya ia adalah kalimah yang melayakkan seseorang itu masuk Islam dan juga menjaminnya masuk syurga.
Adapun lafaz ‘Allah’, ‘Allahu’ , atau apatah lagi ‘hu, hu’, ia jelas adalah ayat yang tak lengkap dan tidak membawa apa-apa erti yang bermanfaat , bahkan tidak menjana apa-apa pahala kerana ia menyalahi petunjuk amalan Nabi dan para Sahabat.
Buat golongan tersebut, kita katakan kemukakan dalil bahawa Nabi pernah berzikir dengan ucapan: Allah, Allah, Allah…. atau Allahu, Allahu, Allahu.. atau hu, hu, hu…
Tunjukkan hadisnya, riwayatnya atau sumbernya…
Yakinlah, tiada bukti yang menyokong amalan mereka sama sekali. Hanya tafsiran dan andaian akal semata-mata.
Jangan lupa, menurut mereka, MAQAM SETERUSNYA ialah: Ha, ha, ha, dan kemudian hi, hi, hi dan entah apa lagi…
Jelas mereka ini adalah kaum yang dipalingkan oleh syaitan daripada petunjuk hidayah sehingga akhirnya amalan ibadah mereka tak ubah seperti permainan yang mengerutkan dahi orang yang melihat telatah mereka.
Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang menghayati maksud Kalimah Syahadah dan merealisasikannya dalam kehidupan serta ibadah kita dengan harapan moga-moga ia menjadi kalimah terakhir kita di dunia.
La ilaha illa Allah.
Tiada sembahan KECUALI ALLAH.