| |

SEMBAH KUBUR DI NEGARA ISLAM

Syeikh Muzammil Faqiri, seorang pendakwah Sudan menunjukkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para dai di negaranya.

Kelihatan beberapa bangunan berkubah tiga segi dibina di atas sesetengah kubur di Sudan.

Sesetengah masyarakat Islam di sana mempercayai bahawa penghuni kubur-kubur ini memiliki keistimewaan-keistimewaan di samping mampu memberi manfaat-manfaat tertentu buat para pengunjungnya seperti menurunkan hujan, mendatangkan zuriat dan sebagainya.

Kepercayaan syirik yang menyalahi akidah Islam yang suci.

Ini kerana Allah ﷻ berfirman:

وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّن يَدۡعُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَن لَّا يَسۡتَجِيبُ لَهُۥٓ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَهُمۡ عَن دُعَآئِهِمۡ غَٰفِلُونَ.

“Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang berdoa meminta dengan sesuatu selain Allah yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya sampailah ke Hari Kiamat, sedang makhluk-makhluk yang diseru itu tidak tahu menahu tentang permintaan mereka itu.”

[Al-Quran, al-Ahqaaf, 46: 5]

Firman Allah ﷻ:

قُلۡ أَنَدۡعُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَىٰٓ أَعۡقَابِنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ.

“Katakanlah: Patutkah kita berdoa dan meminta dengan selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak pula dapat mendatangkan mudarat; dan (patutkah) kita berundur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam).”

[Al-Quran, al-An’aam, 6: 71]

Kedua-dua ayat di atas menjelaskan kesesatan mereka yang meminta di alam ghaib daripada selain Allah ﷻ dan bahawasanya sembahan-sembahan yang diminta daripadanya itu tidak mampu memberi apa-apa manfaat buat para pemintanya.

Manusia diperintahkan supaya hanya meminta di alam ghaib daripada Allah ﷻ dan tidak menyekutukanNya dengan apa jua sembahan yang lain.

Firman Allah ﷻ:

قُلۡ إِنَّمَآ أَدۡعُواْ رَبِّي وَلَآ أُشۡرِكُ بِهِۦٓ أَحَدا.

“Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya berdoa dan meminta dengan Tuhanku semata-mata, dan aku tidak menyekutukanNya dengan sesiapapun.”

[Al-Quran, al-Jinn, 72: 20]

Mintalah pertolongan daripada Allah ﷻ nescaya Dia akan perkenankan.

Firman Allah ﷻ:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِي سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ.

“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permintaan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

[Al-Quran, Ghafir, 40: 60]

Justeru Muslim saban hari berikrar:

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ.

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami meminta pertolongan.”

[Al-Quran, al-Fatihah, 1: 5]

Inilah aku janji yang diucapkan oleh setiap Muslim setiap hari sekurang-kurangnya 17 kali sehari bahawasanya dia hanya menyembah Allah ﷻ dan meminta pertolongan daripadaNya semata-mata, tidak daripada yang lain.

CATATAN

Semoga Allah ﷻ pelihara akidah umat Islam di Malaysia dan yang lain daripada kesyirikan serta penyembahan kubur, nauzubillah.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
01 Rabiulakhir 1444H
27 Oktober 2022

Similar Posts