SALAFI ADA BANYAK ATAU HANYA SATU?

SALAFI ADA BANYAK ATAU HANYA SATU?

Perkataan Salaf adalah lawan kepada khalaf. Salaf ertinya ‘yang terdahulu’ atau ‘yang terawal’.

Dari sudut istilah pula Salaf merujuk kepada generasi Sahabat secara khasnya dan ketiga- tiga generasi pertama umat Islam secara amnya.

Perkataan Salafi pula merujuk kepada pemahaman serta praktik agama yang selari dengan amalan para Sahabat secara khasnya dan ketiga-tiga generasi pertama umat Islam secara amnya yang dipuji oleh Nabi ﷺ dalam sabdanya:

خَيْرُ ‌النَّاسِ ‌قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.

“Sebaik-baik manusia adalah kurunku, setelah itu mereka yang datang kemudian dan setelah itu mereka yang datang kemudian.”

(Sahih. Riwayat Tirmizi)

Maka perkataan Salafi tidak merujuk kepada mana-mana individu atau tokoh yang tertentu.

Sebaliknya ia merujuk kepada apa yang maksum iaitu ketiga-tiga generasi awal umat Islam yang mana Nabi ﷺ bersabda:

لَا ‌تَجْتَمِعُ ‌أُمَّتِي عَلَى ضَلَالَةٍ.

“Umatku tidak akan sepakat dalam kesesatan.”

(Sahih. Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan hadis inilah datangnya hujah ijmak kesepakatan seluruh ulama Islam dalam permasalahan Agama.

Dan berdasarkan pujian yang diberikan oleh Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ kepada para Sahabat, kelebihan dan keagungan mereka, serta pujian Nabiﷺ kepada ketiga-tiga generasi pertama umat Islam; generasi Sahabat, Tabiin dan Tabi’ Tabiin, kita diwajibkan kembali kepada kefahaman mereka dalam Al-Quran dan hadis serta praktik mereka dalam Agama secara keseluruhannya.

Justeru agama Islam bukanlah dengan mengikut akal, hawa nafsu, cita rasa ataupun dengan mengikat diri kepada mana-mana tokoh atau ulama dan menisbahkan diri kepada mereka.

Adapun dakwaan sebahagian pihak tentang adanya pelbagai jenis Salafi seperti Salafi Jihadi, Salafi Albani, Salafi Saudi, Salafi Madkhali dan sebagainya, hal ini umpama mengatakan adanya Islam Arab, Islam Barat, Islam kontemporari, Islam Nusantara dan seumpamanya. Ia tidak tepat.

Ini kerana Salafi merujuk kepada agama Islam yang benar. Dan sebagaimana Islam yang benar hanya satu maka begitulah Salafi.

Islam dan Muslim adalah seerti dengan Salaf dan Salafi.

Terdapat hanya satu jenis Salafi sahaja iaitu mereka yang memahami Agama mengikut fahaman Salaf as-Soleh.

Bagi mereka yang mendakwa diri mereka Salafi tetapi mereka menyalahi pegangan Salaf sama ada dari sudut akidah, ibadah, akhlak ataupun manhaj maka realitinya mereka bukanlah Salafi tetapi Ikhwani, Tablighi, Sufi, Haraki atau Mazhabi. Bergantung kepada kecenderungan mereka yang sebenar.

Ini kerana kedudukan seseorang itu dinilai mengikut pegangan mereka yang sebenar dan bukan pada sekadar dakwaan mereka.

Ramai sahaja yang mendakwa Islam, mencintai Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ tetapi persoalannya ialah sejauh manakah mereka berpegang kepada Sunah Nabi ﷺ dan amalan para Sahabat?

Justeru mereka yang membahagi-bahagikan Salafi kepada bermacam-macam jenis pada hakikatnya sama ada mereka jahil tentang maksud Salafi itu atau dia menaruh kebencian serta permusuhan terhadap manhaj Salaf yang mulia ini.