PERCAYA KEMUDIAN CARI DALIL

PERCAYA KEMUDIAN CARI DALIL

Ini adalah metode ahli bidaah dan pengikut hawa nafsu.

Mereka mempercayai sesuatu itu berdasarkan kecenderungan kefahaman mereka, citarasa atau nafsu, kemudian setelah itu mereka datangkan ‘dalil’ dan ‘hujah’ yang menyokong pandangan mereka tersebut.

Termasuk apa yang mereka akan cari adalah pandangan-pandangan ‘tokoh’ dan ‘pakar’ yang sependapat dengan mereka.

Ketika itu tokoh itu akan dijulang melangit dengan pelbagai pujian dan kata-kata sokongan. Manakala pandangan yang lain akan disanggah dan orangnya dicemuh.

Metode ini bertentangan sama sekali dengan metode Salaf As-Soleh.

Kita sentiasa disuruh kembali kepada Agama, dalil hujah Al-Quran dan Sunnah serta bukti-bukti yang nyata. Dan berdasarkan dalil-dalil ini kita buat kesimpulan dan kita beriman dengannya.

Maka dalil perlu didahulukan sebelum kita percaya dan beriman dengan sesuatu. Bukan sebaliknya dengan kita percaya sesuatu kemudian kita sedaya upaya datangkan ‘bukti’ yang menyokong kepercayaan kita itu.

Demikian juga untuk kita kenal seseorang tokoh.

Kata ulama Salaf:

اعْرَف الحَق تَعْرِف رِجَالَه.

Kenalilah kebenaran nescaya anda akan kenal orangnya.

Kebenaran dikenali berdasarkan hujah dan dalil bukan dengan tokoh si fulan dan si fulan.

Apa jaminan si fulan itu benar dan selamat? Tiada jaminan sama sekali kecuali jika dengan dalil dan hujah yang kukuh.

Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang sentiasa dipandu oleh kebenaran. Dan bukan nafsu dan emosi amarah.