|

MUSLIM KELIRU

– ‘Kesetiaan dan Berlepas Diri’

– Warganet ‘miskin simpati’?

Atas dasar kalimah syahadah ‘lailahaillallah’ lahirlah prinsip ‘Kesetiaan dan Berlepas Diri’ yang dituntut atas setiap Muslim.

Prinsip ini juga disebut sebagai Wala’ dan Bara’.

Setiap Muslim wajib menzahirkan kesetiaannya kepada orang-orang beriman, mencintai dan menyokong mereka (Wala’).

Dalam masa yang sama, Muslim diperintahkan supaya berlepas diri daripada golongan kuffar, membenci dan memusuhi mereka (Bara’).

Ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim terhadap kaumnya yang kufur lalu ia menjadi suri teladan bagi umat Islam.

Allah ﷻ memuji Nabi Ibrahim dan para pengikutnya yang dengan nada tegas berkata kepada kaumnya:

إِنَّا بُرَءَٰؤُاْ مِنكُمۡ وَمِمَّا تَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ كَفَرۡنَا بِكُمۡ وَبَدَا بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٰوَةُ وَٱلۡبَغۡضَآءُ.

“Kami berlepas diri daripada kamu dan segala apa yang kamu sembah selain Allah; kami mengingkarinya dan telah nyata permusuhan dan kebencian di antara kami dan kamu.”

[Al-Quran, al-Mumtahinah, 60: 4]

Prinsip inilah yang menjadi tunjang akidah setiap Muslim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah ﷻ dalam firmanNya:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡ.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kamu kerana sesetengah mereka menjadi teman rapat kepada sesetengah mereka yang lain; dan sesiapa di antara kamu menjadikan mereka sebagai teman rapatnya maka sesungguhnya dia terdiri daripada kalangan mereka.”

[Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 51]

Sekalipun perkataan ‘awliya’ dalam ayat di atas diterjemahkan sebagai ‘teman rapat’ tetapi hakikatnya perkataan ‘awliya’ (jamak) atau ‘wali’ (mufrad) turut membawa maksud sekutu, penjaga, pemimpin, penolong, pengurus dan seumpamanya.

Maka ayat di atas melarang Muslim menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani di samping kaum kuffar secara amnya sebagai teman rapat, sekutu, penjaga, pemimpin, penolong atau pengurus bagi hal ehwal kaum Muslimin.

Malah ayat di atas turut memberi ancaman buat mereka yang berbuat demikian “Dan sesiapa di antara kamu menjadikan mereka sebagai teman rapatnya maka sesungguhnya dia terdiri daripada kalangan mereka” di mana dikhuatiri mereka akan tergelincir murtad terkeluar daripada Islam, nauzubillah.

Perkara yang sama turut disebut dalam firmanNya:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُوٓاْ ءَابَآءَكُمۡ وَإِخۡوَٰنَكُمۡ أَوۡلِيَآءَ إِنِ ٱسۡتَحَبُّواْ ٱلۡكُفۡرَ عَلَى ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلظَّلِمُونَ.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu jadikan bapa-bapa dan adik-beradik kamu sebagai teman rapat kamu jika sekiranya mereka memilih untuk kufur dan tidak mahu beriman; dan barang siapa menjadikan mereka sebagai teman rapatnya maka merekalah orang-orang yang zalim.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9: 23]

Muslim seharusnya sentiasa menzahirkan kesetiaan dan kebersamaannya dengan orang-orang Islam, mencintai dan menyokong mereka.

Muslim juga perlu sentiasa prihatin tentang hal ehwal umat Islam, mengasihi saudara Muslimnya dan bersikap lemah lembut dengannya.

Ini kerana orang-orang beriman itu bersaudara.

[Al-Quran, al-Hujuraat, 49: 10]

Firman Allah ﷻ:

مُّحَمَّدٞ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَهُمۡۖ تَرَىٰهُمۡ.

“Nabi Muhammad ialah utusan Allah manakala orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan sebaiknya mereka bersikap kasih sayang serta belas kasihan antara sesama mereka (umat Islam).”

[Al-Quran, al-Fath, 48: 29]

Ini menunjukkan betapa pentingnya Muslim menghayati prinsip ‘Kesetiaan dan Berlepas Diri’ (Wala’ dan Bara’) bagi menjaga kemurnian pegangan akidahnya.

Jangan sampai keliru sehingga kesetiaan jadi celaru lalu mahu setia dengan kawan dan lawan secara serentak walhal ia mustahil, atau lebih buruk jika lebih setia dan kasih dengan lawan berbanding kawan.

CATATAN

Muslim itu setia dan kasihnya kepada pemerintah Muslimnya, bukan kepada pemerintah kuffar.

Jika rasa kesal kerana warganet ‘miskin simpati’ terhadap kemangkatan sang ratu maka silakanlah menyatakan kekesalan tersebut buat warga Palestin yang bumi mereka telah dirampas untuk diserah kepada Yahudi semasa pemerintahan sang ratu itu.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
14 Safar 1444H
11 September 2022

Similar Posts

  • |

    MATI SYAHID BUKAN ‘MARTYR’

    Perkataan ‘martyr’ dalam bahasa Inggeris merujuk kepada seseorang yang dibunuh atau dipaksa menanggung penderitaan kerana kepercayaan agama atau kepercayaan lain yang dianutinya. Adapun istilah syahid dalam syariat Islam merujuk kepada orang yang mati di medan perang kerana mempertahankan agama Islam. Kedua-dua istilah ini membawa maksud yang berbeza sama sekali. Oleh…

  • |

    HADIS AL-BARA’ BIN AZIB TENTANG AZAB KUBUR

    Berkata Al-Bara’ bin Azib radiallahuanhu: “Kami keluar bersama Nabi ﷺ membawa jenazah seorang lelaki Ansar sehingga kami pun sampai di perkuburan. Sementara menunggu jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, Rasulullah ﷺ pun duduk (mengadap kiblat) dan kami pun ikut duduk di sekeliling baginda seolah-olah di atas kepala kami terdapat seekor…

  • |

    RENJIS AIR KERETA

    Amalan merenjis kenderaan baharu tiada dalam Islam. Tidak kira sama ada untuk dapat berkat atau menolak mudarat. Kerana Nabi ﷺ dan para Sahabat tidak pernah renjis kuda atau unta yang baru dibeli. Justeru jelasnya amalan ini tokok tambah dalam agama. Malah menyerupai amalan sebahagian penganut agama lain. Sedangkan Nabi ﷺ…

  • |

    HIDUPKAN SUNAH MATIKAN BIDAAH

    Wasiat Nabi ﷺ buat generasi akhir zaman pada kala berlaku banyak perselisihan dan perpecahan, kata baginda ﷺ: فَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّة الخُلَفَاء المَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِين تَمسَّكُوا بِها وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذ وَإيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَة وَكُلّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٍ. “Sesungguhnya barang siapa daripada…

  • |

    IKUT FAHAM SAHABAT NABI ﷺ

    IKUT FAHAM SAHABAT NABI ﷺ -Bukan faham tok guru-Kesesatan mereka yang menyalahi fahaman Sahabat Firman Allah ﷻ: “Dan sesiapa yang menyalahi Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk dan dia pula mengikut jalan SELAIN DARI JALAN ORANG-ORANG BERIMAN maka Kami akan palingkan dia ke arah jalan yang dipilihnya, dan Kami…

  • |

    MAKAN BERSUAP

    MAKAN BERSUAP #Berkat Sisa Makanan Tuan Guru Capal Adakah dibolehkan bertabaruk (mengambil berkat) daripada para ulama dan orang-orang soleh? Jawapan: Tidak boleh bertabaruk dengan sesiapa selain Nabi ﷺ tidak kira sama ada sisa wuduknya, makanannya, rambutnya, peluhnya atau apa jua dari tubuh badannya. Hal ini semua khas buat Nabi ﷺ…